SEARCH

Rebecca Minkoff & Niat Sebenar Aksi ‘Breastfeed’ Di #NYFW

Rebecca Minkoff & Niat Sebenar Aksi ‘Breastfeed’ Di #NYFW

Bukannya Rebecca Minkoff tidak mendapat memo bahawa minggu ini adalah minggu pertunjukan musim bunga panas 2020. Tidak. Hanya kerana dia terkebelakang, ia tidak menggendalakan hasratnya – sebagai jenama yang diasaskan oleh pereka fesyen wanita – untuk terus mempersembahkan himpunan musim luruh 2019.

Dalam pada dunia sekarang – dunia fesyen tak terkecuali – yang sedang asyik menghirup darah kesemarakan diversifikasi juga kekuatan wanita, jangan sekali-sekali melontarkan kata-kata pedih mahupun memperolok-olokkan hal berkaitan dengan kewanitaan, jadi ini bukan tempatnya. Rebecca Minkoff ada hak untuk membuat apa sahaja yang dia nak, maka atas sebab itulah dia tidak peduli, mendudukkan salah seorang modelnya menyandiwarakan aksi tengah menyusu anak bayi di #NYFW!

rebecca minkoff breastfeed working women nyfw 2020

Breastfeed-shamed adalah antara isu yang menjadi cabaran di Amerika, sungguhpun 50 negeri di Amerika sudah membenarkan penyusuan badan kepada anak dilakukan secara umum tanpa prejudis. Namun, masih ada segelintir yang tidak berkenan atau bersetuju dengan hak tersebut. Insiden di Minnesota yang membabitkan dua ibu yang dihalau dari kawasan kolam renang awam hanya kerana memberi susu badan di khalayak ramai, mencetus kemarahan gerombolan wanita sehingga mereka berpadu tenaga membuat demonstrasi di hadapan kolam renang tersebut.

Dan ingat lagi Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern membiasakan budaya menyusu anak secara umum di parlimen? Itulah yang telah (malah masih lagi) diperjuangkan oleh wanita. Normalize breastfeeding, memulihkan pemikiran masyarakat tentang memberi susu badan secara terbuka itu adalah normal.

Rebecca menyahut seruan tersebut, tidak menyulitkan keadaan dan tak ragu-ragu meletakkan sosok ibu yang memberi susu badan di persembahan himpunan musim luruh 2019-nya. Rebecca bekerjasama dengan Medela USA yang bertindak sebagai penaja kepada persembahannya itu dan tanda sokongan advokasi Rebecca terhadap isu memberi susu badan secara umum. Malah Rebecca sendiri pernah merasai pengalaman mengepam susu untuk anaknya di bilik air sewaktu malam gala Baby2Baby – kisah ini dikutip daripada Instastory Chriselle Lim (@chrisellelim) – tidak hairanlah mengapa isu ini terkesan ke atasnya.

Himpunan musim luruh 2019 Rebecca Minkoff melakar perjalanan wanita bekerja 9 to 5. Modern working women. Wanita berkerjaya yang akalnya terbuka, berfikiran moden dan tak lagi dibaluti ketradisionalan. Wanita yang dia lihat hari-hari di jalanan, bergegas pergi bekerja menyemangati jiwanya sehingga dijadikan pangsi ilham. Menyusun saiz rencaman, himpunan Rebecca sebenarnya ‘asas’ – ceraian-ceraian yang bisa dipakai untuk pergi kerja – namun tidak melemaskan jati dirinya : yakni playfulness.

Dia bermain dengan rona-rona terang untuk musim luruh, motif jaluran, padanan ceraian kontra, butiran rekaan pola yang tak terlalu rigid dan benar-benar menggambarkan apa wanita moden masa kini pakai untuk bekerja. Tekstur, fabrik berkilauan dan ‘letusan’ rona terang penuh satu badan adalah sebahagian daripada sorotan utamanya.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE