Posted on August 18, 2020
Dari antarbenua – mencakupi benua Afrika ke Eropah – sehinggalah ke Sylvester Manor di Shelter Island, New York, cereka Black Is King daripada Beyonce begitu berperi-peri dihasilkan. Album visual yang digarap ke dalam bentuk penceritaan dengan gemblengan kisah cinta, kebanggaan budaya orang berkulit hitam dan unsur memenangkan black creatives ini benar-benar tidak meminggirkan satu pun elemen yang mencerminkan bangsa berkulit hitam. Mengulang perenggan awal tadi, ia termasuklah lokasi yang menjadi latar setiap babak dalam cereka ini.
Sylvester Manor yang terletak di Shelter Island adalah antara lokasinya dan mengapa Beyonce bersama pasukannya memilih ia untuk salah satu babak dalam Black Is King, adalah kerana sebab atau atas dasar tertentu. Sebab atau dasar yang cukup bermakna, bukan sahaja buat Beyonce, namun juga semua orang berkulit hitam!
Album visual Black Is King yang dilepaskan pada hujung Julai lalu diberi liputan meluas. Album terbaru Beyonce ini disaingi bersama sebuah cereka – cereka yang dilepaskan di saluran Disney+, yang meriwayatkan budaya serta estetika bangsa kulit hitam – meraih pujian dan mendapat sokongan positif daripada barisan pengkritik. Bermula daripada konsep, ke arahan seni, ke sinematografi, sehinggalah kostum-kostum atau fesyen yang ditampilkan, segala aspek ini dititikberatkan. Jelas terlihat bahawa Beyonce serta semua yang terlibat sama dalam pembikinan Black Is King tidak menganggap sepi semua perkara.
https://www.instagram.com/p/CDygqXdAn-F/?utm_source=ig_embed&utm_campaign=loading
Berbalik kepada lokasinya pula, secara spesifiknya, Sylvester Manor yang terletak di Shelter Island, New York, menyimpan 1001 sejarah yang mungkin tak semua tahu. Sylvester Manor adalah ladang yang membekali perdagangan gula orang Barbados. Rumah besar yang usianya sudah mencecah 368 tahun dan terletak di desa ini adalah tempat pekerjaan semua hamba abdi Afrika, buruh terikat Native Americans serta buruh-buruh Eropah! Tanah tempat terbinanya Sylvester Manor adalah tanah milik puak Manhansett dan sebahagian daripada tanah itu dijadikan kawasan pengebumian hamba-hamba serta buruh yang pernah bekerja di rumah besar tersebut.
Dalam akaun Instagram milik Sylvester Manor, ia ada memuat naik post mengenai penggambaran Black Is King. Ia menjelaskan bahawa, di samping bahagian dalam Sylvester Manor, Beyonce bersama-sama pasukan produksinya turut menerokai kawasan hutan jarang, jalan air utama juga kawasan terletaknya pokok-pokok tua. Black Is King adalah karya yang tidak hanya merayakan kuasa bangsa berkulit hitam, malah Beyonce sepertikan mengerti benar sejarah atau budaya yang sudah lama terukir di Sylvester Manor. Ia mengatakan lagi yang, “Beyoncé and her dancers performing on the land of the Manor paid tribute to the Ancestors of Sylvester Manor, invoking their spirits and celebrating their heritage.”
Di sekitar kawasan Sylvester Manor
Kini, Sylvester Manor sudah diubah menjadi ladang yang berteraskan pendidikan dan mendapat dukungan hebat daripada komuniti di sana. Ia sudah dikenali sebagai Sylvester Manor Educational Farm dan boleh dilawati atau dibuka untuk orang awam. Kami jamin, selepas ini, pasti Beyhive sedunia sanggup datang ke Sylvester Manor dan merasai pengalaman berada di setiap seting mahupun sudut sekitar rumah besar itu yang menjadi lokasi penggambaran Black Is King!
Beyonce & penari-penarinya berlatarkan kawasan pokok tua di Sylvester Manor
Apa pandangan anda?