Posted on July 1, 2021
Jika dilihat pada rupanya yang bersegi dan futuristik, sukar dipercayai bahawa sudah 10 tahun Honda CR-Z dilancarkan. Ya, itulah hakikatnya.
Tetapi tahu tak bahawa Honda CR-Z hampir tidak dapat masuk ke Malaysia? Perdana Menteri Malaysia waktu itu, Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan, telah melanjutkan pengecualian cukai eksais dan import kereta hibrid sehingga akhir 2011, maka Honda CR-Z pun dilancarkan di Malaysia. Pengecualian cukai ini dilanjutkan dua kali lagi, hingga akhir 2013.
Sepanjang tempoh hayatnya di Malaysia, kuasa keseluruhan sistem Honda CR-Z menerima sedikit penambahan, dari 124 PS dan 174 Nm kepada 136 PS dan 190 Nm. Selain itu, transmisi manual 6-kelajuan dan CVT automatik dikekalkan.
10 Tahun Honda CR-Z
Secara visual, CR-Z facelift yang dikemaskini menerima perubahan pada gaya luaran, termasuk bampar dan lampu baharu. Tetapi perubahannya memang sangat minima.
Apa yang membezakan CR-Z facelift dan sebelumnya ialah butang “S+” baharu, yang berfungsi memberikan tambahan kuasa segera. Ia hanya didapati apabila tahap bateri sekurang-kurangnya empat bar.
Berkenaan harga, apabila Honda Malaysia melancarkan varian manual CR-Z pada 2011, ia berharga RM 115,000 – agak mampu-milik jika mengambil kira bahawa ia CBU (diimport sepenuhnya) dari Jepun. Model CVT berharga RM 4,000 lebih mahal.
Harga meningkat sedikit semasa pengenalan model facelift pada 2013. Kedua-dua model manual dan CVT menerima kenaikan harga RM 4,000, menjadikan harganya masing-masing RM 119,000 dan RM 123,000.
Selain daripada kenaikan harga, boleh dikatakan harga CR-Z masih dikira mampu milik kerana menjelang 2014, harganya naik mendadak. Dengan cukai penuh dikembalikan, Honda CR-Z dijual pada harga RM 183,000 – terlalu tinggi untuk hatchback kecil.
Maka tidak hairanlah, jualan rendah dan harganya yang agak tinggi membuatkan CR-Z dihentikan jualannya di Malaysia tidak lama kemudian.
Walaupun tidaklah berumur panjang, ‘cuti’ cukai itu sememangnya memberikan peluang memiliki kenderaan hibrid buat rakyat Malaysia. Hari ini, Honda Malaysia terus menjadi pelopor untuk menawarkan kenderaan hibrid dengan Honda City RS.
Artikel ini ditulis oleh Amirul untuk WapCar
Apa pandangan anda?