SEARCH

Syed Munawir, Memperkenalkan Fotografer Malaysia Di Paris

Syed Munawir, Memperkenalkan Fotografer Malaysia Di Paris

Siapa sangka anak muda bernama Syed Munawir asal Negeri Sembilan ini berkarier sebagai fotografer editorial di Paris. Pabila disoal, mengapa Paris? Katanya, Paris adalah kota fesyen pertama yang dia jejaki. Langsung dia ‘melekat’ dengan Paris, tidak beranjak dari situ. Menggenggam tekad untuk mengukir namanya sebagai fotografer editorial serta jalanan di sana.

Saya kenal Syed sewaktu dia mencari penata gaya untuk lembaran fesyen editorial salah satu majalah Hong Kong – majalah yang banyak kali bekerja bersama Syed. Syed menawarkan tugas itu kepada saya dan saya bersetuju. Namun urusan menerusi emel dan mesej itu membuatkan saya gementar kerana tidak tahu bagaimana rasanya bekerja bersama empunya nama Syed ini.

Syed Munawir Paris

Seperti yang saya ceritakan awal tadi, ia menggerunkan. Gementar bercampur rasa ingin tahu itu saling menentang. Jika bersandarkan pemikiran klise, dalam khayalan saya Syed itu orangnya garang kerana, iyalah, dia fotografer asal Malaysia yang mencipta nama di Paris, kut. Tetapi pabila bertemu dengan tuan punya badan, dia orang yang sangat merendah diri dan sederhana. Begitu senang dengannya. Tidak langsung ada rasa canggung atau janggal itu.

Ditanya tentang dirinya, jawab Syed, “Saya adalah fotografer yang berusia 29 tahun. Saya suka melancong, makanan dan kucing.” Ringkas sahaja orangnya.

Mengenali Syed, rata-ratanya hasil kerjanya melibatkan editorial untuk majalah fesyen lelaki. Elle Men Hong Kong dan Vanity Teen antara yang pernah memaparkan hasil-hasil kerja Syed. Syed menggemari stail fotografi yang minimum dan tidak terlalu dramatik. Dia lebih selesa dengan sesuatu yang bersifat raw dan imej yang lebih kepada effortless. Kerja-kerja fotografinya juga sudah pernah muncul dalam models.com, mengangkat namanya.

“I’d say calm and quiet,” jelas Syed tentang estetika fotografi-nya.

Malah Syed sudah bekerja dengan nama-nama seperti Kris Van Assche, Kim Jones untuk Louis Vuitton dan Wooyoungmi di mana dia bertindak mengambil gambar-gambar belakang pentas sebelum berlangsungnya pertunjukan itu – secara spesifik, untuk minggu fesyen menswear di Paris. Syed merakam detik-detik model yang sedang bersiap, masih lagi didandan dan suasana santai (beberapa jam sebelum pertunjukan). “Cerita di sebalik belakang pentas adalah ‘persediaan’. Sekarang, fotografer hanya dibenarkan mengambil gambar dalam masa yang singkat. Lantaran itu, objektif saya mudah saja yakni ambil gambar model, mekap, rambut dan sewaktu mereka bersiap memakai baju,” tegas Syed.

10 SOALAN KEPADA SYED MUNAWIR

Bagaimana kamu melibatkan diri dengan bidang fotografi?

Tak silap saya, sekitar tahun 2010. It started during what was supposed to be a vacation trip after I completed my university studies. Saya pergi ke Paris dan kebetulan masa itu, minggu fesyen menswear sedang berlangsung. Saya terlihat fotografer-fotografer menangkap gambar-gambar model di luar pertunjukan dan saya pula seorang yang suka mengambil gambar-gambar orang. Jadi saya pun sama-sama menangkap gambar model-model ini, letakkan ke dalam blog saya. Masa itu Tumblr dan Instagram belum begitu aktif lagi. Walau bagaimanapun, orang industri fesyen perasan hasil kerja saya menerusi blog tersebut.

Syed Munawir Paris

Adakah bidang fesyen itu sesuatu yang sudah lama kamu suka atau minat?

