Posted on April 15, 2020
WFH atau bekerja dari rumah betul-betul membenarkan kita menyelami sifat kendiri kita. Sifat dalaman yang berbeza daripada luaran kita – tabiat kita yang sebenarnya suka bersantai, sifat kita yang tenang, bukan jenis yang tergesa-gesa dan malah bila bangkit pagi-pagi pun tidak bergopoh-gopoh. Kerana dalam kepala kita sudah menetapkan rutin harian, yakni lepas bangun pagi, tak perlu lagi meligatkan enjin kereta, meredah keributan lalu lintas. Hanya perlu bergerak ke meja serta kerusi yang barangkali selang beberapa langkah sahaja dari bilik tidur. Mahupun yang terbaik adalah sekadar baring di atas katil sahaja.
Dah masuk minggu keempat kita dalam perintah berkurung dan buat yang tidak terbabit dengan lapangan barisan hadapan atau kerja-kerja essential services, #dudukRumah adalah sebahagian daripada sumbangan kepada negara. Sungguhpun taklah sebesar mana, tetapi sekurang-kurangnya kita meringankan kerja barisan hadapan, kan? Lantaran itu, keadaan WFH dan #dudukRumah ini telah menuntut kita untuk mengubah set minda tentang hal berpakaian – di mana kita dah mula berfikir tentang pakaian apa untuk dipakai di dalam rumah.
Gaya pakaian oversized yang sudah menjadi stail kegemaran saya
Tidak ada istilah kemeja, sut, blazer, seluar slek mahupun skirt pensil buat masa sekarang. Potongan slim, sendat atau pakaian yang kemas rapi, terletak elok pada tubuh bukan lagi fokus kita dah. Ceraian-ceraian sebegini tersimpan elok dalam gerobok dan barangkali akan hanya mula dipakai dalam masa sebulan dua lagi?
Mujur saya (secara peribadinya) menghimpun ceraian-ceraian oversized. Saya sudah lama ‘berjinak-jinak’ dengan ceraian-ceraian yang bersaiz besar, longgar atau labuh dan bila melihat keadaan sekarang… well, this is where my oversized pieces come into play! Bukan sahaja ceraian-ceraian oversized, malah apa-apa sahaja ceraian yang longgar, labuh dan seumpamanya. Ceraian-ceraian ini, saya kira, ceraian yang masuk akal sekarang kerana ia jauh lebih selesa, bersifat acuh tak acuh serta cocok dengan situasi di rumah. Nak bersiap beria-ia pun untuk siapa sahaja, kan? Setakat untuk bersidang di Skype atau mesyuarat di Zoom, tak perlulah kut.
Refinery29 ada memperkenalkan terma “Inside Clothes” – yang berkaitan dengan pakaian-pakaian untuk mereka yang bekerja dari rumah. Tambahan pula, jenama-jenama fesyen sekarang yang sudah mentengahkan trend modest, turut menegapkan lagi aspek fesyen yang tidak asing lagi dengan konsep besar, labuh atau longgar. Boleh jadi, #SelfIsolation atau perintah berkurung ini membuka mata atau minda kita tentang seragam baharu untuk bekerja. Tak mustahil.
Cadangan kami? Seandainya hendak memakai ceraian-ceraian bersaiz besar, labuh atau longgar untuk dipakai di rumah pun, pilihlah yang cantik sedikit. Mahupun stailish. Janganlah yang nampak terlalu selekeh, bermalas-malas atau kelihatan seperti give up on life. Alang-alang sedang menikmati masa berada di rumah seharian, apa kata sisip sekali kemahuan untuk tampil bergaya. Dan ingat, tiada siapa yang akan menghakimi kamu! Tidak ada sesiapa yang hirau pun.
CERAIAN-CERAIAN (AFFORDABLE) YANG KAMU BOLEH PAKAI UNTUK WFH!
Dari kiri : kemeja dress UNIQLO, slip dress satin Zara & kemeja dress sifon Zara
Dari kiri : kemeja dress Monki, dress kemeja T UNIQLO & dress Topshop
Dari kiri : kaftan H&M Studio, kemeja labuh Dorothy Perkins (daripada Zalora) & jumpsuit COS
Apa pandangan anda?