SEARCH

Bottega Veneta Baharu Yang Artistik! Dihidupkan Oleh Tyrone Lebon & Siapa Dia?

Bottega Veneta Baharu Yang Artistik! Dihidupkan Oleh Tyrone Lebon & Siapa Dia?

Mata yang memerangkap imej The New Bottega ini menatap makna tersirat. Orangnya berjiwa artistik, menyulam kiasan mahupun sindiran ke atas imej kempen fesyen yang baharu ini. Dia bersama-sama si pengarah kreatif Bottega Veneta, Daniel Lee mewadahi kita dengan satu pandangan berbeza tentang status kemewahan tradisional. Mereka mensubversikan kuasa, membiarkan sudut perspektif unik merajai akal kita.

Berjaya Tyrone Lebon melenakan kita dengan maya buana Bottega Veneta musim luruh 2019. Simbol kereta berona emas yang ‘tegak berdiri’, berlatarkan basin konkrit di Joshua Tree, California yang membentengi suasana, disempurnakan lagi oleh langit biru dan pancaran cahaya semulajadi menerangi imej – yang sudah menjadi identiti Tyrone – mencorakkan seting yang memerihalkan ‘endless possibilities’. Semuanya adalah tentang membaharui serta memodenkan nilai kemewahan itu.  

Tidak hairanlah mengapa Daniel menyunting Tyrone dalam berperanan sebagai fotografer imej musim luruh ini. Kerana Tyrone adalah antara satu-satunya fotografer yang bisa merencanakan satu horizon yang ada nilai seni atau artistik. Mengiringi kemahuan serta daya pemikiran Daniel – menimbuni yang lama dan menyemat kebaharuan. Tidak lagi mulih ke masa silam, sebaliknya meresap kesegaran yang tak terduga. Itulah prinsip The New Bottega. “Fall 2019 is clean, precise and polished.”

bottega veneta daniel lee tyrone lebon fall 2019

SIAPA TYRONE LEBON?

Tyrone bukanlah seorang yang terlalu baharu mentah dalam lapangan fotografi. Bukan hanya fotografi sahaja, malah bidang perfileman pun. Sudah lama Tyrone bergiat dalam industri ini, sedari dia berusia 18 tahun lagi. Menangkap gambar-gambar temannya, menghasilkan imej-imej hitam putih. Cuma detik di mana Tyrone benar-benar menambat perhatian segenap dunia fesyen adalah pada enam tahun lepas, sewaktu menjadi fotografer rasmi untuk kempen Calvin Klein musim luruh dingin 2013.

Di sini, kami kongsi sedikit fakta mengenai Tyrone Lebone, insan yang bertanggungjawab dalam membaharui Bottega Veneta!
 CALVIN KLEIN JEANS ADALAH KEMPEN FESYEN PERTAMA

 

Taasub dengan imej atau gambaran yang memerihalkan suasana tertentu, Tyrone mengambil gambar yang bertemakan parti rock liar untuk kempen fesyen Calvin Klein Jeans musim luruh dingin 2013. Kempen ini adalah kempen fesyennya yang pertama! Bermula daripada kempen ini, Tyrone mula mendapat perhatian dan dia terus disunting oleh jenama-jenama lain untuk menjadi fotografer rasmi kempen fesyen mereka serta turut ligat beraksi mengambil gambar-gambar editorial fesyen.

MENAMBAT HATI PHOEBE PHILO

Phoebe Philo, mantan pengarah kretif Celine, sering melantik Juergen Teller sebagai fotografer rasmi untuk kempen fesyen Celine. Sudah bertahun-tahun Juergen berganding bahu dengan Phoebe, kecuali untuk kempen Resort 2015 Celine – imej kempen fesyen tersebut diambil oleh Tyrone! Ya, hanya Tyrone seorang sahaja yang berjaya menambat hati Phoebe dan ‘memecah’ tradisi ‘Phoebe-Philo-Juergen-Teller’. Tyrone satu-satunya fotografer yang pernah bekerja bersama Phoebe dalam menghasilkan kempen fesyen Celine, selain Juergen.

DOBEDO

Tyrone dan adiknya, Frank Lebon mendalami minat yang sama. Yakni fotografi dan perfileman. Mereka berdua mengasas DoBeDo, platform atas talian yang bertujuan untuk mengetengahkan bidang kreatif fotografi dan perfileman – platform di mana fotografer dan pembuat filem boleh membuat publisiti tentang hasil-hasil kerja mereka.

MENGHASILKAN ‘REELY AND TRULY’

Tyrone pernah menghasilkan sebuah filem pendek berdurasi 30 minit, berjudul Reely And Truly. Diolah dalam gaya sajak visual, apa yang terkandung dalam filem dokumentari ini adalah kisah budaya, stail serta praktis fotografer-fotografer kontemporari. Antara fotografer-fotografer yang terlibat termasuklah Mario Sorrenti, Juergen Teller, Takashi Homma, Petra Collins dan ramai lagi.

‘INSIDE THE BUM’ – THE BEACH BUM

Tyrone dan Frank memunculkan idea buku bertajuk Inside The Bum – buku edisi terhad yang mendokumentasikan siri foto daripada pembikinan filem Harmony Korine, The Beach Bum. Filem yang dibintangi Zac Efron, Matthew McConaughey, Isla Fisher dan Snoop Dogg. Al-kisahnya, Tyrone dan Frank diundang oleh Harmony sendiri ke set penggambaran The Beach Bum dalam masa beberapa minggu. Kedua-dua mereka diberi kebebasan untuk mengitari set penggambaran tersebut, mengambil seberapa banyak imej atau gambar proses pembikinan The Beach Bum.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE