Posted on September 21, 2021
Bagaimana golongan kayangan Singapura elak bayar cukai kereta? Ada sesetengahnya memiliki berpuluh-puluh kereta mewah. Tapi tak ada masalah jika mereka boleh sorok kereta mereka
Singapura negara Asia Tenggara pertama yang ada bilik pameran Bugatti. Tetapi di belakangnya, ada satu tempat yang dinamakan sebagai Wearnes Bonded Gallery. Secara teknikal, ia tempat di mana golongan ‘kayangan’ Singapura simpan kereta yang mereka beli, khususnya kereta yang tidak dibenarkan untuk pandu. Macam tak masuk akal pula kan?
Untuk maklumat kamu, negara kecil seperti Singapura tidak mempunyai tempat yang cukup untuk pandu kereta eksotik seperti Bugatti. Jadi daripada beli kereta untuk dipandu, lebih baik orang kaya di sana simpan sebagai galeri seni.
Kalau difikirkan, mereka kiranya sanggup beli kereta eksotik tanpa cukai dan simpan di pusat yang diluluskan oleh kerajaan.
Elak bayar cukai kereta
Bercakap mengenai cukai, istilah ‘bonded’ yang diutarakan bermaksud cukai barang yang belum dibayar. Secara tidak langsung, barang itu tidak boleh dibawa keluar dari zon kastam.
Di sinilah bergunanya Wearnes Bonded Gallery. Selain diluluskan oleh kerajaan, pusat ini juga dijadikan galeri buat pengumpul menyimpan koleksi pembelian mereka. Kiranya, orang kaya yang paling kaya di Singapura akan beli kereta eksotik tanpa cukai dan tinggalkannya di bawah jagaan Wearnes.
Kos pembinaan pusat menyimpan supercar ini dilaporkan mencecah 30 juta SGD (RM 93 juta). Untuk mengekalkan kereta supaya berada dalam keadaan yang baik. galeri ini turut menggunakan pengawal kelembapan.
Dari apa yang kami faham, pusat yang mempunyai 8 tingkat dan berkeluasan 200,000 kaki persegi ini dijadikan rumah buat beberapa kereta eksotik dari Ferrari, Porsche, Bentley, Rolls-Royce, dan Jaguar. Kalau kamu lihat, Rimac pun ada. Malah, Bugatti Divo yang berharga €5 juta (RM 25 juta) pun tidak terkecuali.
Tetapi sayangnya, pemilik tidak boleh menyimpan kereta sebegini di rumah masing-masing. Jadi, buat apa beli kan?
Menurut Wearnes, tujuan pemilik-pemilik ini beli hanyalah sebagai koleksi. Tambahan pula, mereka boleh mewariskannya ke generasi yang akan datang.
Selain menyimpan koleksi mereka, pemilik juga boleh anjurkan pesta makan dan arak sambil tayang kereta-kereta eksotik mereka.
Menariknya, galeri peribadi ini juga mempunyai dapur, ruang tamu, ruang santai, dan tempat menghisap rokok. Hisap sambil tengok kereta-kereta eksotik pun best juga kan?
Buat kamu yang tertanya-tanya, setiap pemilik dikenakan cas sebanyak 1,200 SGD (RM3,800) setiap bulan.
Artikel ini ditulis oleh Faisal untuk WapCar
Apa pandangan anda?