SEARCH

Vista Optimis Prada Menswear SS 2020

Vista Optimis Prada Menswear SS 2020

Prada Menswear SS 2020

Bila ruang luas di Minsheng Art Wharf terisi oleh sinaran lampu-lampu neon yang membentengi pentas pertunjukan bersifat industrial, bak berada di seting cereka Tron, seolah-olah terperosok ke dunia Synthwave, Prada Menswear SS 2020 seperti menggemilangkan tahun 2020 dengan gambaran masa hadapan yang berbegar di kepalanya. So, is China the future?

Miuccia Prada menjadi wisatawan. Lazimnya mempertunjukkan himpunan terbaru di Fondazione Prada, namun untuk menswear musim bunga panas 2020, dia ‘mengaut’ semua helaian lelakinya dan singgah memijak bumi Shanghai. Fajar baharu buat pentas lelaki Prada, kerana menjadikan China sebagai lokasi kali ini.

Tetapi mengapa China? Pernah Prada mewartakan sebab ia mengadakan pertunjukan di Shanghai pada bulan April lepas. Ucap Miuccia, kerana China, terutama sekali Shanghai, kaya dengan budaya dan kedinamikan Shanghai yang bijak mempertemukan yang lampau dengan yang semasa.

 

Prada Menswear SS 2020

Berbicara fasal fajar baharu, pertunjukan lelaki musim bunga panas 2020 Prada ini juga menandakan debut model trans, Nathan Westling (sebelum ini Natalie Westling) beraksi di medan menswear. Fajar baharu, dunia baharu dan harapan baharu… Prada benar-benar disimbah optimisme.

Prada Menswear SS 2020

Dan berbicara pula fasal optimisme, di balik kilat-kilau riak sinaran neon, himpunan lelaki musim bunga panas 2020 Prada mencabar kenegatifan dan memegahkan kepositifan yang tak terhingga. Menamakan himpunannya ‘Optimist Rhythm’, Prada menaruh semangat optimis atau positif itu menerusi pakaian. Kiranya, baju itu bukan sekadar baju, seluar bukan sekadar seluar dan ada makna yang tersimpan pada pakaian. Ada ‘harapan’ lain dalam cara berpakaian.

Betul? Bisa mereguk nikmat hidup dan membendung kenegatifan menerusi pakaian? Tetapi Prada punya cara atau fahaman tersendiri. Baginya ia dikecap dengan mengulang gagasan yang pernah mendasari himpunan Resort 2020 sebelum ini – yakni menyisih sifat-sifat klasik, membenarkan kontradiksi, berani dengan kadar banding padanan dan menukar susunan warna.

Prada Menswear SS 2020

Pengolahan semula penggayaan menjadikan lelaki-lelaki Prada musim bunga panas 2020 tidak gentar menjadi diri sendiri, atau dalam kamus Prada menjadi pemberontak. Misalnya, workwear dengan citra gaya adventurous dan but hiking. Atau menyetarafkan gaya persis budak pengakap memakai jaket bomber dengan gaya lelaki sofistikated dan anorak juga jaket adang angina berona blok dilapis atas ceraian berona Safari. Outerwear seperti jaket atau jaket sut yang dipotong pendek berani dipadankan dengan ceraian dalam yang proportion-nya panjang labuh, menghidupkan siluet baharu. Malah seperti selalu, Prada tidak berbelah bagi dalam menyatukan elemen kesukanan sekali – gaya kerja dipakai bersama sandal sukan atau beg jinjit ala beg gim.

Prada Menswear SS 2020

Siluet kegemaran Prada yakni kutang tak berlengan labuh, berleher luas seperti singlet bola keranjang bersama susunan gaya kegemaran Prada – stokin tebal dipakai dengan sandal – turut membuat kemunculan semula. Seperti himpunan perempuannya yang terdahulu, cekak kepala menjadi tumpuan utama. Guess what? Di pentas lelaki musim mendatang ini, bersedialah, rantai leher gegelung menjadi trend aksesori utama.

OUR FAVOURITE LOOKS FROM PRADA S/S 2020!
Prada Menswear SS 2020

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE