SEARCH

Tiada Continuity, Bad Cut & No DNA – Idea Pengarah Kreatif Baru

Tiada Continuity, Bad Cut & No DNA – Idea Pengarah Kreatif Baru

Saat saya melihat persalinan Jennifer Lawrence sewaktu dia melangkah di permaidani merah Academy Awards, kata saya dalam hati, “Beginilah kalau tak ada Pengarah Kreatif yang mengawal rekaan.” Baju Dior JLaw nampak biasa sangat, tidak seperti yang selalu dipersembahkan oleh rumah fesyen ini waima di pentas fesyen mahupun di permaidani merah. Gabungan material seperti tak kena dan potongan juga biasa-biasa. Tidak menunjukkan langsung kemahiran bertahun-tahun yang dimiliki atelier rumah fesyen ini.

Itulah situasi yang terjadi jika kapal tiada nakhoda. Belayar tanpa arah tujuan dan tiada paksinya. Jadi tak terkejutlah kalau haluan kapal tersebut merata-rata. Dan terlihat pada cara belayarnya yang tiada berdestinasi. Beberapa rumah fesyen kehilangan Pengarah Kreatif bermula awal tahun ini. Lepas satu satu, pengumuman Pengarah Kreatif berhenti kerja dilakukan melalui laman instagram dan ditulis di laman-laman web. Bermula dengan Alexander Wang yang mempersembahkan koleksi terakhirnya untuk Balenciaga. Wang nampak cukup gembira dan free waktu melakukan final bow nya. Sehingga membuat saya terfikir, apakah dia tidak gembira sepanjang mereka untuk rumah fesyen itu? Apakah dia tidak free sehingga membuatkan dia nampak seperti burung yang terlepas dari sangkarnya di pertunjukan terakhirnya itu?

Selepas itu, pengumuman besar yang menyusul ialah peninggalan Raf Simons dari rumah fesyen Dior. Ini sesuatu yang agak mengejutkan kerana sewaktu Simons menyertai Dior, dia menjadi kebanggaan rumah fesyen ini sehingga dokumentari Dior & I diterbitkan bagi menunjukkan proses penerimaan Simons ke dalam rumah fesyen ini. Yang saya faham daripada cerita Simons ialah saya melihat dia menerima tawaran Dior kerana dia sering disebut sebagai pereka yang hanya arif tentang rekaan cult dan berteraskan falsafahnya sendiri sahaja yakni minimalisme. Seperti yang dilakukannya di rumah fesyen Jil Sander. Jadi penerimaannya memasuki rumah fesyen Dior itu hanyalah kerana mahu membuktikan bahawa dia juga pereka yang arif dengan ciri-ciri komersial dan bisa menerajui tampuk rekaan rumah fesyen agung dan komersial seperti Dior. Namun yang dia tidak tahu ialah tekanan dan desakan yang perlu diterima setelah menerajui rumah fesyen ternama. Dengan empat koleksi setahun, hanya pereka yang kuat sahaja tanpa desakan daripada bahagian pemasaran kamu bisa bertahan. Jika tidak jus kreatif sesiapa pun bisa kering. Pereka itu juga harus memikirkan keboleh jualan setiap koleksi yang direka itu. Masakan insan kreatif boleh dibatasi kreativitinya sebegitu?

Alber Elbaz di Lanvin juga memiliki sejarah yang sungguh indah. Rekaannya saban musim sentiasa mendapat pujian dan bersulam falsafah dan DNA rumah fesyen ini yang dimadukan dengan cukup sempurna. Tapi tiada siapa tahu di mana silapnya, dia juga mengumumkan pengundurannya dari rumah fesyen ini tidak lama selepas Simons meninggalkan Dior. Dikhabarkan Elbaz tidak lagi sebulu dengan pemilik rumah fesyen ini, magnet media Taiwan, Madam Wang (Shaw-Lan Wang).  Ini juga sering menjadi isu antara pereka dan pemilik rumah fesyen. Apabila kedua-duanya tidak lagi sefahaman, maka sukarlah untuk masing-masing menyokong pendapat masing-masing justeru menjurus kepada perselisihan faham dan tiada persetujuan. Saya sendiri tidak faham kerana Elbaz cukup cemerlang di Lanvin dan jualannya saban musim juga tidak pula melaporkan kerugian atau tiada penerimaan di kalangan pencinta jenama ini. Mungkin Madam Wang mahukan sesuatu yang lebih dan sesuatu yang lebih itu tidak mampu dipenuhi Elbaz langsung tidak lagi sampai mampu bekerjasama.

Terkadang-kadang kita sendiri tidak tahu apakah yang diingini pemilik rumah fesyen. Di kala jenama itu sedang laju meluncur ke depan dan ingin terbang tinggi, waktu itulah pemilik membuat keputusan merubah hala tuju dan memperkenalkan sesuatu yang baru. Sedangkan tiada apa masalah atau hiccups di sepanjang perjalanan itu. Apakah mungkin lebih baik mereka membawa masuk sahaja pereka yang lebih bijak bidang pemasaran dan publisiti seperti mengambil Kanye West misalnya untuk menjadi Pengarah Kreatif? Apakah ini bermakna estetika dan nilai rekaan tidak lagi penting dalam dunia fesyen hari ini? Atau apakah hala tuju dunia fesyen itu sendiri sudah berubah arah menuju ke arah meraih keuntungan semata-mata? Kamu nilaikan sendiri daripada pemerhatian saya terhadap tiga rumah fesyen yang tiada pereka atau memiliki Pengarah Kreatif baru.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE