SEARCH

#TravelInSTAIL Busan & Seoul : Menyingkap Fesyen & Kecantikan Di Lokasi Terpenting Korea Selatan

#TravelInSTAIL Busan & Seoul : Menyingkap Fesyen & Kecantikan Di Lokasi Terpenting Korea Selatan

Dinamik dua kota terpenting Korea Selatan terlihat dengan stail dan fesyen yang terkedepan. Kedua-dua kota ini masing-masing berkiblatkan rentak gaya yang tersendiri atau punya kualiti distingtif dan unik. Namun, kedua-duanya saling tidak bertelingkah. Mengembara ke Busan dan Seoul memberi akses kepada kami untuk mengamati fesyen atau gaya sebenar orang-orangnya. Sering kami lihat fesyen atau gaya Korea Selatan menerusi media sosial, paparan skrin komputer, K-Drama dan video muzik K-Pop. Kami sekadar mengimaginasikan fesyen atau gaya Korea dalam kepala dan tidak menyaksikan ia dengan mata kasar.

Tetapi pengalaman tujuh hari ke Busan dan Seoul menajamkan mata juga minda kami. Terutama sekali buat yang pertama kali memijakkan kakinya di bumi Korea Selatan (seperti saya). Ghairah yang mencipta keinginan untuk meneliti trend K-Fashion sebetulnya, akhirnya jadi kenyataan dan mengusir angan-angan kami!

Pengembaraan tujuh hari itu ditemani lagi oleh dua figura yang cukup dikenali di Malaysia – penyanyi juga pelakon Daiyan Trisha dan pelakon baru yang kian melonjak naik namanya yakni Nabil Aqil – masakan gaya-gaya mereka terabai. Kami sempat mempersiapkan Daiyan dan Nabil dalam gaya-gaya yang seakan-akan bertemakan K-Fashion, namun dalam nada minimum, untuk ke setiap lokasi terpilih.

BUDAYA STAIL SANTAI BUSAN

Kawasan perairan yang melingkungi metropolitan Busan, memperlihatkan budaya pantai sedikit sebanyak menggungguli trend di sana. Apa sahaja yang terkait dengan kehidupan pantai, misalnya gaya-gaya relaks, ada pengaruh West Coast, bersahaja dan bersifat acuh tak acuh menjadi citra fesyen Busan. Tambahan pula, jati diri orang-orangnya sangat ramah dan lebih lantang dalam percakapan. Jadi, kedua-dua aspek ini menyempurnakan satu sama lain dalam membudayakan fesyen di Busan.

Sepanjang perjalanan kami di sekitar Haeundae yang betul-betul terletak di pesisir pantai, jelas terlihat aspek relaks dan kesukanan mencorakkan penggayaan orang-orang lokal. Mereka lebih senang berkemeja T, berpakaian longgar dan ada kalanya berseluar jean sahaja sudah mencukupi. Barangkali juga kerana pengaruh budaya pantai, lelaki dan perempuan di sana lebih well-built dari segi fizikal serta cara hidup. Membenarkan mereka untuk mencampuradukkan teras kesukanan dalam penampilan.

Namun, kedinginan yang menggigit sewaktu berada di sana, lebih-lebih lagi menjelang malam, menuntut mereka untuk menyarung jaket-jaket tebal. Pemilihan jaket pun lebih menjurus kepada jenama sukan seperti Champion, Fila dan Adidas. Dan mengenali Korea Selatan sebagai syurga membeli-belah kasut buat sneakerhead – oh, mesti singgah ke ABC Mart setiap kali ke Korea Selatan, tempat membeli kasut-kasut sniker pada harga yang berpatutan! – semestinya kasut-kasut sniker sukan menjadi pilihan pelengkap gaya mereka.

Sebaik beranjak ke Gwangbok-ro Fashion Street di tengah-tengah kesibukan kota Busan, yang menderetkan kedai-kedai serta butik-butik fesyen menarik, menyaksikan sedikit perubahan dari segi aliran gaya. Masih ada pengaruh budaya pantai dan sukan seperti yang dinyatakan di atas. Tetapi kelaziman K-Fashion tersisip bersama. Semua yang menggamit kita fasal K-Fashion seperti helaian bersaiz besar, trend topeng muka, topi beret dan baju-baju panjang labuh menjadi perkiraan gaya anak-anak muda Busan. Aturan gaya mereka lebih bertenaga. Malah, oleh kerana kehomogenan masyarakat Busan, sehingga ada pelancong-pelancong asing yang kami lihat datang berkunjung pun tidak segan mendandani diri dalam penggayaan K-Fashion.

airasia x korea stail.my #travelinstail busan seoul daiyan trisha nabil aqil

Bagi mencapai trend atau stail tema pengembaraan Busan, kami bercadang untuk tidak merumitkan penampilan. Menata gaya yang ringkas pada Daiyan dan Nabil, tidak lebih daripada padanan dua warna dan mencerminkan minimalis moden. Alasan yang mendasari pemilihan gaya ini adalah untuk menonjolkan diri di kalangan ramai pada masa sama tidak menyingkir terus estetika K-Fashion.

Daiyan bergaya dalam dress panjang yang menudungi tubuh, dress slip dilapiskan atas kemeja putih dan kot panjang bersama kemeja dengan skirt dalam rupa cinched waist untuk gaya si perempuan. Manakala baju panas ribbed labuh, baju kain kapas dan helaian denim penuh atas bawah buat sang Nabil pula mengundang kelainan. Tidak terlalu tipikal.

GAYA ‘AMBIVERT’ DI SEOUL

Merantau ke Seoul menyelak lembaran baharu. Seoul yang sememangnya ultra-moden, terkenal dengan teknologi tinggi dan seni bina gah menjanjikan pengalaman yang menakjubkan. Kami datang dengan sebongkah harapan untuk menyaksikan sama ada tanggapan yang terbit fasal K-Fashion di Seoul tidak tertangkis. Tepat sekali tanggapan kami setelah menjejakkan kaki ke kota Seoul. Fashion scene Seoul adalah ‘eksport’ Korea Selatan sehingga menamakan Seoul sebagai hab rujukan fesyen untuk alam generasi baharu.

Bagaimana kami menyimpul fesyen Seoul? Ia sepertikan menyatukan estetika extrovert dan introvert. Kami kira pengaruh K-Drama dan K-Pop begitu signifikan sehingga mempengaruhi medan fesyen Seoul. Penuh warna-warni atau lebih loud seperti dalam muzik video K-Pop. Namun, kami perasan rata-rata menggemari gaya warna hitam penuh atas bawah. Menurut pemerhatian kami, agaknya itu adalah ‘sukma’ Seoul yang sebenarnya. Mereka lebih senang dengan imej yang menampakkan sisi edgy, sungguhpun hitam atas bawah tetapi ada ‘kejutan’ dari segi rekaan helaian yang dipakai.  

Gambaran K-Drama, K-Pop dan warna hitam tidak membantutkan idea kami dalam menjelmakan penggayaan sewaktu ke lokasi-lokasi yang sangat dikenali. Dari Dongdaemun Design Plaza, ke Madang Flower Café, – lokasi terhangat K-Drama seperti Goblin – kemudiannya jalanan Hongdae, Myeongdong serta Gangnam, Yeouido Hangang Park dan macam-macam lagi.

Sebaliknya, kami memilih stail atau gaya ke lokasi-lokasi ini bermain dengan aspek architectural dan sedikit structured buat Daiyan. Mungkin kerana di Seoul, susunan gayanya jadi lebih berani. Contohnya, kami mengenakan dia dalam dress tube panjang besar dipakai bersama kemeja putih yang hampir memimik siluet dress tradisional Korea yakni hanbok. Tidak lupa juga stail kegemaran kami yakni skirt over shirt turut diselitkan sekali, yang mencabar kreativiti kami dari segi pengolahan ceraian yang berbeza warna serta rekaannya. Ia menyerlahkan diri, saat bercengkerama mengitari jalanan-jalanan Seoul seraya menangkap gambar-gambar #OOTD. Apatah lagi pabila berlatarkan seni bina futuristik seperti Dongdaemun Design Plaza!

Idea yang kami semai pada penggayaan Nabil pula sedikit berbeza. Helaian yang seakan-akan seragam dalam siluet minima, stoking suit yakni kemeja T dilapis atas kemeja putih bersama jeans labuh serta kemeja korduroi warna terang dengan seluar kaki lebar yang benar-benar mencerminkan paduan extrovert dan introvert menjadi sendi gaya lelaki. Oppa dalam interpretasi baharu.

SOLEKAN MUSIM BUNGA INSPIRASI #travelinstail BUSAN & SEOUL

Oleh: Amira Azman

Pabila kita berbicara tentang solekan K-Beauty, satu yang terdetik di fikiran saya ialah solekan kemilau kemudian bibir pula merah digayakan ombre. Dan sebaik kami tiba di dua kota popular Korea iaitu Busan dan Seoul, kami dapati solekan mereka hari ini kelihatan lebih fresh dan kadang-kala bold menangkas persepsi klise saya. Kami berpeluang untuk mencipta semula dengan sedikit suntikan nafas baru bagi memadu dengan busana pilihan Editor Fesyen kami.

Sesuai dengan musim bunga, melihat cherry blossom mekar, solekan pilihan saya dan jurusolek Emmy Agung untuk Daiyan buat trip stailish travel ini adalah solekan yang berdasarkan daripada palet rona yang lembut-lembut sahaja. Jika hendak bercerita tentang tip dan idea solekan paling stailish apabila mengembara, ikuti jurnal perjalanan trip kami dari tanah air ke Busan sehinggalah ke Seoul yang cukup menyeronokkan ini.

airasia x korea stail.my #travelinstail busan seoul daiyan trisha nabil aqil

Pertama sekali tip kami, seeloknya pilih solekan yang ringan sahaja saat mahu memulakan perjalanan pengembaraan kamu terutama sekali ketika menaiki kapal terbang. Tidak perlu mengenakan solekan tebal. Seperti selebriti-selebriti Korea, antara tip cantik mereka saat mengembara ialah dengan mengenakan solekan paling tipis kerana mereka mahukan kulit wajah mereka bernafas dengan baik sewaktu di dalam kapal terbang untuk mengelakkan kulit kering atau juga breakout. Kamu pasti tidak mahukan kulit wajah meragam saat kamu bercuti, bukan?

Berbicara tentang solekan sesuai saat mengembara, kunci solekan kami untuk keseluruhan kembara stailish Daiyan ini ialah palet rona lembut dengan mainan warna-warna seperti merah jambu serta sedikit sentuhan kemilau. Adakalanya kami mengenakan solekan monokromatik untuk menaikkan lagi mood musim bunga. Kemudian kami padankan dengan beberapa gaya rambut seperti ponytail tinggi, elemen aksesori rambut yang begitu ‘in’ kini iaitu aksesori barettes, juga ada masa kami memilih untuk membiarkan rambut lepas mengurai.

Solekan monokromatik menggunakan palet mengikut pantone tahun ini iaitu Living Coral juga menjadi antara solekan pilihan kami. Bukan sahaja rona ini menjadi kegilaan dalam trend solekan musim bunga di negara Barat, malah juga di negara Asia, rona ini sering dilihat di jalanan. Dan wanita Korea hari ini sebenarnya dilihat lebih berani menggayakan rona yang sedikit bold berbanding sekadar melayangkan rona-rona lembut bagai tiada ‘tarikan’ di wajah mereka. Solekan ini banyak dapat dilihat ketika di Korea terutama pada musim-musim bunga dan luruh.

Untuk membezakan solekan siang dan malam, kami memilih untuk mengenakan gincu bibir rona merah buat Daiyan. Usah gentar dengan rona merah. Rona ini sebenarnya sesuai digayakan wanita di setiap peringkat umur cuma kamu perlu tahu palet merah mana yang sesuai dengan tona bawah kulit kamu. Seperti solekan monokromatik, solekan bibir merah ini juga sering kali menjadi pilihan dan dapat dilihat digayakan pada bibir wanita-wanita Korea. Baik wanita muda mahupun wanita berkerjaya, merah ini mampu menyuntik rona dan menaikkan lagi seri wajah cerah mereka.

Justeru itu, kami terinspirasi untuk mencipta solekan yang mampu menaikkan mood romantik dan hangat sewaktu melawat lokasi seni bina indah pada sebelah malam seperti melawat Dongdaemun Plaza Seoul juga ketika berlibur di Bay 101 Busan ini. Jika dilihat, pemilihan solekan malam ketika di Bay 101, Busan agak istimewa. Kami memilih untuk bermain dengan look yang sedikit ekstra. Kami padankan bersama gaya rambut sleek separa basah disisir ke tepi. Dan untuk melengkapkan gaya keseluruhan, kami layangkan penggaris mata untuk mencipta solekan cat eye di tambah sedikit olesan pembayang mata rona tanah untuk mencipta solekan sedikit dramatik.

Percutian kamu pastinya lebih stailish jika kamu turut sama menitikberatkan soal penampilan diri. Baik daripada segi pemilihan pakaian yang selesa juga solekan yang mampu menaikkan seri wajah dan sempurna untuk ‘selfie cam’ kamu, kesemuanya sama penting. Dan mengembara ke kota Seoul dan Busan yang mengumpulkan komuniti fesyen dan juga syurga kosmetik ini adalah antara pilihan yang tepat buat kamu yang mahu percutian yang menyeronokkan. Ingat, pastikan juga kamu menyusun beg mekap kamu dengan baik, elak kembara dengan bagasi yang berat penuh barang mekap kamu sahaja. Harus bijak menyusun agar percutian kamu lebih lancar dan sempurna. Apa lagi, rancang dan tempah tiket ke Korea bermula sekarang! 

Videografer: Kevin Loh (Octopost Studio)
Arahan Seni: Ashura Hakim
Mekap: Emmy Agung

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE