Posted on February 1, 2021
Jumlah tontonan di Youtube sudah mencecah 39 juta dalam tempoh seminggu! Lagu ‘Lo Vas A Olvidar’ yang menggabungkan Rosalia dengan Billie Eilish mula menjadi buah tutur orang apabila cuitan siri istimewa ‘Euphoria Part 2 : Jules / F**k Anyone Who’s Not a Sea Blob’ dipersembahkan – lagu ‘Lo Vas A Olvidar’ menjadi runut bunyi rasmi untuk siri ini.
Keterujaan menggunung sebaik lagu duet ini diuar-uarkan. Bukan hanya kerana ia digunakan untuk siri istimewa Euphoria (yang buat kita tertunggu-tunggu hampir setahun selepas habisnya musim pertama!), malahan kolaborasi Rosalia dengan Billie Eilish ini membangkitkan ‘antisipasi’. Macam-macam perkiraan tercetus dalam otak benak kita – terutama sekali di kalangan peminat Rosalia dan Eilish – tentang rentak sebenar lagunya, konsep video muziknya dan bagaimana ia dicocokkan dengan siri Euphoria.
Setelah keluarnya lagu serta video muziknya minggu lepas, sekali dengan bahagian kedua siri istimewa Euphoria, penantian itu berpenghujung dengan kepuasan. Penyampaian lagunya yang perlahan, diiringi lagi oleh suara Rosalia dan Eilish – yang sememangnya kena dengan lagu-lagu sebegini – umpama memikat halwa telinga kita.
Video muziknya pula ringkas. Cukup sekadar ‘meletakkan’ Rosalia dan Eilish dalam ruang gelap. Hanya ada satu dua sorotan cahaya yang membelah gelap itu. Masing-masing kelihatan sangat ekspresif, seakan-akan menunjukkan jiwa yang ‘berantakan’ dan kesedihan yang tidak keluar.
Menyambung bicara tentang video music ‘Lo Vas A Olvidar’, sepanjang menontonnya, ada dua lagi perkara yang menambat perhatian. Yang pertama adalah nail art pada kedua-dua kuku Rosalia dan Eilish yang nampak unik. Kuku mereka dihiasi tampalan serpihan gelas (rasa-rasanya), yang dihasilkan oleh Soji Nails.
Yang keduanya adalah baju senteng yang dipakai oleh Rosalia. Baju senteng tersebut dipadankan dengan jaket kuilt tebal dengan logo Nike besar pada bahagian badan belakang bersama seluar jean dan penyanyi berusia 27 tahun ini ada memuat naik gambarnya memakai sepersalinan pakaian itu di Instagram. Jaket kuilt tebal yang dipakai oleh Rosalia itu adalah daripada Noctex, manakala baju sentengnya pula adalah daripada Dior.
Ia adalah baju senteng Dior ‘D-White Turtleneck Sweater’, hasil rekaan Maria Grazia Chiuri sendiri untuk himpunan musim luruh dingin 2020 / 2021. Baju panas senteng turtleneck tersebut menyerupai bentuk rekaan kemeja tumpang yang diinspirasikan oleh sukan musim dingin, dengan nama ‘Christian Dior’ jelas terpampang pada band di atas badan baju. Diperbuat daripada gabungan wool dan kashmir, baju panas senteng Dior ini hadir dalam dua rona : rona biru kelasi (sama dengan yang Rosalia pakai dalam ‘Lo Vas A Olvidar’) dan rona kelabu.
Apa pandangan anda?