SEARCH

Walter Chiapponi Pengarah Kreatif Baharu TOD’S & Siapa Dia?

Walter Chiapponi Pengarah Kreatif Baharu TOD’S & Siapa Dia?

Seandainya kita merentas masa ke tahun lewat 90an, era seluar labuh, gilet dipakai dengan kemeja T dan zaman subbudaya Rave mempengaruhi fesyen, kita bisa lihat bakat Walter Chiapponi yang bergiat aktif dalam dunia fesyen. Graduan European Institute of Design yang sudah mengutip banyak pengalaman bekerja dengan beberapa jenama fesyen ternama ini, kini dilantik sebagai pengarah kreatif baharu Tod’s.

Kami mahu ucap selamat kepada Walter kerana menggalas satu tanggungjawab baharu, menyelia rekaan-rekaan lelaki serta perempuan untuk jenama Tod’s! Congrats, Walter!

Telah terbetik berita pelantikan Walter ini minggu lepas, di mana dia mengisi terus dua kelowongan yang ditinggalkan oleh Andrea Incontri pertengahan tahun ini – pengarah kreatif untuk bahagian lelaki – dan Alessandra Facchinetti – pengarah kreatif untuk bahagian perempuan. Walter akan mula mereka serta mempersembahkan debut Tod’s-nya tahun hadapan, untuk himpunan musim luruh dingin 2020/2021.

Anak jati Itali, jelas Walter tentang kehadirannya sebagai pengarah kreatif baharu Tod’s, “Saya berbesar hati kerana diberi peluang bekerja bersama Tod’s, jenama yang mencemerlangkan stail juga kualiti Itali. Ia bukan sahaja satu cabaran, malah satu kebanggaan kerana diberi peluang untuk menyumbang kepada perkembangan gaya hidup Itali Tod’s.”


Untuk mengenali serba sedikit siapa Walter Chiapponi, kami kongsikan kepada kamu beberapa fakta tentangnya!

SEBELUM TOD’S, WALTER DI BOTTEGA VENETA

Walter sebelum ini bekerja di bawah naungan Tomas Maier di Bottega Veneta. Dua tahun dia bersama mantan pengarah kreatif Bottega Veneta itu dan seterusnya, dia diambil oleh Diego Della Valle, presiden Tod’s Group, untuk menyelia bahagian kreatif Tod’s.

PERNAH BEKERJA UNTUK PRADA, VALENTINO… AND THE LIST GOES ON

We’re not kidding. Resume dan portfolio Walter sangat ‘dahsyat’. In fact, bukan sahaja Bottega Veneta yang terkandung dalam resume Walter. Dia sudah ‘mengendong’ banyak pengalaman bekerja sebagai pereka juga pengarah rekaan untuk beberapa jenama fesyen terkemuka. Selepas bekerja untuk Givenchy di Paris, Walter pulang ke Itali dan mula bekerja untuk jenama-jenama seperti Prada, Valentino, Miu Mu dan Gucci. Kemudian, barulah Walter bekerja dengan Tomas di Bottega Veneta.

SEORANG YANG STAILISH!

walter chiapponi creative director tod's

Melihat karakter atau gaya peribadi Walter, dia sepertikan ada gabungan Alessandro Michele (teman rapat Walter) dan Jeremy Scott sedikit. Dia sangat stailish, penampilannya sedikit eksentrik, tidak takut bermain dengan corak serta warna. Menyitir kata-kata Diego, “Walter Chiapponi adalah pengarah kreatif Itali yang sangat berbakat, dan mampu mempertemukan kemodenan dengan craftsmanship Tod’s.” Ya, benar. Jika menilai gaya peribadi juga keperibadian Walter, dia bisa menyuntik kemodenan atau kemudaan ke atas Tod’s dan memenuhi cita rasa milenial – kehendak pasaran sekarang!

SEORANG YANG ‘REAL’ DI INSTAGRAM

Berdasarkan pemerhatian kami, seperkara tentang Walter adalah dia tidak menyembunyikan siapa dirinya yang sebenar di media sosial. Seorang yang jujur, tidak kisah atau tidak berkira dalam berkongsi apa yang dia suka dan minat. Tidak hairan Diego melantik Walter, jangkaan kami kerana, Tod’s mahukan “the people’s people” sebagai penyelia baharu mereka. Seseorang yang dekat dengan orang luar dan mampu menawan pasaran yang lebih luas.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE