Posted on September 28, 2020
Meluap kepuasan dan kegembiraan kita sejurus melihat tiga sosok ini – Precious Lee, Jill Kortleve dan Alva Claire – berjalan untuk pertunjukan Versace musim bunga panas 2021! Tak pernah-pernah menyaksikan sosok plus-sized menelusuri pentas fesyen Versace, namun kemunculan tiga model plus-sized, menandakan lapangan fesyen masa kini menongkah arus. Tak lagi ‘senada’ dan ‘sealiran’ sudah!
Masih teringat-ingat lagi kata-kata salah seorang peserta rancangan America’s Next Top Model yang menghamburkan sebakul kutukan bahawa takkan ada model plus-sized yang akan berjalan untuk jenama-jenama mewah fesyen. Agak-agaknya, pasti dia malu bila mengenangkan kembali apa yang pernah dihamburkan olehnya itu, kan. Paradigma lapangan fesyen masa kini sudah berubah 180 darjah. Tak lagi menyuap akal kita dengan imej model-model bertubuh kurus renjong, berambut perang. Segala itu ditolak ke tepi sudah. Daripada bagaimana jenama-jenama seperti Chromat serta Jacquemus sudah yakin meletakkan model-model plus-sized di atas pentas mereka, kemudian Michael Kors dan Fendi menyusul, mengangkat gagasan yang sama. Sehinggalah sekarang, Versace pula mengikut dan menampilkan tiga model plus-sized di atas pentas buat julung kalinya!
Alva Claire di atas pentas Versace musim bunga panas 2021
Versace musim bunga panas 2021 kali ini mengangkut kita ke fantasi jeladeri, membalikkan ingatan kita pada himpunan musim bunga panas 1992-nya – yang dikutip daripada inspirasi dasar lautan, tema under the sea. ‘Versacepolis’ julukan yang diberi oleh Donatella Versace, dalam menamai himpunan musim bunga panas 2021. Ia umpama mengucurkan air lautan di atas pentasnya, membayangkan penghuni-penghuni mitos yang menduduki dasar lautan. Lantas, Versace bermain dengan rona-rona terang, motif atau corak yang mencerminkan perincian tipikal dasar lautan serta butiran-butiran yang sepertikan diinspirasikan oleh kelembutan air.
Jill Kortleve di atas pentas Versace musim bunga panas 2021
Pujian diberikan kepada Versace kerana untuk musim bunga panas 2021 ini, ia tidak lagi terkunci dengan imej model perempuan yang sama. Sebaliknya, Donatella memilih tiga model plus-size, yakni Precious Lee, Jill Kortleve dan Alva Claire. Setelah bertahun, malah berdekad, akhirnya Versace keluar daripada kepompong selesanya dan menormalkan perempuan bertubuh plus-size di atas pentas! Malah, ia sejajar dengan matlamat Gianni yang sememangnya mengagungkan kewanitaan dalam setiap himpunannya. Apalagi perempuan-perempuan yang datangnya daripada pelbagai rupa, saiz atau profil… tidak ada lagi sudah batasan.
https://www.instagram.com/p/CFkzem_AO2k/?utm_source=ig_embed
Jill Kortleve menyatakan rasa gembira tak terperi pabila dipilih untuk berjalan Versace. Katanya dalam post Instagram, “This is such an historical moment and I can’t believe it actually happened. Im still shaking. Im so so so proud of us @alvaclaire @preciousleexoxo.” Precious Lee, yang pernah menjadi penghias majalah Vogue Italia berkongsi rasa bertuah dan terima kasihnya kerana ia satu pengalaman yang dia takkan lupa. Kata Precious, “The power and beauty of this brand has ALWAYS inspired me & now to be the first… wow.”
Precious Lee
Apa pandangan anda?