SEARCH

UNIQLO Lancar Himpunan Kolaborasi Peter Saville, Julai Ini

UNIQLO Lancar Himpunan Kolaborasi Peter Saville, Julai Ini

Betapa rapatnya Peter Saville dengan dunia fesyen, sampaikan hubungan yang terjalin tiada asing lagi. Artis grafik ini yang sudah puas mengerah seluruh tenaga kreatifnya untuk rumah-rumah fesyen besar seperti Dior, Jil Sander, Raf Simons dan tahun lalu, dia menafaskan kebaharuan ke atas logo Burberry yang dikepalai oleh Riccardo Tisci.

Dan baru-baru ini, dalam menegapkan lagi hubungan dengan dunia fesyen, di minggu fesyen menswear yang tengah hangat berlangsung sekarang, kita saksi Peter ligat beraksi di atas pentas Salvatore Ferragamo musim bunga panas 2020!

UNIQLO Lifewear menyusul, mengorak langkah yang sama untuk himpunan terbaru pada bulan Julai ini! Pernah UNIQLO menyunting Peter dalam menghasilkan himpunan kolaborasi ulang tahun ke-30 Pac Man terdahulu dan kali ini, dia hadir kembali menjayakan rangkaian aktif daripada UNIQLO.

uniqlo peter saville

“Menerusi himpunan terbaru ini, matlamat saya adalah untuk mendorong orang menikmati pakaian-pakaiannya dengan tidak menyisih citra-citra rekaan yang tersemat sekali,” jelas Peter. Menghidangkan rangkaian koleksi sepuluh item utama – lima untuk lelaki, empat untuk perempuan dan satu untuk kanak-kanak yang terdiri daripada rangkaian DRY-EX, AIRism serta pakaian-pakaian aktif yang lain. Membariskan kemeja T, kemeja polo, seluar sendat lembut, seluar pendek, parka dan helaian-helaian lain yang menekankan aspek prestasi seperti keringanan juga breathability.

Menyentuh perkara yang berkaitan dengan cetusan inspirasi buat himpunan kolaborasi ini, ucap Peter, dia mengelompokkan gambaran pergerakan harian manusia, melakarkan data ini dalam rupa saintifik dan bersifat eksperimen. Peter olah semua ini menjadi citra rekaannya. “Saya mencipta satu koleksi unik yang mempertalikan rekaannya dengan data atau informasi, yang diperoleh daripada elemen kewujudan orientasi kehidupan hari-hari.”

Buat yang ternanti-nantikan koleksi kolaborasi UNIQLO X Peter Saville ini, ia bakal dilancarkan pada 15 Julai dan bisa didapati di mana-mana stor UNIQLO juga di atas talian.

uniqlo peter saville

Antara item-item Uniqlo X Peter Saville

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE