Posted on December 23, 2020
The North Face X Gucci mengangkut kita ke dua alam. Alam nyata dan lamunan. Alam nyata yang mengajak kita mengharungi rimba belantara, mendaki bukit, menghidu udara dan menikmati simfoni flora fauna. Manakala alam lamunan yang mencungkil fitrah kita sebagai manusia, untuk memfantasikan pengembaraan jauh tanpa tuju, seakan-akan menyelami rahsia khazanah alam semula jadi!
Namun, perkelanaan dua alam ini sebenarnya bergerak mengikut kemanusiaan. Bak rentak sedegam, langkah sepijak, Gucci dan The North Face sependirian dalam menjangkaui kefahaman lazim tentang perkelanaan atau pengembaraan. Ia ‘menjamah’ sekali penemuan diri. Sebenarnya memberi kuasa kepada manusia untuk merai keperibadiannya dan menerbitkan rasa ingin tahu yang bersangatan dalam mengenali diri. Lantaran itu, Gucci dan The North Face menjadikan fesyen sebagai teras ‘perkelanaan yang mendorong penemuan diri’.
Dalam mengobarkan semangat perkelanaan atau pengembaraan itu, Gucci bersatu biduk dengan The North Face, menghasilkan himpunan pakaian serta aksesori buat si penjelajah stailish!
Apa yang tersedia dalam himpunan kolaborasi ini adalah pakaian sedia pakai, aksesori-aksesori seperti beg galas, but mendaki, topi bucket dan topi beanie. Ia juga tidak meminggirkan aspek-aspek yang ada kaitan dengan dunia penjelajahan, dengan menampilkan sekali item-item seperti khemah dan beg tidur.
Koleksi ini juga tidak bertelingkah dalam mengaburi garis lintang kejantinaan, memperkenalkan but mendaki gender-neutral material kulit yang dempak dan tegap yang direka dengan menggunakan tapak tayar Goodyear. But mendaki ini hadir dalam tiga rona utama – perang, hitam dan krim – dan tali kasutnya pula memimik tali untuk mendaki, manakala logo ‘The North Face X Gucci’ diletakkan pada bahagian tepi permukaan but.
Menyebut tentang himpunan pakaian sedia pakai pula, The North Face X Gucci membariskan ceraian-ceraian seperti kot berpad, jaket bomber, jaket quilted, baju panas, jaket bulu bebiri, rompi, kemeja, skirt dan juga jumpsut. Mengutip siluet-siluet yang ada pengaruh stail pakaian era 70an, himpunan pakaian sedia pakai The North Face X Gucci sengaja memulihkan ingatan kita pada rekaan-rekaan atau ciptaan-ciptaan asli The North Face pada era 70an dahulu. Rona-rona terang dan motif-motif flora atau organik (yang ada kaitan dengan gaya The North Face pada era 70an) menjadi pilihan utama untuk himpunan pakaian sedia pakai ini. Sudah tentu, logo-logo ‘The North Face X Gucci’ tergabung bersama – menghiasi bahagian badan baju, label pada lengan baju dan hujung skirt.
Ada lapan corak grafik baharu pada himpunan beg bagasi. Kesemuanya menampilkan rona-rona terang, motif rencaman Gucci House dan dua-tiga versi motif logo ‘The North Face X Gucci’. Seiringan dengan memperkasakan iltizam terhadap kelestarian fesyen, The North Face dan Gucci menyempurnakan rekaan beg bagasi dengan menggunakan material nilon yang mengandungi ECONYL, yang diguna semula – daripada karpet, jaring ikan dan bahan-bahan buangan lain. Sekaligus, ia membantu mengurangkan cap kaki karbon dan ekologi.
Koleksi ini akan mula dijual di Malaysia pada 8 Januari 2021
Apa pandangan anda?