Posted on June 15, 2025

Pertama, kongsikan segalanya tentang diri kamu?
Nama saya Seri Juwita sebenarnya, tapi di media sosial saya menggunakan nama Eyta Juwita. Berumur 28 tahun, saya merupakan seorang pencipta kandungan. Namun, sekarang saya lebih ke arah live stream kerana banyak permintaan untuk menjadi host live stream untuk pelbagai jenama.
Kongsikan cabaran bergelar seorang live host?
Sebagai seorang live host, cabaran utama yang sering dihadapi adalah bagaimana untuk menyakinkan penonton supaya membeli produk yang sedang dijual. Ini bukan sahaja memerlukan bakat bercakap, tetapi juga teknik pemasaran yang berkesan serta kemahiran komunikasi yang baik. Penonton perlu yakin bahawa produk yang kita promosikan berkualiti dan sesuai untuk mereka. Jika mereka tidak percaya pada kita atau produk tersebut, sukar untuk mereka membuat pembelian.

Apakah kelebihan kamu sebagai seorang live host?
Biasanya cara hosting saya adalah lebih bersahaja. Saya lebih selesa untuk mengacara seperti sedang berborak dengan para penonton. Contohnya, kalau saya sedang menjual susu dan ada para ibu yang bertanya tentang produk tersebut. Saya akan jawab seperti sedang berborak namun tetap memberikan jawapan yang lebih details untuk membantu mereka memahami produk tersebut. Saya elakkan daripada bercakap terjerit-jerit dalam live, gaya saya lebih santai. Kadang-kadang siap menyanyi dalam live. Untuk dapat mood santai dan fun.

Kongsikan satu ‘ritual’ kamu sebelum mula hosting
Biasanya, saya akan memuat naik video behind the scenes (BTS) daripada sesi live terdahulu di akaun peribadi saya, walaupun sesi tersebut sebenarnya dijalankan melalui platform milik klien. Ini membantu saya mencipta rasa keterujaan dan keterlibatan di kalangan pengikut saya di TikTok, kerana mereka akan merasa lebih dekat dengan saya secara peribadi. Dengan cara ini, saya bukan sahaja dapat menarik lebih ramai penonton ke sesi live saya, tetapi juga membina hubungan yang lebih erat dengan pengikut saya yang sedia ada. Secara tidak langsung, ini membantu menaikkan awareness terhadap produk atau jenama yang saya promosikan.

Kamu juga merupakan seorang pencipta kandungan, kongsikan kandungan yang kamu ketengahkan?
Sebagai seorang pencipta kandungan, saya banyak mengetengahkan topik berkaitan gaya hidup, termasuk perkongsian pengalaman peribadi, tip kesihatan serta aktiviti harian. Saya juga berkongsi pengalaman travel ke destinasi menarik, di samping mengetengahkan idea penggayaan outfit harian — dengan tujuan memberi inspirasi kepada penonton untuk memadankan pakaian dalam gaya yang ringkas namun tetap menarik.
Eyta ada tak syarat tersendiri bila pilih jenama untuk bekerjasama?
Sebenarnya, saya mempunyai beberapa syarat apabila memilih jenama untuk bekerjasama, terutamanya dalam kategori produk penjagaan kulit. Secara jujur, saya jarang menerima tawaran untuk produk jenis ini kerana kulit saya jarang mengalami masalah seperti jerawat. Disebabkan itu, saya rasa bertanggungjawab untuk tidak mengelirukan pengikut saya — saya tidak mahu terlibat dalam kempen yang memerlukan saya berpura-pura menghadapi masalah kulit yang saya sendiri tidak alami.
Saya percaya bahawa kejujuran adalah asas penting dalam membina kepercayaan dengan audiens. Jika sesuatu produk benar-benar sesuai dengan keadaan kulit saya atau mempunyai manfaat lain yang boleh saya kongsikan secara jujur, barulah saya akan mempertimbangkan kerjasama tersebut. Bagi saya, ini penting agar setiap kempen yang saya sertai kekal tulen dan relevan.

Jika kamu berpeluang untuk kembali ke 10 tahun yang lalu apa yang ingin kamu katakan kepada diri sendiri?
Kalau saya diberi peluang untuk kembali ke 10 tahun yang lalu, saya akan menasihati diri saya sendiri agar lebih berhati-hati dalam memilih orang yang berada di sekeliling. Saya akan tekankan bahawa lingkungan kita mencerminkan siapa diri kita — jika kita dikelilingi oleh individu yang negatif, kita juga mudah terpengaruh dengan perasaan yang sama. Sebaliknya, apabila kita memilih untuk berada bersama mereka yang positif, memberi inspirasi dan sentiasa membangkitkan semangat, kita akan lebih terdorong untuk berkembang menjadi versi yang lebih baik.
Orang-orang inilah yang akan membantu kita untuk terus maju, mencapai potensi sebenar dan kekal bersemangat walaupun berdepan cabaran. Sebab itu, saya ingin ingatkan diri saya yang lebih muda agar lebih berani menapis siapa yang wajar ada dalam hidup kita — kerana kualiti orang sekeliling sangat mempengaruhi arah dan perjalanan hidup kita.
Writer : Syafiqah Alkaf
Art Director: Merrissa Emilda
Project Manager : Ija Rahman
Studio : Peeking Visuals
Photographer/Videographer : Kelemayar Studio & Peeking Visuals
Videoeditor : Kelemayar Studio
BTS Videographer : Jordi Harris
Stylist: Ben Ong/ETC Smiles
Solekan : Barenbliss Malaysia
Rambut : El Manda Zuhairy
.gif)



















.gif)

Apa pandangan anda?