Posted on May 18, 2020
Dalam krisis pandemik Corona yang melanda, kita semua sedar akan beberapa perkara asas yang kita perlukan dalam hidup. Makanan, rumah untuk berlindung, seseorang untuk dicintai dan berhubung dengan orang kamu kasihi. Cinta virtual jatuh dalam kategori sesuatu yang kita perlu kekalkan dalam waktu pandemik sebegini. Jadi bagaimana kamu berhubung sekarang? Bagaimana kamu hangatkan hubungan virtual sepanjang pandemik?
Saya tidak tahu tentang kamu, tetapi dalam keadaan PKP saya lebih banyak menghubungi orang berbanding waktu biasa. Walaupun saya sebenarnya bukanlah senang membalas mesej teks, menjawab panggilan dan menghantar e-mel. Tetapi kini saya lebih senang menjawab panggilan video, menghantar hadiah dan bertukar memes dan lawak dengan teman-teman sebagai usaha mengharungi PKP.
Sepertinya seluruh dunia sedang dalam lautan yang bergelombang. Kita masing-masing berada dalam bot sedang mengharungi gelombang ini, nampak dekat teman-teman kita dalam bot lainnya tetapi tak terjangkau mencapai dengan tangan. Cuma bertuahnya kita, berbanding dengan selsema Spanish pada 1918, kita ada talian teknologi yang boleh membantu. Jadi pandemik Corona ini tidak boleh dijadikan alasan hubungan beransur lesu.
Bagaimana Menghangatkan Cinta Virtual?
1 Rakam
Rakamkan situasi. Sedar apa yang kamu rasa dan belajar setiap hari. Tulis diari. Semakin kamu melakukan ini, kamu akan lebih faham tentang kesedaran dalam diri dan hari kamu takkan hanya berlalu dengan kamu duduk di sofa memikirkan masa depan. Kalau tak pun dokumenkan pengalaman kamu. Kamu boleh renung balik nanti pabila pandemik sudah berlalu dan mengenang tahun di mana dunia tertutup. Kongsikan bersama kekasih.
2 Mengorat
Walau kita seorang di rumah, tidak bermakna kita tidak boleh mengorat. Inilah masanya kamu mempraktikkan skil mengorat kamu. Lakukan secara online. Melalui mesej teks, panggila video atau sekadar rakaman suara. Tak mengapa. Yang lebih penting ialah untuk kamu ada perbualan dengan orang lain. Kalau selesa, buat date panggilan video. Habiskan masa bersama melalui Skype dan tonton filem bersama. Atau lakukan senaman berjalan pagi kamu sambil berbual dengannya.
Ini mungkin cara terbaik untuk kamu kenal hati budi dan faham personalitinya. Kamu akan jadi tak sabar bertemu dengannya selepas PKP berakhir. Tulis nota cinta. Atau bertukar resipi. Main catur online. Semua yang romantik-romantik lah.
3 Belajar
Ini masa terbaik untuk belajar tentang apa-apa sahaja. Ambil peluang ini untuk mengasah kemahiran catur, baca lebih banyak buku-buku sastera klasik, faham lebih dalam tentang virus dan epimologi, jalani kursus online dan pengetahuan yang boleh dikongsi. Supaya kamu ada sesuatu yang orang lain tiada. Jadikan masa ini untuk menjadi individu yang kekasih kamu takkan lepaskan.
4 Bermain
Jadualkan masa untuk bermain game atau apa-apa sahaja dengan kekasih melalui panggilan video. Atau Playstation kalau kekasih kamu up for it. Sekadar menari di depan cermin, menunjukkan skil yang kamu tak ada pun tak apa.
5 Berhubung
Ambil waktu ini sebagai peluang untuk berhubung dengan kekasih. Sentiasa lah bertanya padanya, “I hope you’re ok.” Kalau setakat emoji sahaja dalam mesej pun cukup. Kalau kamu teragak-agak: just do it! Percayalah ia akan menghangatkan perasaan sesiapa sahaja. Walaupun kita berjauhan secara fizikal, tetapi kita masih boleh mengukuhkan hubungan emosi kita.
Kesimpulannya jangan jadikan PKP ini sebagai penghalang. Ia hanya memerlukan perubahan, penerimaan dan ketenangan. Tapi bukan bermakna tiada ruang untuk bermain, keseronokan, belajar dan buat orang lain senyum dalam masa sama menghangatkan kasih sayang bersama cinta hati.
Apa pandangan anda?