Posted on September 15, 2020
Sebaik Dior mengkhabarkan yang ia sudah memiliki akaun Tik Tok rasmi, kami tahu Tik Tok bukannya perkara main-main. Keseriusan jenama-jenama atau rumah-rumah fesyen yang tidak memandang ringan hal akaun Tik Tok, bersungguh-sungguh menjadikan ia sebagai platform untuk menghubungkan mereka dengan orang luar sekaligus beralasan menjadikan ia sebagai ruang berniaga, membuktikan bahawa konsep media sosial yang mengusik pengikut-pengikut dengan video cabaran menari dan seumpamanya ini kian mendekati aspek baharu.
Pabila Tik Tok memaklumkan pula peranannya kini akan menghidangkan atau menyediakan kandungan-kandungan yang bersangkutan fesyen dan mengadakan bulan minggu fesyennya sendiri, perkara menjadi semakin serius.
Louis Vuitton (atas) akan turut serta dalam minggu fesyen #TikTokFashionMonth
Ya, Tik Tok akan menjadi platform atas talian yang mengadakan minggu fesyennya sendiri! Tik Tok berganding bahu dengan jenama-jenama fesyen mega – antaranya Louis Vuitton dan Saint Laurent – menyediakan kandungan-kandungan fesyen untuk jenama-jenama ini seperti mempersembahkan himpunan-himpunan terbaru dan mempertontonkan pertunjukan fesyen dalam bentuk strim secara langsung. Apakah ia dijangka mencabar platform Instagram? Tak mustahil.
Berjuta-juta pengguna aktif Tik Tok kini berpeluang untuk merasa pengalaman ‘duduk di barisan hadapan ketika pertunjukan fesyen’, menyaksikan himpunan jenama-jenama fesyen mewah! Bulan ini, bulan September, lazimnya adalah bulan minggu fesyen, lantas empat lokasi utama – Milan, Paris, New York dan London – pasti ligat dalam meneruskan tradisi kalendar sosial minggu fesyen dan mengadakan pertunjukan. Namun oleh kerana pandemik COVID- 19, segalanya terbatas. Segalanya dipecahkan dalama aturan baharu. Pertunjukan fizikal berubah menjadi konsep digital. Jika ada pertunjukan fizikal sekali pun, undangan-undangan yang datang pula dihadkan.
Dengan keadaan interaksi serta perhubungan sosial manusia yang sepertikan terbantut kini, atas dasar itulah jenama-jenama fesyen berubah 180 darjah dan beralih ke platform media sosial seperti Tik Tok. Sementelahan dalam pada usaha Presiden Donald Trump cuba mengharamkan Tik Tok di Amerika, Tik Tok memperkenalkan #TikTokFahsionMonth yang membenarkan pengguna-pengguna untuk melayari dan menonton pertunjukan fesyen strim secara langsung.
Berlangsung sepanjang bulan minggu fesyen sehinggalah 8 Oktober nanti. Dua pertunjukan fesyen utama akan dipertontonkan setiap minggu. Di samping Louis Vuitton dan Saint Laurent, JW Anderson turut mempertontonkan pertunjukan fesyennya menerusi Tik Tok pada 28 September nanti. Apatah lagi selepas fenomena #HarryStylesCardigan yang pernah tular di Tik Tok tahun ini, masakan JW Anderson tidak menggunakan platform Tik Tok dalam mempersembahkan himpunannya. Perekanya, Jonathan Anderson memandang serius Tik Tok dan beranggapan bahawa platform ini mencabar kelaziman serta adalah satu “perekaan baharu”.
Melabel platform minggu fesyen ini sebagai “immersive”, Tik Tok akan menyediakan link yang bersifat komunal dalam memudahkan hubungan antara jenama fesyen dengan pengguna. Malah, sebagai platform yang mengetengahkan ikon-ikon Gen-Z, minggu fesyen Tik Tok ini juga akan menampilkan sosok-sosok popular Tik Tok seperti Wisdom Kaye serta Nick Tangorra di mana mereka akan terbabit sekali dalam acara-acara tertentu!
Apa pandangan anda?