Populariti Korea Selatan di kalangan rakyat Malaysia memang tidak perlu dipertikaikan lagi. Sejak syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia memperkenalkan perjalanan ke Seoul, Busan dan Jeju, ramai pengembara yang berebut-rebut membeli tiket untuk mengintai negara yang mendunia menerusi muzik K-Pop ini.
Anda sendiri bagaimana? Sudah sampai ke Korea Selatan atau belum? Jika belum, dan masih tidak pasti sama ada ingin ke sini atau sebaliknya, artikel ini mungkin membantu anda membuat keputusan. Tak kenal, maka tak cinta. Maklumlah, lain orang, lain ragamnya. Cuma penulisan ini bukanlah tentang Seoul, Jeju atau Busan, tetapi penulis mahu membawa anda mengintai secara maya ke bekas wilayah di Korea Selatan yang kini diiktiraf sebagai sebuah negeri, Gangwon.
Destinasi ini sangat popular di kalangan penduduk tempatan kerana ia merupakan salah satu tempat terbaik untuk meraikan keindahan alam semulajadi. Terlalu banyak yang boleh dilihat. Jadi, janganlah ‘kedekut’ jika ingin menjejakkan kaki ke sini.
Satu lagi fakta yang anda mesti tahu ialah, Gangwon juga merupakan destinasi popular di kalangan penggiat seni di sana. Kumpulan kegilaan ramai, BTS tidak terkecuali menjadikan Gangwon sebagai latar video muzik mereka! Gangwon juga merupakan lokasi penggambaran banyak drama TV popular seperti, Goblin, The Glory dan Winter Sonata.
Untuk perkongsian pertama ini, kami perkenalkan tiga tarikan yang mesti anda lawati jika ke sana. Semua persinggahan ini adalah saranan Gangwon Tourism Organization (GWTO) yang membawa sekumpulan media dan pempengaruh ke sana baru-baru ini. Trip yang ditaja bersama AirAsia ini adalah bersempena dengan Pameran Perhutanan Gangwon.
1. Pantai Maengbang
Pantai yang dulunya hanya dilawati oleh penduduk setempat, kini menjadi tarikan yang dijejaki oleh pengembara dari seluruh dunia. Semuanya adalah gara-gara kumpulan BTS yang menjadikan pantai ini sebagai lokasi penggambaran untuk album Butter mereka. Sejak foto album Butter BTS dilancarkan, ramailah peminat kumpulan ini berpusu-pusu ke pantai ini untuk merakam memori dan mencipta semula gambar-gambar seperti yang dipotretkan oleh BTS. Maklumlah, semua prop yang digunakan sepanjang fotografi ditinggalkan di sini.
Apabila anda mula-mula sampai di pantai, anda serta-merta boleh melihat deretan kerusi dan payung yang berwarna terang seolah-olah menggalu-alukan kedatangan pengunjung. Selain itu, ada juga mercu tanda bertulis BTS yang menanti pengunjung untuk bergambar sepuas-puasnya. Tidak ketinggalan, jaring bola tampar dan kerusi pengadil yang turut membolehkan anda mencipta semula beberapa foto yang dirakam oleh BTS. Cuma perlukan kesabaran tinggi kerana ramai yang ingin bergambar di sini. Jika anda bukanlah seseorang yang sanggup berbuat apa sahaja demi ‘content’, curilah kesempatan yang ada dengan berehat sambil menikmati pemandangan alam yang terbentang luas di depan mata.
2. Mureung Byeolyucheonji
Mureung Byeolyucheonji merupakan tarikan terbaharu dan unik yang menanti di Donghae, Gangwon. Belum begitu dikenali oleh penduduk tempatan, apatah lagi pengembara dari luar negara, tarikan ini menjanjikan keseronokan dan ledakan adrenalin. Ia merupakan bekas lombong batu kapur yang dibangunkan semula oleh pihak kerajaan tempatan menjadi sebuah taman tema.
Sebaik sahaja memasuki tarikan ini, pengunjung akan terpesona dengan keindahan alam semulajadiya. Bukit-bukau diselimuti kehijauan, begitu juga dengan tasik, ia dikelilingi dengan bunga-bungaan indah (bergantung pada musim) yang semestinya memancing bidikan kamera. Tidak ketinggalan, pemandangan gunung yang menjulang tinggi menyentuh awan. Antara permainan atau tunggangan yang boleh anda cuba di sini ialah Sky Glider, Alpine Coaster dan Rollercoaster Zip Line yang menjanjikan keseronokan tanpa batasan. Inilah masanya untuk anda menjerit sepuas-puas hati untuk melepaskan bebanan stress!
Sky Glider yang membawa empat penumpang pada satu-satu masa merupakan tunggangan paling popular di mana pengunjung dibawa terbang secara mengundur sebelum dilepaskan terbang bagaikan ‘superman’. Mungkin ia kedengaran ngeri pada sesetengah orang, namun percayalah kepuasan yang dinikmati bukan kepalang! Sebelum meninggalkan tarikan ini, pengunjung sangat disarankan supaya mencuba ‘aiskrim simen’ yang dijual di Mukho Cafe. Jangan bimbang, tiada sebarang simen dicampur ketika penghasilannya. Cuma warnanya seperti simen kerana ia mengunakan bijan hitam. Dihidangkan bersama marshmallow panggang, aiskrim ini cukup menyegarkan.
3. Pantai Jumunjin
Satu lagi tarikan popular yang sukar dilepaskan ialah Pantai Jumunjin yang menempatkan ‘Perhentian Bas BTS’. Perhentian bas yang diabadikan pada kulit album You Never Walk Alone kumpulan BTS ini mula dibanjiri oleh peminat sejak 2017 kerana ingin meniru foto-foto yang dirakam oleh idola mereka. Untuk ke sini, anda dinasihatkan datang awal pagi kerana jika tidak, anda mungkin memerlukan tahap kesabaran yang tinggi untuk beratur menunggu giliran.
Jika anda menggunakan pengangkutan awam dari Seoul, boleh mengambil bas ekspres di terminal bas utama terus ke Stesen Gangneung. Dari sini anda perlu bertukar kenderaan dengan menaiki bas tempatan yang akan membawa anda terus ke pantai. Selain bergambar di perhentian bas, boleh juga luangkan masa dengan menikmati keindahan pantai. Terdapat beberapa buah kafe yang membolehkan anda menikmati secawan kopi dan minuman ringan.
Tunggu perkongsian seterusnya untuk rencana pengembaraan yang menyeronokkan!
Apa pandangan anda?