SEARCH

STAIL.MY ♥ UNIQLO : Summertime Madness!

STAIL.MY ♥ UNIQLO : Summertime Madness!

Musim panas datang membahangi alam, namun ia tidak menghambat hasrat kami untuk terus bergaya! STAIL.MY sekali lagi bahu-membahu dengan UNIQLO dan kali ini, tim editorial ligat beraksi menyarung himpunan-himpunan yang mencerminkan musim panas. Masing-masing tak alah, mempamerkan identiti tersendiri. Menterjemahkan aturan stail bersifat nautikal sehinggalah yang memelihara modesty.

Fabrik kapas, jersi, seersucker, nilon kalis air, korduroi, denim juga sutera menjadi pilihan utama, selaras dengan perihal musim panas STAIL.MY. Membina kreativiti kami dari aspek padanan – ceraian-ceraian berunsurkan siluet longgar, rekaan ketat, fabrik yang bertentangan sifatnya serta unexpected pieces disatukan. Menggabungkan sekali rangkaian UNIQLO yang pelbagai, contonya seperti UNIQLO U dengan UT COLLECTIONS, helaian rencaman daripada HANA TAJIMA dan rangkaian kolaborasi PETER SAVILLE dengan himpunan asas UNIQLO LifeWear. Inspirasi kami? Musim panas ala 90an!

Rangkaian HANA TAJIMA serta rangkaian kolaborasi bersama PETER SAVILLE menjadi tumpuan utama. Untuk rangkaian HANA TAJIMA, kami mengambil himpunan musim luruh dingin 2019 (ceraian yang kena dengan iklim panas), menyatukan ia bersama beberapa helaian daripada himpunan musim bunga panas 2019. Musim luruh dingin 2019 HANA TAJIMA mengait tema ‘Underground’ yang melaung keperkasaan perempuan. Ia meminjam elemen gaya maskulin, dipertemukan dengan aspek femininity bagi mencorakkan sendi utama ‘Underground’. Lantas gaya-gaya untuk musim luruh dingin lebih menjurus kepada nada gaya yang bersifat universal, bertunjangkan kebendaliran dan versatility.

Satu lagi rangkaian yang menjadi fokus kami ialah UNIQLO x PETER SAVILLE. Integrasi UNIQLO bersama insan yang sangat penting buat industri fesyen antarabangsa, PETER SAVILLE – artis grafik yang sangat signifikan buat jenama-jenama seperti Raf Simons, Burberry dan Dior – mengeluarkan satu koleksi yang berasaskan kesukanan atau sporty. Himpunan kolaborasi yang membariskan pakaian-pakaian aktif, rangkaian AIRism serta DRY-EX, memperlihatkan inovasi Peter menyemat lakaran motif data pergerakan harian manusia sebagai grafik utamanya.

Jom, kita lihat penggayaan STAIL.MY, menggabungkan beberapa rangkaian UNIQLO, mencipta look yang berteraskan summertime madness!
GAYA PEREMPUAN

Penulis Kecantikan, Amira Azman memilih seluar jean sebagai ceraian utama dalam penggayaannya. Jean dalam potongan relaks, dengan kemasan kaki raw edges, dipadankan bersama blaus hijau senteng berjalur HANA TAJIMA. Blaus diikat hujung bajunya, untuk menayangkan skin dan pada masa sama menyerlahkan tubuh mungil Amira. Gaya yang serba ringkas, bertepatan dengan tema musim panas.

Untuk sesuatu yang menafaskan gaya modesty modern, rujuk gaya Zana Amar, Pengurus Jualan kami! From head to toe, keseluruhan gaya daripada rangkaian HANA TAJIMA. Dia memilih ceraian blaus mock neck, dipadukan bersama seluar woven senteng yang relaks dari segi rekaannya. Ia dilengkapi oleh gaya turban stole bermotifkan geometri jaluran, bagi menegaskan kontra.

Pengarah Kreatif, Merrissa Emilda membayangkan gaya musim panas Eropah atau gambaran perempuan berbasikal di tengah kota bersejarah sewaktu musim panas untuk penggayaannya. Dia mengahwinkan tunik kapas lengan panjang berleher V daripada HANA TAJIMA dengan skirt penuh lisu daripada UNIQLO LifeWear sengaja untuk memperlihatkan padanan tekstur. Ia disudahi tali pinggang berona coklat sebagai aksesori tambahan.

Ashura Hakim, si Pengarah Seni, selesa berskirt korduroi dan kemeja kapas – daripada rangkaian LifeWear – untuk tema musim panas STAIL.MY. Pelet rona hangat menjadi perhitungan gaya ini di mana padanan skirt korduroi potongan mini berona wain bersama kemeja kapas berona seakan-akan pic. Diolah pula seperti bermalas-malas atau bersahaja, menyerlahkan sisi laid-back.

 

Genderless menunjangi gaya Ketua Pengarang, Azreezal Hafidz memilih skirt dan blaus untuk gaya musim panas. Berilhamkan workwear, dia memadankan skirt midi denim jersi LifeWear dengan blaus kemeja kapas lembut berlengan pendek dan disempurnakan oleh blazer berona biru kelasi yang oversized (blazer milik Azreezal sendiri), untuk ada personal touch. Gaya yang berani dan mencadangkan sesuatu yang lain daripada yang lain.

GAYA LELAKI

Penulis Budaya, Zaidi Che memilih pelet rona dingin dan gelap sebagai gaya musim panasnya. Dominasi rona biru kelasi antara kemeja berkolar Cuban dan seluar panjang EZY ala-ala jogger, kemudian memadankan gaya tersebut dengan kemeja T bercorak grafik kartun daripada rangkaian UT COLLECTIONS. Sungguhpun palet rona dingin, namun corak grafik kartun dan butiran kolar Cuban berjaya menghidupkan tema musim panas!

Selaku Pengarang Fesyen, saya mahu mengetengahkan konsep gaya berani bermain dengan padanan rona terang neon dan motif jaluran – motif yang sinonim dengan musim panas. Lalu, saya memilih kemeja polo rangkaian kolaborasi PETER SAVILLE yang berona hijau neon, dipakai bersama seluar pendek seersucker bercorak jaluran. Oh, kardigan kelabu semata-mata untuk ‘meneutralkan’ gaya.

Inspirasi gaya nautikal, seolah-olah meluncur di atas kapal layar kecil di tengah lautan. Itulah yang menjadi sendi gaya Ryan Mohamad, Pengarang Gaya Hidup. Ada tiga ceraian yang menjadi tumpuan gayanya – parka BLOCKTECH labuh bersaiz besar berona hijau olive, kemeja putih easy care stretch dan seluar pendek kapas. Dia menggabungkan ketiga-tiga ceraian tersebut, melapis parka atas kemeja.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE