SEARCH

#menswear: Prada Fall 2018 Menafaskan Semula ‘Familiar Prints’

#menswear: Prada Fall 2018 Menafaskan Semula ‘Familiar Prints’

Prada Fall 2018 mengingatkan kita pada bagaimana Prada pernah meninggalkan bekas menerusi himpunan tahun 1996, mencetus trend kemeja T dilapis atas kemeja sutera dan motif grafik comical seperti corak pisang yang menjadi kegilaan penjulang-penjulang fesyen sarwajagat.

Kami membayangkan Miuccia Prada menggeladah semula arkib-arkib lamanya yang menampilkan rekaan-rekaan dari pertengahan era 90-an sehinggalah tahun lepas. Barangkali juga Miuccia terfikir balik perbualan implisit dia bersama Elsa Schiaparelli – seperti dalam buku ‘Schiaparelli & Prada : Impossible Conversations’ – lalu mengisih semula citra yang pernah menjadi signifikan buat Prada. Terhasilnya himpunan #throwback Prada untuk musim luruh 2018!

Prada Fall Winter 2018
Pada Fall Winter 2018 mengagungkan material nilon yang sudah sinonim dengan warisan jenama ini

Daripada Instagram Prada

Lima hari yang lepas, Prada mempamerkan himpunan lelaki musim luruh dingin 2018 di Milan. Co-ed show Prada kali ini mentransformasikan Viale Ortles di Milan kepada rupa ala gedung pemeliharaan arkib dan barang-barang bersejarah buat Prada. Terserak-serak identiti yang selama ini merencanakan estetika Prada. Simbol ikonik Prada, robot menghiasi ruang dalaman acara. Jelas kelihatan, Prada menggamit memori dan memandang semula kepada sesuatu yang lampau.

Prada Fall Winter 2018

Daripada vogue.com

ILHAM PRADA FALL WINTER 2018

Warisan Prada cukup dikenali dengan material nilon, yang digunakan pada pelengkap gayanya seperti beg, small pouches dan lain-lain lagi. Musim luruh 2018, Prada menggunakan material ini pada helaian ready-to-wear seperti jaket berpad, seluar pendek, skirt dan kemeja-kemejanya. Ya, benar, memang itulah tumpuan utama Prada kali ini yakni nilon. Tetapi kami pula mengisarkan pandangan kepada look yang disimbah motif grafik dan corak.

Prada ambil semula motif grafik Christophe Chemin musim luruh 2016 untuk disematkan bersama corak tropika musim bunga 2014. Kemudiannya, motif pisang yang memerihalkan himpunan musim bunga 2011 pula dicantum dengan corak nyalaan api musim bunga 2012. Pada mulanya, kami ingat Prada berkecindan atau ketandusan… but they meant business.

Prada Fall Winter 2018
(Kiri) Salah satu ‘look’ Prada Fall 2018. Yang menggabungkan corak grafik pisang musim bunga 2011 dengan grafik nyalaan api koleksi musim bunga 2012 (kanan)

 

Miuccia sengaja menyegarkan minda kita dengan motif-motif atau corak-corak yang membentuk Prada selama ini. Termasuklah motif geometri musim bunga 1996 – himpunan yang tersenarai dalam 25 Most Unforgettable Runway Shows Of The 90s oleh Vogue.com – yang dihidupkan kembali dan disatukan dengan motif Christophe Chemin. Malah corak daripada himpunan musim luruh 2005 pun turut dijelmakan semula.

Pabila terintegrasi semua motif-motif serta corak-corak ini, for some reason, ia nampak kohesi. Membuktikan kebijaksanaan Miuccia dalam berinovasi dan melangsungkan satu perspektif yang luar biasa di mata kami!

Saat disoal mengenai himpunan terbarunya ini – Miuccia seperti biasa, dalam elemen dia – menjadi berfalsafah dan menjawab, “Kita hidup dalam zaman yang cukup menarik, kerana kita tidak tahu ke mana hala tuju kita. Sudah tentu ia menggerunkan dan merunsingkan, tetapi dalam masa sama ia menarik kerana ada satu tanda tanya tentang apa yang bakal ditempuhi pada masa akan datang.” Yeah, tots. 

Prada Fall Winter 2018
(Kiri) ‘Look’ Prada Pre-Fall 2018 untuk wanita yang menyatukan corak tropika Hawaii musim bunga 2014 bersama motif geometri ikonik koleksi musim bunga 1996 (kanan)

 

Prada Fall Winter 2018
(Kiri) ‘Look’ Prada Pre-Fall wanita dan Fall 2018 lelaki yang kedua-duanya dihiasi lakaran Christophe Chemin yang pernah diangkat oleh Prada musim luruh 2016 (kanan)

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE