Sudah hampir dua tahun kita berhadapan dengan wabak COVID-19. Pasti ramai yang sudah arif mengenai gejala dan tanda COVID 19 yang lazim seperti demam, batuk kering, rasa letih dan juga hilang deria bau dan rasa. Walau bagaimanapun, dengan munculnya COVID-19 varian baru, simptom-simptom yang ditunjukkan oleh wabak ini mula berubah.
Malah, varian baru ini turut menimbulkan rasa panik dalam kalangan masyarakat. Manakan tidak, ia mempunyai simptom atau tanda COVID 19 yang berbeza dan membuatkan ramai menjadi keliru.
Menurut Dr. Tony Moddy dari Duke University Medical Center, simptom yang berbeza disebabkan munculnya varian baru bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
Tambahnya lagi, disebabkan varian ini mempunyai kod genetik yang berbeza, ia dapat mengubah interaksi virus tersebut dengan badan manusia. Sebab itulah simptomnya mungkin sedikit berbeza antara satu sama lain.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang coronavirus di Malaysia, sila dapatkannya di sini.
COVID-19 Varian Baru, Simptom/ Tanda Juga Baru
Menurut kajian yang dilakukan di England, pesakit yang positif COVID-19 disebabkan varian baru lebih berkemungkinan mengalami simptom seperti batuk yang berpanjangan, rasa letih, sakit otot, sakit tekak dan demam berbanding mereka yang dijangkiti virus asal.
Tetapi, apa yang menarik ialah pesakit kurang mengalami simptom atau tanda COVID 19 yang popular dan dikenali ramai iaitu hilang deria rasa dan bau.
Mutasi dalam kalangan virus bukanlah sesuatu yang baru atau tidak dapat diduga.
Menurut pakar, semua virus RNA akan mengalami mutasi dalam satu jangka masa tertentu. Ada juga varian yang boleh bermutasi lebih kerap berbanding varian yang sedia ada.
Tidak dinafikan, varian baharu COVID-19 memang wujud. Malah, ia berbeza dengan versi asal yang dikesan di China satu ketika dahulu.
Sebagai contoh, varian yang dikenali dengan nama B.1.1.7 adalah varian yang paling lazim di United Kingdom. Malah, varian ini juga penyebab hampir 60% kes COVID-19 di negara tersebut pada bulan Disember.
Ada juga varian lain yang dikesan di Brazil, California dan sebagainya. Namun, terdapat satu varian yang pertama kali muncul di Afrika Selatan dan lebih berbahaya berbanding varian lain.
Varian yang dikenali dengan nama B.1.351 ini bukan sahaja mampu menjangkiti individu yang pernah mengalami COVID-19, ia juga lebih rintang terhadap beberapa jenis vaksin COVID-19 yang sedang dalam pembangunan.
Tanda COVID-19 Varian Baru, B.1.351 Lebih Berbahaya?
Salah satu kerisauan utama pakar mengenai varian COVID-19 yang baru ialah sama ada mutasinya boleh mempengaruhi rawatan sedia ada.
Varian yang dikenali dengan nama B.1.351 ini menunjukkan rintangan terhadap vaksin Oxford-AstraZeneca. Malah, mereka yang telah divaksin masih boleh jatuh sakit dan mengalami simptom ringan.
Walau bagaimanapun, tiada bukti bahawa varian B.1.351 boleh menyebabkan jangkitan COVID-19 yang lebih serius.
Namun, ada kemungkinan untuk pesakit yang telah sembuh untuk mengalami jangkitan semula COVID-19 pada masa akan datang.
Saintis dari Afrika Selatan telahpun memberikan amaran mengenai varian ini. Menurut mereka, varian ini mempunyai kadar kebolehjangkitan sebanyak 50% lebih tinggi berbanding varian yang sedia ada.
Kenali gejala dan tanda COVID 19 yang lazim
Ini tahun kedua kita berhadapan dengan virus COVID-19. Walaupun simptom lazim penyakit ini diketahui ramai, namun masih ada yang keliru mengenai gejala sebenar dan tanda COVID-19.
Sebenarnya, ada banyak lagi simptom COVID-19 yang perlu kamu tahu. Kita mulakan dengan simptom COVID 19 yang paling lazim iaitu:
- Demam.
- Batuk kering.
- Rasa letih.
Selain itu, terdapat juga beberapa simptom lain yang lebih jarang berlaku seperti:
- Hilang deria bau dan rasa.
- Hidung tersumbat.
- Konjunktivitis (mata merah).
- Sakit tekak.
- Pening kepala.
- Sakit otot dan sendi.
- Loya dan muntah-muntah.
- Cirit-birit.
- Rasa sejuk atau pening kepala.
Tanda COVID 19 yang jarang berlaku pula ialah:
- Mudah rasa jengkel.
- Rasa keliru.
- Tidak sedarkan diri.
- Kegelisahan.
- Depresi.
- Masalah tidur.
- Masalah neurologi seperti strok, inflamasi pada kawasan otak, kuat meracau (delirium) dan kerosakan saraf.
Jika kamu mengalami simptom seperti demam, sukar bernafas, sakit tekak atau sukar bercakap, pastikan kamu dapatkan rawatan secepat mungkin. Telefon 999 dan nyatakan kebimbangan kamu mengenai virus COVID-19.
COVID-19 Varian Baru
Pada waktu pandemik ini, pastikan semua orang boleh mendapatkan rawatan yang bersesuaian secepat mungkin.
COVID-19 penyakit yang serius dan boleh meragut nyawa. Dengan kadar kematian yang tinggi di negara kita, jangan sesekali pandang rendah mengenai kebolehjangkitan penyakit ini.
Jika kita tidak berhati-hati, mangsa seterusnya mungkin adalah ahli keluarga kita sendiri. Oleh sebab itu, patuhi SOP yang ditetapkan kerajaan dan jaga kebersihan diri untuk elak dijangkiti.
Amalkan pemakaian pelitup muka yang betul dan sentiasa basuh tangan ketika berada di luar rumah.
Artikel ini ditulis oleh Fatin Zahra untuk Hello Doktor
Apa pandangan anda?