SEARCH

#YoungAndTalented Bersama Nazrin, Pereka DBLA Mahu Menghidupkan ‘Komuniti’ Celik Fesyen

#YoungAndTalented Bersama Nazrin, Pereka DBLA Mahu Menghidupkan ‘Komuniti’ Celik Fesyen

“Tak semua dapat terima nilai fesyen saya. Jadi, peranan saya adalah untuk memahat ilmu fesyen di dada dan minda mereka. Mewujudkan gerombolan yang celik fesyen,” jelas Mohd Nazrin Shah atau lebih mesra dipanggil Ayen, pereka juga pengasas jenama DBLA – ‘Dee-Bee-El-Ey’ atau Double A – yang memasang niat untuk mendidik masyarakat tentang fesyen, menerusi rekaan-rekaan begnya.

Mula-mula, DBLA adalah jenama fesyen yang mengeluarkan rekaan pakaian. Kemeja T hitam dan kemeja T mesh yang melekat sebagai sandaran bisnes utama. Ia kemudiannya berubah haluan dan Ayen memfokus sepenuhnya (buat masa ini) ke rekaan-rekaan aksesori, yakni beg.

“Mereka beg lebih senang dikawal, berbanding baju. Dari segi pola serta proses kerja pembuatan, beg lebih mudah untuk diurus. Tambahan pula, mereka beg bukanlah sesuatu yang baharu buat saya. Saya memiliki skil mereka beg sedari waktu belajar lagi,” ucap Ayen yang sebelum ini belajar seni reka fesyen di Giat MARA. Kemahiran Ayen mereka beg bermula ketika institusi pembelajaran mereka didatangi satu kompeni yang membantu pelajar-pelajar, membuat beg tangan dengan menggunakan tikar dan batik. “Daripada situlah, saya belajar cara membuat beg.”

Bergerak secara independent yang berpangkalan di rumah serta melalui media sosial, atas dorongan famili serta teman-teman rapat, DBLA kini mula menambat perhatian segenap pencinta fesyen lokal dan perlahan-lahan, ia menembusi pasaran antarabangsa. Dalam ruangan #YoungAndTalented kali ini, kami mendekati Ayen dan berbual lanjut dengannya tentang jenama fesyen DBLA yang diasasnya!


bersama ayen, pereka & pengasas jenama dbla

Daripada kemeja T berpaling haluan ke rekaan aksesori, yakni beg. Dan beg yang kamu reka adalah pasaran yang niche di Malaysia. Kamu tidak takutkah dengan cabaran yang dihadapi oleh DBLA?

Ayen : Memang kita kena takut. Kerana daripada takut itu, ia mengajar kita untuk buat atau menghasilkan sesuatu yang lebih baik, menjadi yang terbaik. Saya sedar pasaran rekaan beg DBLA bukannya sesuatu yang semua orang dapat terima pakai. Tetapi alhamdulillah, saya tahu, ada pasaran untuk rekaan beg sebegini. Beg saya beransur-ansur mula mendapat perhatian orang ramai dan mana tahu satu hari kelak, pasarannya tidak lagi terhad. Dan semua orang boleh menerima estetika DBLA. Insya Allah.

Seperti yang kamu bilang bahawa orang sekeliling (mereka yang kurang tahu fasal fesyen) mula memberi perhatian kepada apa yang kamu buat dan menunjukkan minat ke atas apa yang diketengahkan oleh DBLA.

Ya, betul. DBLA ini bermula secara kecil-kecilan sahaja dan pada awalnya, saya memfokuskan pada pasaran di sekeliling saya dahulu. Langsung, mereka mengambil tahu apa yang saya dan DBLA buat, dan mereka menerima pakai rekaan beg (juga kemeja T) DBLA. Secara perlahan-lahan, pada masa yang sama, saya mendidik mereka fasal fesyen. Saya mahu mereka kenal fesyen bukan takat itu sahaja, ia sebenarnya lebih luas. Ada pelbagai.

Saya tidak menyuruh atau memaksa mereka untuk pakai sebagaimana estetika DBLA. Namun, zaman sekarang, semua orang ada media sosial yakni Instagram, kan? Jadi daripada situ, mereka follow Instagram saya, mereka mula tahu apa itu DBLA, mereka suka dan belajar sedikit-sedikit fasal fesyen. Kiranya, saya membudayakan fesyen di kalangan mereka.

dbla instagram lokal independent brand malaysia

Bercakap mengenai Instagram, apakah kepayahan atau cabaran yang dialami oleh pereka-pereka muda seperti kamu? Terutama sekali dalam hal berniaga.

Saya merasai cabaran tersebut. Kerana saya lakukan semuanya bersendirian – dengan bantuan isteri saya. Saya tidak ada staf atau pekerja. Malah, sourcing material atau fabrik, berjumpa klien dan proses penghantaran pun semua saya buat sendiri. Perencanaan bisnes pun semua atas usaha saya sendiri. Ambil gambar untuk mempromosikan rekaan beg saya pun, sendiri-sendiri juga. Haha! Saya tahu, itulah persediaan yang harus saya ‘telan’.

Dan bercakap fasal Instagram, saya menjadikan Instagram sebagai medium utama bisnes DBLA. Cabarannya cuma saya harus sentiasa keep my Instagram handy, kerana daripada situlah saya berkomunikasi dengan pelanggan-pelanggan saya. Tetapi, Instagram sangat-sangat membantu terutama sekali buat pereka-pereka muda seperti saya dan lain-lain. Bukan sahaja memudahkan komunikasi kami bersama pelanggan-pelanggan, seperti mana semua orang tahu, ia adalah akses mudah buat perniagaan independent. Post gambar, letak kapsyen tentang butiran produk, promosi dan seumpamanya, semua menerusi Instagram. DBLA pun hanya bermula dengan Instagram sahaja.

Oh, daripada mana kamu dapat nama DBLA?

Ia adalah ‘Double ‘. ‘A’ itu adalah gabungan nama saya dan isteri saya – Ayen dan Ayu.

Saya ingin menyentuh sedikit fasal mereka beg. Kamu cakap mereka beg lebih terkawal dan saya faham, kerana material yang digunakan lebih mudah untuk dikerjakan dan penggunaan mesin juga menjimatkan masa, kan. pendek kata ‘tidak merenyahkan’?

Saya setuju. Kamu faham, bukan? Contohnya, mereka beg menggunakan material PVC – beg-beg DBLA banyak menggunakan PVC. Lagi tebal PVC itu, lagi mudah untuk dikawal. Senang untuk dipotong dan dibentukkan. Dari segi pola pula, pola beg tidak merumitkan berbanding pola pakaian. Tambahan lagi, menghasilkan baju atau pakaian melibatkan penggunaan mesin yang perlu bertukar-tukar jarum dan benang yang kadang-kadang mengambil masa.

Jadi, beg-beg kamu tidak menggunakan mesin jahit?

Buat masa ini, tidak. Jika kamu lihat ‘anatomi’ rekaan-rekaan beg saya, saya hanya menggunakan rivet sahaja untuk mencantumkan ia.

dbla instagram lokal independent brand malaysia

Apakah sendi inspirasi beg-beg DBLA?

Selain belajar membuat beg sewaktu belajar, saya juga banyak mempelajari origami menerusi buku-buku serta Youtube. Rekaan-rekaan beg saya dipengaruhi oleh elemen origami – aspek lipatan serta olahannya. Maka, ia menyenangkan saya untuk meneliti pola beg itu bagaimana rupanya. Kadang-kadang, selain origami, saya juga suka pada pola-pola kotak yang saya buka, kemudian ubah bentuknya dan ia turut menjadi estetika rekaan DBLA.

Apakah identiti DBLA pula? Seandainya sebut sahaja DBLA… pasti dikaitkan dengan…

Warna hitam! Saya terfikir juga untuk mengubah warnanya. Namun, buat masa sekarang saya menumpukan perhatian pada warna hitam sahaja dulu. Oh, dan satu lagi adalah extra straps. Rekaan-rekaan beg saya pasti ada extra straps yang berperanan sebagai rekaan semata-mata.

Selain cross-body, apa lagi rekaan beg yang akan ditampilkan oleh DBLA?

Saya sekarang dalam proses untuk mereka dan memperkenalkan neck bag. Selepas ini, saya dalam perancangan untuk mengeluarkan beg untuk perempuan pula. Mungkin beg-beg perempuan ini akan dihasilkan dalam rona yang berbeza daripada hitam.

Tentang kolaborasi kamu bersama Rafe Off (jenama yang diasaskan oleh Ridduan Ismail atau TTFGA), bagaimana DBLA boleh terbabit sekali? Apakah cerita di sebaliknya?

Saya mengagumi kerja-kerja Ridduan sebelum ini. Sebaik sahaja mendapat tahu bahawa Ridduan akan mengeluarkan himpunan jenama fesyennya, Rafe Off dan dia mencari-cari jenama beg lokal sebagai rakan kolaborasi di minggu fesyen Kuala Lumpur, terus saya menghubunginya. Dia suka pada rekaan-rekaan beg saya dan selepas berjumpa dengannya, saya menghasilkan rekaan-rekaan baharu khusus untuk diserasikan dengan himpunan Rafe Off. Oleh itu, saya memunculkan rekaan seperti lunch bag dan supermarket paper bag.

Ada rekaan-rekaan beg yang baharu itu atas idea Ridduan sendiri juga. Kami seia sekata merealisasikannya dan semuanya dipersembahkan buat julung kali di atas pentas KLFW baru-baru ini. Ia juga menandakan debut DBLA di persada besar seperti KLFW.

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE