Posted on May 5, 2021
Honda CRV 2021 turun harga berbanding model pra-facelift? Penurunan harga sekitar RM5K sehingga RM13K berbanding model terdahulu. Selain itu, jumlah varian juga dikurangkan dari 4 varian ke 3 varian sekarang.
Dikhabarkan bahawa model Honda CR-V pada awalnya dibawa masuk terlebih dahulu secara recond. Setelah melihat permintaan yang tinggi terhadap model tersebut, barulah Honda Malaysia membawa masuk Honda CR-V secara rasmi. Begitulah penangan Honda CR-V sejak dahulu lagi.
Kini, Honda CR-V telah mencapai 5 generasi di Malaysia. Honda CR-V generasi kelima dilancarkan pada 2017 manakala model facelift baru sahaja dilancarkan pada 2020.
Sebagai sebuah model global, rekaan dan susun atur Honda CR-V ini perlulah memenuhi permintaan pelanggan di serata dunia. Untuk membangunkan produk global ini memang sukar, justeru hasilnya tentu berbaloi untuk dimiliki. Jadi ini adakah Honda CR-V facelift 2021 mampu memenuhi citarasa anda?
Sudut luar – kereta agam
Selalu kita mengatakan rumah agam tetapi Honda CR-V facelift 2021 ini juga boleh dikatakan kereta agam. Dari luaran, ia kelihatan sangat besar malah terbayang juga ruang dalamannya sebelum masuk mencuba.
Model facelift menampilkan jalur krom pada bahagian gril bawah. Rekaan yang dikemaskini ini nampak lebih ringkas dan kemas kerana gril kelihatan berbingkai. Gril bahagian atas juga dikemaskini, menggunakan warna hitam menggantikan palang tengah berwarna krom sebelum ini.
Pada bahagian sisi, Honda CR-V facelift 2021 menggunakan rim 18 inci rekaan 5 kelopak yang lebih kemas. Tema kekemasan ini juga ditonjolkan pada bahagian belakang – ekzos berbentuk trapezoid, lampu belakang yang lebih bersegi dan rekaan bumper bawah yang dikemaskini.
Kualiti binaan juga nampak kukuh di atas kertas; Honda CR-V mencatatkan purata 110 micron meter ketebalan cat dengan celahan panel sekitar 4 mm sahaja.
Susun atur dalaman – luas
Di sini, hasil menjadi produk global dapat dirasai. Ruang dalaman Honda CR-V memang sangat luas. Rupa bentuk agam di luar tadi bukan harapan semata, ia adalah keseinambungan rekaan luaran dan dalaman.
Perkara pertama yang dapat dirasai ketika melangkah masuk adalah, ia mudah. Konsol tengah tidak sibuk, hanya dilengkapi butang brek automatik, brek parkir elektronik (EPB) dan brek mod penjimatan minyak (ECON) sahaja. Ini mesra pengguna yang rata-ratanya menaik taraf kepada Honda CR-V daripada sedan. Perincian ini terasa mesra marhaen.
Perincian lain yang menarik adalah kemasan kayu faux pada papan pemuka dan panel pintu yang memberikan perasaan mewah. Ada juga span lutut kulit pada bahagian lutut. Sistem infotainment berskrin 7 inci juga mempunyai fungsi Apple Carplay dan Android Auto.
Ruang simpanan konsol tengah juga sangat besar dan ini bukan biasa-biasa punya besar. Ia memang agak besar dari kebiasaan. Ia boleh memuatkan tas tangan wanita, kamera DSLR dan pelbagai lagi. But belakang juga mempunyai kapasiti terbesar dalam kelasnya iaitu 520 liter yang turut mempunyai fungsi bukaan tanpa sentuh (handsfree powered tailgate).
Ruang tempat duduk baris kedua juga sangat besar. Lupakan 3 bola tenis yang selalu menjadi had maksimum kami, Honda CR-V boleh memuatkan sehingga 4 bola tenis pada ruang kaki dan 1 bola tenis pada ruang kepala. Untuk keselesaan, ia juga mempunyai pengecas USB dengan corong udara belakang.
Keselesaan pemanduan – dibina untuk keluarga
Honda CR-V lebih wajar untuk dibawa bersama 5 penumpang. Sistem suspensi yang sedikit pejal bukan suatu kekurangan tetapi terasa sebagai kelebihan bagi mereka yang bercadang untuk melanyak SUV ini. Untuk 5 penumpang dan beberapa muatan, Honda CR-V memang terasa luas, selesa dan tegap.
Keseluruhan pengalaman pemanduan juga terasa selesa di atas jalan. Pemanduan secara nyaman dan mudah diminta oleh Honda CR-V kerana ia tidak akan memberikan kuasa jika diminta secara tiba-tiba tetapi ia akan memberikannya secara lebih lancar.
Kekurangannya adalah ketiadaan kamera 360 darjah untuk sebuah kenderaan yang bersaiz agam seperti ini. Lensa yang ada hanyalah kamera perakam video (dashcam) terbina, kamera pandang belakang dan kamera untuk Honda Sensing.
Beberapa aspek keselesaan masih boleh diukur secara objektif. Menurut meter desibel kami, Honda CR-V mencatatkan sehingga 70 dB pada kelajuan 110 km/j. Secara purata, bacaan Honda CR-V adalah paling tinggi (baca: bising) dalam kelasnya tetapi masih di bawah tahap yang memuaskan.
Tambahan fungsi Active Noise Cancelling dalam kabin terasa mengurangkan kebisingan pada telinga tetapi meter desibel menunjukkan bacaan yang sama dengan model pra-facelift. Hal ini mungkin disebabkan telinga berada lebih dekat dengan peranti Noise Cancelling di bahagian bumbung manakala meter desibel diletakkan pada tempat yang lebih rendah – bahagian konsol tengah.
Prestasi pemanduan – sedatif yang sesuai
Ia tidak terasa lelah kuasa tetapi jangan harapkan prestasi yang terlalu tinggi pada model ini. Enjin 1.5 liter turbo VTEC dengan output kuasa sebanyak 193 PS dan 243 Nm masih perlu membawa sebanyak 1.6 tan berat (varian 1.5 T-CP 4WD).
Untuk ukuran prestasi, pecutan 0-100 km/j mengambil masa 9.3 saat, sama seperti yang didakwa pengeluar.
Kadar penggunaan minyak juga agak menjimatkan. Dalam pandu uji dunia nyata, ia mencatatkan sekitar 8.9 L / 100 km, walaupun meter maklumat mencatatkan bacaan yang lebih tinggi. Untuk perbandingan, ini adalah bacaan terbaik antara Proton X70 dan Mazda CX-5.
CRV 2021 turun harga
Pada harga bermula RM 139k, Honda CR-V menawarkan produk yang lebih lengkap dan koheren berbanding pesaing dalam segmen sama.
Secara ringkasnya, ruang, penjimatan minyak dan praktikaliti adalah 2 aspek di mana Honda CR-V paling menyerlah. Malah, varian paling atas telah dikurangkan harga dari RM 175,900 kepada RM 162,910.
Sensasi pemanduan mungkin bukan ciri yang terbaik dengan enjin 1.5 turbo dengan pacuan 4WD tetapi untuk membawa 5 penumpang dengan selesa, ini SUV yang paling sesuai. Ia juga sangat sesuai untuk dibawa secara harian dan bukannya sekadar SUV hujung minggu atau ketika perlu.
Tiada kamera 360 darjah bukan masalah besar golongan pembeli beras. Mereka mempunyai kecerdasan spatial secara semula jadi.
Honda CR-V beberapa generasi sebelum juga masih mantap digunakan atas jalan raya justeru tidak keterlaluan jika kami menyatakan bahawa SUV ini mampu bertahan lama dalam pasaran.
Baca: Panduan membeli: Honda CR-V gen 4 terpakai – serendah RM 60k, masih lagi SUV pilihan ramai?
CRV 2021 turun harga juga menunjukkan komitmen Honda untuk terus menerajui industri automotif sebagai jenama bukan nasional nombor 1 Malaysia.
Apa pandangan anda?