Sejak dari sekolah menengah lagi saya menyemai minat fotografi, namun saya tidak memberi perhatian kepada bidang fesyen. Sayalah antara ahli kelab fotografi di sekolah yang menangkap gambar-gambar untuk majalah tahunan. Minat pada fotografi fesyen itu timbul semasa saya mula membaca majalah fesyen serta forum online.

Rakyat Malaysia yang berpangkalan di Paris. How do you cope with that? Terutama sekali lapangan fesyen di Paris.

Ia bukan semudah yang disangka. Payah juga. Kerana ada kekangan dari segi bahasa. I’d say the biggest obstacle was adapting to living in Paris, than breaking into the scene. I’m still learning on how to make it in the industry until today. Amat penting untuk kenal orang di sekeliling, sentiasa bersifat terbuka, memberi kerjasama dan banyakkan bersabar.

Apakah yang paling kamu suka tentang mengambil gambar di kota Paris?

Paris adalah kota yang banyak facades. Ia berjaya mencipta keindahan yang idealisitik menerusi filem atau iklan yang kita tonton. Tetapi sebenarnya, Paris sama saja dengan kota-kota lain. Setiap bahagian ada identiti tersendiri.

Kami perasan, gambar-gambar editorial kamu diambil di jalanan-jalanan kota Paris. Bagaimana broad boulevards dan avenues mengilhami kamu?

Saya rasa mengambil gambar dalam kawasan atau lokasi tertutup itu mencemaskan saya. Jadi, saya lebih suka mengambil gambar outdoor kerana impaknya berbeza. Kawasan jalanan yang besar dan luas itu memberi inspirasi rencam.

Kamu sudah mengambil gambar-gambar belakang pentas untuk Louis Vuitton, Dior Homme dan banyak lagi. Apakah perasaan menjadi sebahagian daripada momen tersebut?

Sampai ke sudah, saya masih merasakan ia umpama mimpi menjadi kenyataan. Saya seronok dengan kerja yang saya lakukan ini dan bersyukur kerana diberi peluang. Apabila saya melihat anak-anak muda yang menanti di luar pertunjukan tetapi tidak mendapat undangan semata-mata untuk melihat model-model, mengambil gambar-gambar mereka… mengingatkan saya tentang awal pembabitan saya dahulu.

Jelas kamu, kalau gambar-gambar belakang pentas, ia mendukung tema ‘persediaan’. Bagaimana pula dengan editorial? Apakah perbezaannya dari segi estetika?

Saya faham, untuk editorial ia memerlukan mood board dan seumpamanya. Tetapi dalam masa penggambaran editorial, stail saya lebih menjurus kepada ‘go with the flow’. Saya akan abaikan mood board, sebaik saja memulakan penggambaran.

Kim Jones mempersembahkan himpunan menswear-nya yang terakhir Januari lepas. Apakah emosi bermain ketika itu?

Ia adalah finale yang begitu menakjubkan. Final looks untuk persembahan Louis Vuitton menswear terakhir Kim Jones itu begitu membekas. Malah ia pertama kali saya mlihat Naomi Campbell dan Kate Moss di hadapan mata saya. A star struck moment!

Kamu pernah bekerjasama dengan model bernama Piero Mendez sewaktu dia masih lagi mentah dalam bidang modeling. Kini, namanya cukup dikenali. How do you know when a model ‘has it’?

Casting adalah sangat penting bagi saya. Saya mengaku yang saya sentiasa mengikuti perkembangan industri modeling. Daripada situ saya seperti boleh tahu atau agak siapa ones to watch.

Nasihat kamu untuk mereka yang menyimpan impian untuk terlibat dalam bidang fotografi fesyen? Lebih-lebih lagi di persada antarabangsa, sepertimana yang kamu lakukan sekarang.

Jangan pernah putus mencuba. Saya mungkin bertuah kerana ada keluarga dan teman-teman yang selalu memberi sokongan, sampai sekarang. Saya pernah berhenti beberapa kali dan saya sedar bahawa kesabaran adalah kunci utama.

Syed Munawir Paris
Gambar-gambr backstage di minggu fesyen menswear yang diambil oleh Syen Munawir

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE