Posted on March 19, 2021
Kala kita masih lagi bergelut dengan pandemik COVID-19, H5N8 muncul di Rusia. Malah, kes ini juga kali pertama virus selesema burung daripada strain H5N8 telah dikesan menjangkiti manusia.
Laporan berkenaan jangkitan ini telah diserahkan kepada World Health Organization (WHO) untuk siasatan lanjut.
Menurut Anna Popova, ketua kumpulan pemerhati di Rusia, tujuh orang yang dikenal pasti dijangkiti selesema burung ini tidak mengalami apa-apa simptom.
Popova juga menyatakan bahawa ketujuh-tujuh orang ini berada di dalam keadaan yang selamat dan sihat.
Susulan kejadian ini, kerajaan melakukan langkah berjaga-jaga untuk menghentikan penyebaran penyakit berjangkit tersebut.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang coronavirus di Malaysia, sila dapatkannya di sini.
H5N8 Muncul di Rusia?
Di antara 3 hingga 11 Disember 2020, sebanyak 101,000 daripada 900,000 ayam telur didapati mati di sebuah ladang ternakan di Rusia.
Disebabkan kadar kematian yang tinggi, pihak kerajaan telah melakukan siasatan terhadap kes tersebut.
Menurut Anna lagi, saintis dari makmal Vektor telah melakukan isolasi strain tersebut daripada tujuh orang pekerja yang terjejas. Mereka dipercayai dijangkiti virus tersebut dari ladang tempat mereka bekerja.
Walau bagaimanapun, mereka semua didapati tidak mengalami sebarang masalah kesihatan yang serius. Malah, pekerja tersebut juga tidak menunjukkan sebarang simptom.
Walau bagaimanapun, menurut Gwenael Vourc’h, ketua pengkaji di France’s National Institute for Agriculture, Food, and Environment, mereka memandang serius kejadian ini dan menganggapnya sebagai hanya sebahagian kecil daripada sesuatu yang lebih serius.
Tambah lagi, walaupun jangkitan ini bukanlah sesuatu yang perlu dirisaukan, pandemik yang telah dicetuskan oleh COVID-19 telah mengajar negara-negara untuk kekal berjaga-jaga dan bertindak segera dalam membendung penyebaran sebarang virus.
Apa itu selesema burung?
Selesema burung adalah sejenis jangkitan virus yang merebak daripada satu burung ke burung yang lain.
Salah satu contoh selesema burung yang lazim berlaku dan dikenali ramai berasal daripada strain H5N1 dan H7N9.
Virus H5N8 ini berbahaya kepada burung tetapi sukar untuk menular dalam kalangan manusia. Walau bagaimanapun, apabila ia merebak kepada manusia, virus ini boleh membawa maut.
Wabak selesema burung telah berlaku di Asia, Afrika dan beberapa bahagian di Eropah. Kebanyakan mereka yang mengalami simptom selesema burung mempunyai kontak rapat dengan burung yang telah dijangkiti virus.
Selesema burung selalunya berlaku kepada burung liar. Namun, kadangkala penyakit ini boleh merebak kepada haiwan ternakan seperti ayam, itik dan juga angsa.
Penyakit berjangkit ini disebarkan melalui tinja atau cecair daripada hidung, mulut atau mata.
Pasar terbuka contoh kawasan panas yang berpotensi untuk menjadi tempat penyebaran selesema burung.
Malah, tempatnya yang sempit dan sesak membolehkan virus bergerak lebih jauh dan menjangkiti lebih ramai orang.
Sama jugalah dengan COVID-19, H5N8 juga berpotensi untuk menjadi sebuah pandemik. Oleh sebab itu, pihak kerajaan Rusia dan WHO memandang serius keadaan ini dan cuba untuk mematahkan jangkitannya sebelum ia merebak lebih jauh lagi.
Kesimpulan
Jika kamu terpaksa pergi ke kawasan yang mempunyai wabak selesema burung, kamu amat digalakkan untuk menjaga kebersihan diri untuk menghalang penularan wabak tersebut.
Pastikan kamu sentiasa basuh tangan atau menggunakan pensanitasi tangan untuk mengelakkan jangkitan penyakit.
Elakkan juga kawasan kampung atau pasar terbuka yang sempit dan sesak. Dengan cara ini, kamu dapat memastikan kamu kekal selamat dan merendahkan kadar jangkitan virus tersebut.
Untuk lebih banyak artikel sebegini lawati Hello Doktor
Apa pandangan anda?