DFSK (Dong Feng Sokon) adalah sebuah jenama automotif dari China yang mempunyai kehadiran dalam pasaran Pakistan, Indonesia dan Brunei. Di Malaysia, DFSK lebih terkenal dengan model jentera berat seperti lori kecil, lori simen dan lori kontena. Walaubagaimanapun, intipan dari rakan media funtasticko memberi pandangan baru terhadap jenama DFSK di Malaysia. Pembaca funtasticko melaporkan bahawa dia telah mengambil gambar model DFSK Glory 580 tanpa seragam dan menerima brosur mengenai SUV tersebut.
Carian mudah melalui laman web DF Vehicle Malaysia mendapati, DFSK Glory 580 sudah tersenarai sebagai sebahagian barisan produk mereka. Tambahan pula, brosur juga boleh dimuat turun secara terbuka. Tiada sebarang rahsia.
Brosur yang dimuat turun berlainan dengan brosur yang diperolehi oleh funtasticko. Nampaknya, hanya 1 varian iaitu varian 1.5 liter Turbo CVT Luxury akan ditawarkan.
Ini bermaksud, DFSK Glory 580 Malaysia akan menggunakan enjin 1.5 liter Turbo dengan kabin 2 tona hitam dan coklat. Terdapat juga fungsi yang sesuai dengan citarasa Malaysia seperti Cruise Control, sistem pengawasan angin tayar, 4 beg udara dan double blower pada bahagian belakang.
SUV ini juga memang sudah berada di Malaysia. Ia boleh dilihat di perkarangan pejabat Dong Feng Commercial Vehicla Malaysia. Tanpa sebarang seragam penyamaran!
Kami menghubungi Dong Feng Commercial Vehicle Malaysia sendiri dan mendapati bahawa model ini sememangnya bakal dilancarkan di Malaysia. Ia disahkan sendiri oleh wakil syarikat seperti yang tertera di brosur.
Adakah DFSK Glory 580 ini mampu menerima lebih perhatian sebagai kenderaan 7 penumpang di Malaysia bawah RM 100k? Harga jualan adalah sebanyak RM 95,xxx (atas jalan dengan SST). Ia boleh didapati di pengedar dan HQ DF Vehicle Malaysia di Batu Caves bermula Januari 2021.
Untuk lebih banyak artikel sebegini, lawati www.wapcar.my
Apa pandangan anda?