Tayar baru sememangnya mengujakan ramai pemilik kereta. Ia diibarat seperti memiliki kasut baru kerana tapaknya masih “bergetah”. Tidak kisah jenis apa sekalipun, tayar baru antara perkara yang menarik untuk dilihat kerana ia bakal menghubungkan kereta dengan permukaan jalan supaya kereta boleh bergerak. Tetapi pernah tak kamu perasan dot warna kuning merah pada tayar baru? Apakah fungsinya? Adakah ia di situ saja-saja? Dikenali sebagai dot pengimbang, syarikat pengeluar menandakan kedua-dua dot ini untuk memudahkan pemasangan tayar pada rim kereta.
Dot kuning
Dot yang berwarna kuning menandakan titik paling ringan pada tayar baru. Valve stem (soket mengisi angin) pula ialah titik yang paling berat pada rim kereta. Apabila dot kuning dan valve stem dipasang selari, kerja balancing menjadi lebih mudah kerana pemberat tidak perlu digunakan sangat.
Dengan pemberat yang sedikit, pemanduan boleh menjadi lebih senyap dan selesa. Malah tayar juga boleh tahan lebih lama.
Dot merah
Dot yang berwarna merah pula menandakan titik yang paling berat pada tayar baru. Ia dipasang selari dengan titik yang paling ringan pada rim kereta. Kebiasaannya, titik ini dilabel oleh sejenis penanda yang terbonjol. Jika penanda tiada, dot merah boleh diselarikan dengan valve stem.
Konklusi Dot Kuning Merah Tayar Baru
Untuk kamu yang belum tahu, roda yang tidak seimbang boleh mengakibatkan gegaran pada pemanduan kereta tersebut. Tetapi menghasilkan tayar yang betul-betul seimbang dan bulat adalah sesuatu yang mustahil buat syarikat pengeluar. Maka itu, terjadilah berat yang berlainan pada bahagian getah.
Disebabkan ini jugalah adanya mesin pengimbang di kedai tayar yang sering kita kenali sebagai “balancing”. Tetapi sebelum melakukannya, adalah lebih mudah untuk berat tayar dan rim diseimbangkan terlebih dahulu supaya kerja balancing menjadi lebih senang. Selamat beramal!
Untuk lebih banyak artikel sebegini, lawati www.wapcar.my
Apa pandangan anda?