Posted on May 18, 2020
Sungguh berkuasa rupa Serena Williams dalam kempen global Stuart Weitzman. Terbetik segala kemegahan pada wajah Serena, menggambarkan keperkasaan yang tersemat di dalam jiwanya. Apatah lagi Serena punya resume yang impresif dan mengepal keras gelaran juara tenis, seorang ibu, seorang dermawan juga tokoh masyarakat. Kempen Stuart Weitzman itu diumpamakan sebagai pengantara untuk menyampaikan mesej penting kepada manusia jagatraya.
Komposisi kempen 2020 ini ringkas – imej hitam putih, dengan Serena duduk serta berdiri di atas platform, bergaya dalam pakaian serba putih dan menggayakan kasut-kasut Stuart Wietzman seperti Aleena, Anny juga Manila – namun ia seakan-akan ‘menggoncang’ pancaindera kita. Mungkin kerana syot yang ditangkap oleh fotografer Ethan James Green ini memperlihatkan Serena dalam gaya ‘tegak menjulang’, lalu ia memanifestasikan kesemarakan kepimpinan atau seorang penunjang.
Memang itulah yang cuba disampaikan oleh Stuart Weitzman apabila memperkenalkan Serena sebagai wajah rasmi atau jurucakap rasmi kempen 2020. Di mana Stuart Weitzman mahu merencanakan satu cerita tentang wanita sebagai ‘pillars of hope and optimism to their communities’ dan Serena adalah pilihan tepat untuk melengkapi cerita tersebut.
Segala apa yang Stuart Weitzman cari – keperkasaan wanita, sifat optimis, insan yang takkan pernah membiarkan harapan terkecewakan dan punya kecekalan hati – ada pada Serena. Serena memberikan contoh terbaik kepada semua itu! Lebih-lebih lagi pabila menyentuh tentang perjalanan karier Serena yang ada jatuh bangunnya.
Lantaran itu, Stuart Weitzman menjadikan ia sebagai pendorong utama dalam mencorakkan inspirasi kempen 2020. Bagi Stuart Weitzman, mesej ini amat relevan dengan permintaan marcapada.
Imej Serena di atas platform, memang diniatkan kelihatan gah untuk menyampaikan mesej bahawa berdirinya di situ adalah untuk membangkitkan semangat atau keberanian. Mesej kempen ini dikecap lagi dengan keperibadian Serena yang tak pernah lelah berputus asa dan sentiasa yakin pada dirinya sendiri. “Now, more than ever, is a moment to focus on hope and moving forward. Saya mahu setiap wanita dari setiap generasi, memasang hasrat untuk melakukan perkara yang sama, one step at a time,” jelas Serena.
Pada masa sama, kempen 2020 Stuart Weitzman ini juga adalah sebahagian daripada perkongsian kedermawanan bersama Vital Voices Global Partnership – yakni sebuah pertubuhan antarabangsa atau organisasi bukan untung yang didedikasikan khusus buat wanita-wanita yang memimpin dalam mengubah global. Oleh itu, Stuart Weitzman dan Serena memilih dua pemimpin wanita yang objektif organisasi mereka adalah untuk membangkitkan women of colour. Yakni Sage Ke’alohilani Quiamno, pengasas bersama Future For Us dan Ashlee Wisdom, pengasas Health In Her HUE.
Apa pandangan anda?