Posted on July 27, 2020
Pementasan Valentino Haute Couture 2020 / 2021 menyahut kemahuan dunia fesyen sekarang. Sama seperti rumah fesyen lain, Valentino tunduk pada kehebatan digital, mempersembahkan himpunannya menerusi medium digital kepada audiens secara langsung dengan menabur fantasi dalam penceritaannya kali ini. ‘Of Grace And Light’ adalah tajuk persembahan Valentino Haute Couture 2020 / 2021, yang mencungkil dialog yang terbentuk antara Pierpaolo Piccioli dan Nick Knight.
Dalam pada sedunia dihimpit pandemik, ada bagusnya jenama-jenama atau rumah-rumah fesyen menerbitkan konsep digital sebagai metode pementasan himpunan masing-masing. Daripada membenarkan kebuntuan bertugu dalam akal, lebih baik menggunakan metode digital dengan sebetulnya, menerapkan suatu gagasan baharu dan uji setakat mana keberkesanannya. Lihat apakah metode digital ini memberi kemenangan atau tidak. Selagi tidak cuba, selagi itu tidak tahu. Kelaziman baharu ini lantaran kekacauan wabak, makanya agak rugi buat sesetengah jenama yang tidak lekas mengutip metode digital ini. Sebaliknya masih mempercayai konsep tradisional – pentas peragaan fizikal yang dihadiri oleh barisan jemputan. Contohnya seperti Jacquemus dan Etro.
Untuk jenama yang usianya sudah enam dasawarsa, dikenali dengan kehandalannya mereka dress, couture dan seumpamanya, Valentino memperlihatkan peralihan – daripada mempersembahkan himpunannya dalam konsep klasik atau tradisional kepada sederap melangkah dengan tuntutan dunia sekarang yang cuba menormalkan digital. Jadi, idea digital itu pun turut dikutip oleh Valentino dalam mempersembahkan ‘Of Grace And Light’.
Sehari sebelum ‘Of Grace And Light’ dipertontonkan kepada umum, jemputan dihantar kepada media, influencers dan ramai lagi. Mulanya menyangka akan ada persembahan secara langsung – seperti pesembahan nyanyian – yang mengiringi himpunan couture Valentino, kerana apa yang ditulis pada jemputan adalah ‘Live Performance’. Malah ada juga menyangka ia seperti apa yang Gucci lakukan untuk Gucci Epilogue. Yakni strim secara langsung selama 12 jam yang menunjukkan proses di balik tabir.
Namun, apa yang dipersembahkan umpama sebuah cereka fesyen. Pierpaolo Piccioli mencetuskan idea tersebut dengan merealisasikannya di Studios of Cinecitta di Rom, Itali dan memilih fotografer Nick Knight sebagai rakan kerjasamanya. ‘Of Grace And Light’ adalah cereka ala pantomin atau lakon bisu, menampilkan model-model seperti Mariaclara Boscono, Ana Jorge dan Adut Akech, menghidupkan jasmani masing-masing di tengah-tengah arena aerial, seperti satu persembahan aerial Cirque du Soleil.
Rakaman awal ‘Of Grace And Light’ mempertontonkan kita dengan aksi-aksi model didandani dalam rekaan-rekaan couture Valentino, seraya kegelitaan latar belakang menyaingi busana masing-masing. Nick, selaku videografer, sengaja menyelit glic serta gangguan imej pada visual pantomin ini. Untuk menggambarkan karakter dan menambah drama pada rekaan-rekaan Valentino yang dramatik.
Pancaran cahaya bak projektor atau alur laser yang bercorak organik menyoroti busana-busana tersebut. Ia menyesatkan minda kita mula-mula, ingat rekaan-rekaannya sarat motif-motif botani dan organik. Kemudian, di pertengahan cereka ‘Of Grace And Light’, ia mendedahkan rekaan-rekaan sebenar. Di mana kesemua 15 rekaannya serba serbi putih dan model-model kelihatan berdiri teguh dalam siluet yang saiznya ‘pelik’ pada mata kasar kita – skirt labuh panjang ekstra yang agak mustahil untuk ‘skala’ saiz manusia sebenar. Seperti apa yang ditonjolkan oleh @insidethemood, ia mengingatkan kita pada siluet dress Grace Jones yang dicoretkan oleh Keith Haring untuk video muzik “I’m Not Perfect” pada 1986.
Menurut Pierpaolo, mengapa dia memilih putih, adalah kerana baginya putih itu memanifestasikan permulaan yang baharu. Permulaan yang memerihalkan kemungkinan yang tak berhujung. Apalagi dikaitkan dengan pandemik sekarang ini, barangkali akan ada ‘rekonsiliasi’ pada pengakhiran nanti. Maka itulah Pierpaolo membiarkan ‘blank state’ putih menyimbah busana-busananya, kerana kononnya ia membolehkan idea atau apa-apa garisan (bersifat positif) memenuhi ruang putih tersebut.
‘Of Grace And Light’ ini cukup artistik. Bukan sahaja dengan estetika rekaan Pierpaolo, malah juga idea di sebalik serta falsafah yang terbina dalam rekaan-rekaannya. Cuma, sejujurnya, berdasarkan pemerhatian peribadi, persembahan digital daripada Valentino ini agak mengelirukan. Ia menyulitkan kami sebagai audiens, cuba memahami apa yang disampaikan. Video yang diolah oleh Nick pula membuatkan mata kami yang menonton terkejar-kejar untuk melihat – ya, kami faham Pierpaolo dan Nick sengaja mahu mengelirukan kerana di akhir video, mereka mendedahkan rekaan-rekaan sebenar – dan bayangkan seandainya ada audiens yang tidak dapat menahan sabar, langsung keluar terus daripada sesi secara langsung tersebut.
Mungkin untuk persembahan digital pertama atau yang julung kali dibuat, lebih baik untuk tidak mengolah sesuatu yang ultra-artistik. Ya, benar sandiwara artistik adalah cara untuk menggambarkan couture kerana punya kelas distingtif dan membuktikan nilai kemewahan. Namun mengulang semula apa yang kami nyatakan di atas, untuk persembahan digital pertama, lebih baik keep it real. Seperti yang Viktor & Rolf lakukan.
Apa pandangan anda?