Posted on November 1, 2023
Fotografer : Bibo Aswan Sitting Editor / Teks : Ardi Idewani Zaini Penata Gaya : Max Mak (By Max Mak)
Pengarah Seni : Merrissa Emilda Solekan & Rambut : El Manda Zuhairy
Pakaian & Aksesori : Longchamp Musim Luruh / Dingin 2023
SIAPA DIA? RIRI MOEYA. BERTAMU KE MALAYSIA, ATAS LAMARAN PERTUNJUKAN KHAS, RIRI MENGINGINKAN KEUNGGULAN DAN MENJUNJUNG HARAPAN. SATU HARI KELAK, SUARA EMASNYA BISA DIDENGARI DAN KARIER SENINYA TAK TERHENTI DI PERTENGAHAN. MUNGKIN NAMANYA NANTI DIJULANG TINGGI, SETARAF PENGHIBUR-PENGHIBUR INDONESIA LAIN YANG KINI MENEMPA NAMA DI LUAR NEGARA!
Bertubuh kecil, tuturnya lembut dan raut wajahnya manis. Suara nyanyiannya mersik dan jelas. Pembawaan dirinya juga disenangi. Tidak hairan mengapa dia disunting untuk menjadi penghibur Indonesia generasi baharu. “Aku sedari kecil, seawal usia empat tahun lagi sudah bernyanyi. Pada usia lapan tahun, aku punya album cilik,” terang Riri Moeya yang berasal dari Bandung, Indonesia, yang kini dididik elok oleh Dato’Sri Rossa.
Berperwatakan anak muda yang punya tenaga tinggi, Riri nampak bati benar dalam beberapa persalinan Longchamp musim luruh dingin 2023. Kena dengan personaliti Riri! “Oh, I love fashion! Saat sebelum penggambaran ini bermula, aku menyelak helaian-helaian Longchamp sama aksesori-aksesorinya… aku suka! Can’t wait untuk menggayakan semuanya,” jelas Riri keriangan ketika ditemui.
Kikis segala rasa gentar, Riri berkelana menyeberang laut, menjebak kakinya di Malaysia, membuhul erat hasrat untuk mengembangkan sebahagian perca kerjaya seni di sini. Membina nama dan ‘berkarya’ di luar Indonesia. Sungguhpun masih hijau dan perlahan-lahan menakluk pasaran Malaysia, Riri menyemai impian berlarutan agar seninya diterima baik di sini. Sehingga dia mampu meronakan corak lanskap muzik.
Buat julung kalinya, Riri mengadakan persembahan di Malaysia – di Zepp Kuala Lumpur. Dia diundang sebagai penyanyi jemputan, di samping Cakra Khan bersempena Dream Festival Collaboration. Tidak terduga sama sekali, Riri disambut baik. Dia mensyukuri nikmat itu kerana tidak langsung terasa asing dan memperoleh kepuasan kerana membuka mata-mata audiens Malaysia untuk mengenali siapa Riri Moeya.
“Aku berharap sangat lagu-lagu aku bisa diperdengarkan di Malaysia. Jadi, ketika aku datang bernyanyi di sini, tak sangka respon-respon yang aku terima cukup bagus! Makanya, aku sedar bahawa aku takkan menutup segala kemungkinan atau peluang di sini,” jelas Riri, tentang persembahannya di Zepp Kuala Lumpur. “It is a blessing to be here,” sambung Riri. Lalu terpaut hatinya untuk mencuba nasib. Mungkin setanding idolanya, Dato’ Sri Rossa?
Namun melantasi pasaran Malaysia bukan hal yang begitu mudah. Tidak ada jalan singkat. Dan Riri faham. Memakan masa yang sama ada lama atau pantas, terpulang kepada rezeki. Hal ini tidak menggencat semangat Riri. Sebaliknya, menyuburkan keupayannya untuk tidak berlengah-lengah menghasilkan sesuatu karya. Dengan harapan, lagu-lagunya menjadi siulan dan sekali gus, keberadaannya disokong kuat. “Fokus kepada penghasilan single dahulu, yang akan release tidak lama lagi. Akan ada juga release yang berupa collab. Oh… nantikan saja!” Jelas Riri.
Dalam laman web, ada yang bilang kamu juga seorang model?
Haha! Iya, pelik kan?! Aku hanyalah seorang penyanyi. But I do love fashion. Cuma, aku bukan seorang model.
Siapakah penyanyi atau penghibur Indonesia yang beroleh kejayaan menembusi pasaran Malaysia, yang menjadi inspirasi kamu?
Sudah tentu Dato’ Sri Rossa. Bagi aku, dia adalah sosok yang luar biasa, sangat hebat dan pada masa yang sama, dia bersifat merendah diri. Itu yang aku suka tentang Dato’ Sri Rossa.
Apakah genre muzik yang dikentengahkan oleh kamu?
Aku mahu mendekati genre muzik berupa R&B pop. Aku amat suka genre R&B. Jadi, aku mahu fokus pada genre muzik sebegini, walaupun ada yang kenal aku dulu bermula dengan genre balada. Tetapi aku perasan, trend lagu-lagu sekarang lebih condong kepada genre balada. Maka, hadirnya ‘Riri Moeya’ dengan genre yang berbeza (bukan balada) untuk ’kasi’ warna dalam industri muzik. Refresh the music industry.
Lagu ‘Sengaja Salah’ dikategorikan sebagai R&B pop?
Iya. ‘Sengaja Salah’ lebih kepada rentak yang rancak sedikit, yang senada dengan selera anak-anak sekarang.
Inspirasi lagu ‘Sengaja Salah’ ini berdasarkan pengalaman peribadi kamu?
Haha! Mungkin? I think so, it is based on my personal experience. Aku sama composer aku fikir mahu bikin lagu apa. Langsung, mengambil kisah aku untuk dijadikan latar lagu. Muncullah… ‘Sengaja Salah’.
Bait lirik ‘Sengaja Salah’ yang menjadi kesukaan kamu?
“Kadang negative thinkingmu, sungguh tak masuk di akalku…” karena banyak relate dengan kisah cinta orang lain. Disebabkan negative thinking, orang bisa beranggapan ‘begitu begini’ tentang pasangannya. Terkadang negative thinking itu meranapkan hubungan cinta. Namun, tidak mustahil maksud negative thinking itu refleksi diri kita yang salah erti dan sebenarnya tidak ada apa-apa. Kita yang sebenarnya overthinking?
Apakah kamu mendepani cabaran dalam membina karier sebagai penyanyi zaman sekarang?
Aku akui, cabaran sekarang berbeza dengan yang dahulu. Terutama sekali hal-hal yang berkaitan dengan pembikinan lagu dan mempersembahkan karya itu kepada pendengar-pendengar. Dahulu, hasilan-hasilan lagu dalam kepingan kaset atau CD kan? Zaman sekarang ‘climate’ muzik sudah berubah. Kita mendengar lagu di atas platform digital dan sesiapa sahaja ada akses mudah untuk menikmati karya-karya sang penyanyi. Dan, siapa-siapa sahaja bisa menghasilkan sendiri lagu-lagunya dan diperdengarkan melalui platform digital. Ia meluas kepada semua orang dan kini, semua orang bisa bernyanyi.
Jadi, aku ini harus ada effort lebih untuk menjadi penyanyi yang berbeza dengan yang lain. Aku harus ada kebolehan menghasilkan lagu-lagu yang punya kualiti tersendiri dan semua ini membuatkan aku perlu berusaha lebih keras lagi agar bisa menyaingi mereka. But, in a healthy competition.
Would you say… sosial media seperti TikTok juga bagus sebagai platform ‘menjual’ lagu?
Benar. Tiktok juga adalah antara platform terbaik untuk mempromosikan lagu. Sehingga bisa viral ke segenap dunia. Apalagi kita sekarang ini suka percaya pada kandungan-kandungan di media sosial. Terutamanya TikTok.
Apakah rencana perjalanan dalam jangka masa panjang kamu?
Rencana perjalanan aku adalah untuk tidak putus-putus berkarya dan mengeluarkan banyak lagu. Mungkin aku akan memperkenalkan genre muzik yang berbeza pula selepas ini? Aku ini seorang yang sukakan cabaran dan kepingin melihat penerimaan orang lain terhadap muzik-muzik yang aku bawakan. Aku mengimpikan untuk menghasilkan lagu-lagu yang bukan sahaja dinikmati oleh satu golongan sahaja, malah bisa dihidangkan kepada semua golongan.
Oh, siapa lagi penyanyi yang kamu bermimpi untuk menjadi rakan kolaborasi satu hari nanti?
Justin Bieber!
Apa pandangan anda?