Posted on July 26, 2023
Hujan lebat dan angin sejuk menyapa kami ketika mahu berangkat ke Busan Station bagi meneruskan pengembaraan ke Seoul, Korea Selatan. Ini adalah pengalaman kali pertama saya menaiki Korean Train Express (KTX) dari Busan menuju ke Seoul – Seoul pernah saya lawati sebelum ini dan ini kali kedua saya ke Seoul menaiki penerbangan terus AirAsia X dari Kuala Lumpur. Perjalanan kereta api laju KTX yang mengambil masa selama 2 jam 15 min ini tersangat selesa dan ia adalah alternatif mudah serta cepat untuk ke Seoul. Harga purata bagi tiket Busan ke Seoul ini berbeza dan bergantung kepada kelas tiket, waktu perjalanan juga ketersediaan. Secara umumnya harga tiket bagi standard class perjalanan Busan ke Seoul adalah sekitar 55,000 hingga 95,000 Korean Won (RM196 – RM339) sehala. Untuk ketahui dengan lebih lanjut, layari www.letskorail.com
HARI PERTAMA
ANNYEONGHASEYO SEOUL!
Seoul, ibu kota Korea Selatan, merupakan bandar yang moden dan stailish. Bandar ini mempunyai lebih sembilan juta penduduk dan terdapat pelbagai tarikan pelancongan yang menarik. Kota Seoul juga kaya dengan warisan sejarah, termasuklah tapak-tapak UNESCO yang terkenal. Di samping itu, Seoul turut dikenali sebagai hab fesyen, pusat seni dan hiburan K-pop yang kian berkembang pesat. Dengan pusat teknologi utama seperti Gangnam dan Digital Media City, Seoul adalah rumah kepada ibu pejabat Samsung dan Hyundai. Pastinya Seoul adalah destinasi yang menarik untuk dieksplorasi. Kali ini saya dan krew STAIL.MY mengeksplorasi pula lokasi-lokasi lama dan baru yang menarik di kota Seoul.
SAMBAL BELACAN ALA KOREA & DUNIA KECANTIKAN DI AMORE SEONGSU
Sebaik sampai di Seoul pada jam 12 tengahari, aktiviti pertama pastinya adalah makan tengahari. Kami dibawa ke Restoran Haeuri yang menyajikan sajian ikan bakar. Mereka menggunakan ikan mackerel sebagai bahan utama. Untuk pengetahuan kamu, jika di Malaysia mackerel adalah ‘sefamili’ ikan kembung. Ikan mackerel ini dibakar enak dan disajikan dengan pelbagai lauk sampingan yang lazat. Terdapat juga sambal atau pes yang rasanya seperti sambal belacan, cuma ia kurang pedas.
Haeuri Restaurant
Alamat: 942-1, Dogok-dong, Gangnam-gu, Seoul
Tel: +82 02-501-4997
Waktu Operasi: Setiap hari 11:30 pagi – 10:00 malam
Selesai makan tengah hari, kami dibawa menjelajahi kawasan popular Seongsu-dong. Sering disebut sebagai “Brooklyn of Seoul”, Seongsu-dong terkenal dengan kedai-kedai kopi kraf dan restoran organik yang stailish! Sesampainya ke sini, saya berpeluang ke Amore Seongsu, sebuah kedai produk kecantikan terkenal di Korea Selatan. Saya dan rakan-rakan krew mencuba pelbagai produk penjagaan kulit dan solekan Korea terbaik secara percuma! Satu aktiviti yang menarik di sini adalah kamu boleh mencipta sendiri foundation make up berdasarkan warna kulit dan proses pembikinan ini hanya mengambil masa selama 20 minit sahaja.
Amore Seongsu berada di bawah naungan Amorepacific, sebuah konglomerat kecantikan dan kosmetik Korea Selatan. Amorepacific mengendalikan lebih daripada 30 jenama seperti Sulwhasoo, Laneige, Mamonde, Etude dan Innisfree yang kini semuanya sudah berada di pasaran Malaysia. Syarikat ini ditubuhkan pada tahun 1945 dan dinamakan sebagai syarikat kosmetik terbesar di dunia. Bila sudah singgah ke sini, jangan lupa singgah sebentar di kafe Osulloc yang terletak di tingkat dua bangunan ini untuk menikmati secawan teh hijau atau pelbagai jenis pencuci mulut dan snek sedap selepas puas ‘mencantikkan diri’ di Amore Seongsu.
Amore Seongsu
Alamat: 7 Achasan-ro 11-gil, Seongdong-gu, Seoul
Tel: +82 2-469-8600
Waktu Operasi: Selasa – Ahad 10:30 pagi – 08:30 malam. Tutup setiap Isnin
MYEONGDONG STREET MARKET YANG SIBUK!
Sepanjang berada di Seoul, kami menginap di Four Points by Sheraton Josun, Seoul Myeongdong yang terletak di kawasan Jung-gu. Lokasi hotel kali ini sangat strategik kerana ia berdekatan dengan pasar paling popular di Seoul yakni Myeongdong Street Market. Hotel selesa ini juga berada betul-betul berhadapan dengan stesen kereta api bawah tanah, memudahkan krew kami untuk bergerak melawat lokasi menarik yang lain pada waktu malam.
Four Points by Sheraton Josun, Seoul Myeongdong
Alamat: 36 Samil-daero 10-gil, Jung-gu, Seoul
Tel: +82 2-6466-6000
Laman Web: www.marriott.com
Setelah check-in di hotel, kami berjalan kaki ke Myeongdong Street Market. Suasana pasar ini agak sibuk dan kami melawat hampir semua gerai makan yang menjual pelbagai jenis makanan jalanan Korea yang lazat. Antara makanan harus cuba bila ke sini adalah manisan Korea yang dijual oleh penjaja viral fasih berbahasa Melayu. Myeongdong Street Market sentiasa menjadi tumpuan pelancong sehingga jam satu pagi kerana lokasinya berdekatan dengan tempat-tempat tarikan pelancongan lain. Terdapat juga deretan butik-butik berjenama antarabangsa terkenal di sepanjang Myeongdong Street Market. Menyentuh bicara Korea sebagai hab fesyen, sudah tentu pilihan fesyen mereka lebih luas dan pelbagai jika dibandingkan dengan Malaysia. Mana tidaknya, berdasarkan pengamatan saya, hampir setiap warga Korea yang saya lihat terutama sekali di Seoul, sangat-sangat fashionable.
Myeongdong Street Market
Alamat: South Korea, Seoul, Jung-gu, Chungmuro 2(i)-ga, 8-3-ga
Waktu Operasi: Setiap hari 05:00 petang – 12:00 tengah malam
Sebelum pulang ke hotel, kami singgah di Restoran TAJ Taste of India yang menghidangkan masakan India. Terletak di kawasan pesat Myeongdong, restoran ini terkenal dengan pelbagai hidangan kari, ayam tandoori dan pastinya roti naan. Kami dihidangkan beriani kambing dan juga ayam tandoori. Perabot-perabotnya yang elegan membangkitkan nuansa yang mewah. Ditambah lagi pencahayaan yang lembut, mencipta suasana romantis dan cozy.
TAJ Taste of India
Alamat: 73 Myeongdong-gil, Jung-gu, Seoul
Tel: +82 2-776-0677
Waktu Operasi: Selasa – Jumaat 11:30 pagi – 2:00 petang, 5:30 petang – 8:30 malam. Sabtu – Ahad 11:30 pagi – 8:00 malam. Tutup setiap Isnin
HARI KEDUA
MENARA N-SEOUL & PENGALAMAN K-POP DI HiKR
Aktiviti hari kedua di Seoul dimulakan dengan melawat N Seoul Tower – antara lokasi yang sering menjadi lokasi perfileman K-drama. Antara siri kegemaran saya yang pernah menjalani penggambaran di sini adalah “My Love From The Star” dan “Itaewon Class”. Dibina pada tahun 1969, N Seoul Tower adalah mercu tanda bandaraya kosmopolitan Seoul. Ia mampu dilihat dari hampir setiap penjuru kota Seoul kerana ia berada di ketinggian lebih 200 meter di atas Gunung Namsan. Menara ini wajib kunjung jika berada di Seoul untuk menikmati pemandangan 360 darjah dan atmosfera yang romantis ala-ala K-drama.
N Seoul Tower
Alamat: 105, Namsangongwon-gil, Yongsan-gu, Seoul
Tel: +82 2-3455-9277
Waktu Operasi: Ahad – Jumaat 10:00 pagi – 11:00 malam.
Sabtu 10:00 pagi – 12:00 tengah malam
Laman web: english.visitkorea.or.kr
Selepas menghirup udara segar di N Seoul Tower, kami bergerak pula ke HiKR Ground. Destinasi baru popular buat para penggemar K-pop dan budaya Hallyu. Terletak di Korea Tourism Organization Seoul Center, nama HiKR Ground ini muncul menerusi akronim “Hi” dan “Korea” HiKR – mengujarkan makna “Hai! Selamat datang ke Korea”. Perkataan “Ground” ditambah untuk menggambarkan tapak hiburan untuk pelancong. Ia merupakan sebuah ruang promosi yang mencedok pendekatan baharu dengan mengintegrasikan Extended Reality (XR). Ruang ini dipenuhi dengan teknologi yang ditujukan pada generasi muda yang ingin merasai pengalaman ala-ala artis K-pop. Terdapat pentas di HiKR Ground yang membolehkan pengunjung menari mengikut muzik K-pop kegemaran mereka. Kami pun apa lagi, mengambil kesempatan menari-nari di sini sehinga terlupa masa!
HiKR Ground
Alamat: 40 Cheonggyecheon-ro, Jung-gu, Seoul
Tel: +82 2-729-9498
Waktu Operasi: Selasa – Ahad 10:00 pagi – 7:00 malam. Tutup setiap Isnin
Laman web: english.visitkorea.or.kr
Setelah puas menari, kami ke Cafe Knotted terletak di tingkat lima HiKR Ground untuk menikmati kopi dan mencuba specialty mereka iaitu donut. Menawarkan pelbagai perisa seperti vanilla klasik, krim susu, earl grey, cokelat pudina dan bermacam lagi. Setiap donut mempunyai tekstur yang lembut, gebu dan mempunyai karakteristik unik sendiri. Setiap gigitan menghadirkan rasa sensasi yang memuaskan. Seronok rasanya makan donut enak ini sambil berdiri di teres tingkat lima dan menikmati pemandangan indah sungai Cheonggyecheon. Which is also a must visit di Seoul!
Cafe Knotted , HiKR Ground
Alamat: 5F, 40 Cheonggyecheon-ro, Jung-gu, Seoul
Waktu Operasi: Selasa – Ahad 10:00 pagi – 7:00 malam. Tutup setiap Isnin.
Laman web: english.visitkorea.or.kr
TRADISI KOREA DI BUKCHON HANOK VILLAGE
Bukchon Hanok Village merupakan sebuah tempat yang unik dan menarik di Seoul, Korea Selatan. Jika kamu mahu mengenali budaya tradisional Korea, inilah tempat yang harus dilawati. Sebuah kawasan pemukiman yang terdiri daripada rumah-rumah tradisional Korea yang dikenali sebagai ‘hanok’. Rumah-rumah ini memiliki seni bina khas dengan atap genting dan pintu yang diperbuat daripada kayu. Semasa saya mengunjungi lorong ini, terasa seperti kembali ke masa lalu. Selain menikmati keindahan seni bina tradisional, Bukchon Hanok Village juga menawarkan pelbagai galeri seni, kedai-kedai kraftangan dan kafe-kafe comel stailish di sepanjang jalan. Saya juga sempat membeli sebutir cincin perak buatan tangan sebagai kenangan. Kami juga dinasihatkan untuk tidak membuat bising dan mengganggu penduduk yang menetap di situ.
Tidak lupa juga, kami telah menyewa dan menggayakan pakaian tradisional yang dipanggil Hanbok. Pakaian ini adalah simbol kekayaan budaya dan identiti Korea selama berabad lamanya. Setiap elemen hanbok memiliki simbolisme yang mendalam, mewakili nilai-nilai traditional dan hierarki sosial dalam masyarakat Korea. Hanbok tidak hanya dipakai dalam acara-acara formal, pernikahan, festival atau upacara tradisional. Tetapi ia juga semakin popular dikalangan pelancong yang mahu mengenakan hanbok sewaktu mengunjungi tempat-tempat bersejarah. Iyalah, untuk mengambil foto di lokasi-lokasi ikonik di Korea sambil memakai hanbok. Wah! Betul-betul rasa seperti berada di set pengambaran K-drama.
Bukchon Hanok Village
Alamat: 37, Gyedong-gil, Jongno-gu, Seoul
Laman web: english.visitkorea.or.kr
HARI KETIGA
MINUM KOPI BAGAI TERAPUNG DI ATAS AIR & BERKELAH DI TEPIAN SUNGAI HAN
Pagi terakhir di Seoul, eksplorasi kami bermula dengan menikmati kopi di Starbucks Seoul Wave Art Center. Baru sahaja beroperasi pada tahun 2022, Starbucks ini pantas menjadi tumpuan kegemaran pecinta seni dan kopi. Struktur bangunannya seakan-akan terapung di atas air Sungai Han yang sangat futuristik dan terinspirasi oleh bentuk-bentuk aliran ombak indah. Bangunan ini memiliki atap melengkung yang memimik bentuk ombak. Selain seni bina yang menarik, Seoul Wave Art Center juga menawarkan pelbagai pameran seni dan acara budaya dari seniman lokal mahupun antarabangsa. Tempat yang menarik untuk menikmati secangkir kopi sambil jatuh cinta pada keindahan Sungai Han.
Seoul Wave Art Center
Alamat: 145-35 Jamwon-ro, Seocho-gu, Seoul
Tel: +82 1522-3232
Waktu Operasi: Isnin – Jumaat 8:00 pagi – 11:00 malam. Sabtu – Ahad 7:30 malam – 11:00 malam
Setelah menikmati kopi, kami dibawa berkelah di tepi Sungai Han. Ia adalah sungai utama di Korea Selatan dan merupakan sungai keempat terpanjang di semenanjung Korea selepas sungai Amnok (Yalu), Tuman (Duman) dan Nakdong. Kami berkelah sambil menikmati ayam goreng dan ramen sebagai hidangan tengahari. Jangan risau, kamu boleh memesan makanan menerusi pelbagai servis penghantaran seperti Baedal Minjok, Yogiyo atau Coupang Eats melalui aplikasi di telefon bimbit kamu. Mudah sahaja!
Sewaktu bersantai dan menikmati udara segar di sini, kami melihat beberapa pengunjung lain menyewa basikal dan ia membuatkan kami ingin join in the fun! Taman ini dilengkapi jalur lari untuk memudahkan pengunjung bersenam dan berjogging. Selain aktiviti beriadah, terdapat satu lagi tarikan menarik disini iaitu Banpo Bridge Rainbow Fountain Seoul. Ia adalah jambatan yang melintasi Sungai Han dan terkenal dengan pertunjukan air pancur berwarna-warni di waktu malam dengan cahaya yang berubah-ubah mengikut irama muzik. Seoul Fashion Week juga pernah memilih jambatan ini sebagai lokasi pertunjukan runway.
Banpo Hangang Park
Alamat: 40, Sinbanpo-ro 11-gil, Seocho-gu, Seoul
Laman web: english.visitkorea.or.kr
Tidak lengkap perjalanan kami ke Seoul jika tidak membeli-belah sebelum pulang ke Malaysia, kan? Kami di bawa ke The Hyundai Seoul yang terletak di Yeouido. Ia menggabungkan konsep alam dan istirehat sambil membeli-belah. Mempunyai 12 aras – lapan aras memiliki hampir 600 kedai yang berbeza manakala empat aras bawah tanah untuk tempat letak kereta. The Hyundai Seoul memiliki segala yang anda perlukan, daripada kedai baju mewah ke restoran sehinggalah muzium. Setiap sudut memancarkan estetika Korea, dengan garis-garis melengkung yang elegan, bersatu dengan sinar matahari yang indah menyusup masuk melalui atap berjendela. Apa yang menambat hati saya adalah air terjun dalaman setinggi 12 meter di bahagian tengah pusat membeli belah ini. Bunyi santai air membangkitkan pengalaman yang menenangkan sewaktu saya duduk di sekitar air terjun itu. Di aras lima pula adalah Sound Forest yakni taman seluas 3,300 meter persegi yang mempunyai campuran tumbuhan tiruan dan asli. Taman ini berfungsi sebagai kawasan santai untuk berehat setelah penat berjalan membeli-belah. Aras dua bawah tanah pula adalah pusat untuk jenama fesyen yang baru, street wear dan kafe-kafe menarik khas bagi generasi muda. Untuk memudahkan lagi akses para pengunjung, pusat membeli-belah ini juga bersambung dengan sebuah stesen kereta api bawah tanah yakni Stesen Yeouido, khususnya Line 5 (laluan ungu).
The Hyundai Seoul
Alamat: 108 Yeoui-daero, Yeongdeungpo-gu, Seoul
Tel: +82 2-767-2233
Waktu Operasi: Isnin – Khamis 10:30 pagi – 8:00 malam. Jumaat – Ahad 10:30 pagi – 8:30 malam
Laman web: english.visitkorea.or.kr
Sebelum kami menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, kami singgah untuk makan di Restoran Haehwadong yang menghidangkan braised spicy seafood. Seafood segar seperti kepah, sotong, abalone, udang dan banyak lagi dimasak di dalam sos istimewa yang pedas. Lebihan sos seafood ini kemudiannya digunakan untuk membuat nasi goreng selepas kami habis memakan semua seafood sebagai hidangan penutup. Bermakna zero food waste!
Haehwadong
Alamat: 24-2 Yeouido-dong Yeongeungpo-gu, Seoul
Tel: +82 2-786-8280
Waktu Operasi: Isnin – Sabtu 11:00 pagi – 10:00 malam. Tutup setiap Ahad
Secara keseluruhannya, saya dan krew STAIL.MY berasa begitu berat hati untuk pulang ke tanahair kerana masih terdapat banyak tempat menarik yang kami tidak sempat untuk eksplorasi. Saya begitu terpesona oleh keindahan seni bina moden dan tradisional, keramahan penduduk lokal, makanan yang unik dan enak juga kehidupan malam yang memikat. Ketika saya melihat kembali kenangan-kenangan itu, saya merasa terinspirasi dan terhubung dengan budaya dan sejarah Korea. Sudah tentu saya jatuh cinta pula pada Seoul, Korea.
Apa pandangan anda?