Posted on February 25, 2020
Sejujurnya, agakan Raf Simons bekerja bernaung di bawah Prada tepat sekali. Kerana selera Raf dan Miuccia Prada bagai serasi, apabila menyentuh hal rekaan mereka. Dan benarlah, khabar Raf bekerjasama dengan Prada bukanlah angin-angin yang semilir bertiup tak berhujung. Warta itu telah disahkan dan himpunan pertama mereka bakal dipertunjukkan bulan September tahun ini.
Gandingan dua sosok ternama ini tidak hanya menggoncangkan medan fesyen Milan, malah peminat-peminat fesyen sedunia. Tak berhenti-henti orang memuat naik status dan post repost warta pergabungan Raf dengan Prada. “About time” menjadi seruan orang terhadap langkah Miuccia menyunting Raf sebagai rakan kerjasamanya.
Seia sekata, Miuccia dan Raf mencapai persetujuan yang sama dalam membina hubungan ini. Dan, dijangka akan mencetus satu perspektif baharu dalam fesyen. Jurusan pandangan Miuccia dan Raf bertemu, terus mengkhayalkan kita pada produk-produk yang sempurna sifat inovasi. Mengenali Prada yang tidak mengekang perempuan dalam rekaan-rekaannya, mementingkan kraf serta kefungsian, disatukan dengan gagasan Raf, bekas anak didik Jil Sander, yang mengepal erat gelaran pereka fesyen ‘industrial’, tak pernah lelah mengamati bentuk-bentuk baharu dan berani menguji diri bermain dengan fabrik… menghidupkan satu ‘asemblaj’ yang luar biasa. Malah, kedua-dua mereka punya satu persamaan yakni tidak gentar dalam membaharui bentuk.
Bercakap tentang pembaharuan, mungkinkah pergabungan dua nama ini akan membudayakan era baharu Prada nanti? Besar kemungkinan juga. Apatah lagi menyoroti rangka kerja Miuccia dan Raf yang terdahulu, pasti hasilannya nanti menerbitkan kreativiti yang tak diduga. Menjangkaui akal kita, mungkin. Segar. Menyaingi era perubahan tahun 2020 yang kita diami sekarang. Bagaimana dulu pernah berbangkit dialog mustahil antara Prada dan Schiaparelli, tahun ini akan menyaksikan satu lagi dialog ‘bukan mustahil’ Prada dan Raf.
Menurut hebahan berita yang diterima, jati diri serta etos jenama Prada tidak akan diubah, sungguhpun ada kemasukan Raf nanti. Hal ini dipersetujui oleh kedua-dua Miuccia dan Raf. Namun, kami pasti ia tidak menyukarkan Raf pun kerana seperti yang dinyatakan awal tadi, selera mereka berdua serasi. Ia masih lagi ‘Prada’ tetapi dengan sentuhan ‘Raf’. Barangkali. Cuma ada satu sahaja harapan kami : harap-harap ia tidaklah ‘menghampakan’ seperti Prada for Adidas.
EXPECTATIONS KAMI TENTANG GABUNGAN IDEA MIUCCIA PRADA & RAF SIMONS
We just wanna have fun with it! Andai katalah inovasi rekaan Prada dan Raf bergabung, apa rupanya? Bagaimana siluetnya? Kami menyelongkar arkib rekaan-rekaan Prada dan Raf sebelum-sebelum ini, menggabungkan idea kedua-duanya untuk membentuk siluet baharu!
Raf Simons musim luruh 2015 + Prada Resort 2013
Prada musim luruh 2018 + Raf Simons musim bunga/panas 2018
Raf Simons musim luruh 2016 + Prada musim bunga/panas 2011
Raf Simons musim bunga/panas 2019 + Prada musim luruh 2013
Prada musim bunga/panas 2019 + Raf Simons musim bunga/panas 2013
Prada musim bunga/panas 2012 + Raf Simons musim bunga/panas 1999
Raf Simons musim luruh 2009 + Prada musim luruh 2017
Apa pandangan anda?