Posted on January 19, 2021
Pada era bangkitnya gelombang menggemilangkan dan memantapkan kelestarian fesyen kini, Zalia Basics turut menyertai ‘sampan tunda’ yang sama. Zalia Basics menggalas ia sebagai satu tugas atau tanggungjawab untuk membangunkan jiwa serta fikiran pelanggan-pelanggannya, agar menjadi lebih sedar dan prihatin terhadap alam sekitar sejagat.
Zalia Basics mahu memandang ke hadapan, membayangkan perubahan dalam modest wear atau pemakaian sopan – berkaitan dengan aspek kelestarian fesyen – dan dengan yang demikian, ia menampilkan himpunan diffusion-nya yang mesra alam, yakni Earth by Zalia Basics!
APA ITU EARTH BY ZALIA BASICS?
Perkara berkenaan kelestarian fesyen atau sustainable fashion pernah berbangkit dalam pertemuan kami dengan beberapa pereka fesyen serta pengasas jenama fesyen lokal. Persoalannya, menuju ke arah pembangunan dan kepesatan dunia pada tahun 2020-an, bagaimana agaknya penerimaan aspek ‘kelestarian fesyen’ di kalangan masyarakat kita nanti? Pertemuan itu mencapai kata muafakat, yakni menghendaki pereka-pereka fesyen atau pengasas-pengasas jenama fesyen lokal untuk tidak bertunda-tunda. Sebolehnya bertindak pantas atau pada saat ini, sudah mula mendidik dan mendorong masyarakat tentang kelestarian fesyen.
Kelestarian fesyen itu perlu diterapkan baik menerusi proses sepanjang mereka atau menghasilkan pakaian, memperkenalkan himpunan yang seratus peratus environmentally responsible mahupun penggunaan fabrik yang tidak terbazir demi memelihara alam.
Lantas, jenama ini tidak melambat-lambatkan hasratnya. Ia mengambil inisiatif untuk memulakan sesuatu usaha yang mengetengahkan kelestarian fesyen… munculnya himpunan Earth by Zalia Basics! Sudah mula dijual di Zalora, ia adalah rangkaian 23 helaian pakaian yang menggunakan fiber LENZING ECOVERO dalam proses pembuatannya. Menampilkan helaian-helaian atau ceraian-ceraian yang tak makan dek zaman, mereka sengaja menyelit idea “wears for longer” – berkaitan dengan idea pemakaian sesuatu pakaian untuk jangka masa yang lama bagi mengelakkan pembaziran. Untuk merealisasikan idea tersebut, mereka menggunakan material viskos daripada LENZING ECOVERO.
Tambahan pula, material LENZING ECOVERO ini diperoleh daripada sumber yang boleh diperbaharu dan ia membantu pengurangan kesan cap kaki karbon persekitaran.
Patuh pada etika yang dapat menyembuh alam sekitar dan menjadi lebih progresif dari segi menyuntik kelestarian fesyen dalam proses pembuatan pakaian. Harapan mereka adalah mahu menjadi sebahagian daripada penyumbang besar kepada pemeliharaan juga pemuliharaan alam. Memilih fiber LENZING ECOVERO (sebagai material utama dalam himpunan Earth by Zalia Basics) pula kerana mahu menghidupkan ‘ekosistem’ fesyen yang lebih sihat.
Ceraian untuk bahagian atas, bahagian bawah serta dress-dress daripada Earth by Zalia Basics hadir dalam rona-rona rosewood, perang, hitam & sebagainya. Lengan kembong, lengan bell-shaped & kolar dengan stail ala prairie menjadi butiran-butiran utama Earth by Zalia Basics. Tidak lari daripada konsep modest wear, ia masih mengekalkan siluet atau rekaan pakaian yang longgar, potongan relaks & minimal.
SEDIKIT TENTANG LENZING ECOVERO
Berbekalkan 80 tahun pengalaman, Lenzing Group adalah satu-satunya syarikat yang menghasilkan fiber selulosa yang berasaskan kayuan. Ia juga menghasilkan fiber berkualiti tinggi yang berasaskan pulpa daripada ladang-ladang pokok sustainable. Dalam memperjuangkan kelestarian sebagai dasar gaya hidup semasa, Lenzing Group memperkenalkan material LENZING ECOVERO – fiber semula jadi yang mesra alam, menepati piawaian yang dapat memelihara alam dan sekaligus, mengurangkan kesan cap kaki karbon.
Apa pandangan anda?