Dengan beberapa spyshots dan paten yang pernah dilihat sebelum ini, akhirnya Honda HR-V 2022 serba baru diperkenalkan di Jepun. Bagi kamu yang belum tahu, ia dikenali sebagai ‘Honda Vezel’ di sana.
Eksterior
Kini di dalam generasi ketiga, Honda HR-V serba baru datang dengan gaya dari Honda SUV e:concept yang dipertonton pada September tahun lalu. Rekaan kali ini nampak cukup berlainan berbanding generasi sebelum ini. Malah ia nampak lebih matang dan kemas.
Di bahagian tepi, Honda HR-V 2022 masih mengekalkan identiti ala 2 pintu seperti sebelum ini. Ia juga memperlihatkan rekaan roda yang baru. Varian yang kamu lihat di sini mengenakan roda yang bersaiz 18 inci.
Pada bahagian belakang, terdapat sentuhan lampu yang melintang di antara kedua-dua lampu LED yang baru.
Di samping itu, Honda HR-V generasi terbaru juga datang dengan ciri but belakang berkuasa.
Interior
Seperti yang pernah diacah sebelum ini, bahagian kabin diubah kepada rekaan yang lebih kemas dan moden.
Di bahagian tengah, skrin infotainment diperbaharui dengan susunan berdiri. Ia juga datang dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.
Dengan 3 tombol penyaman udara dan warna dwi-tona, Honda HR-V 2022 mempunyai sentuhan kabin yang hampir sama dengan Honda City dan Honda Jazz.
Trenkuasa
Honda telah mengumumkan dua pilihan trenkuasa: enjin aspirasi natural 1.5L DOHC i-VTEC yang dipadankan dengan transmisi CVT dan enjin hibrid 1.5L i-MMD – seperti Honda City RS.
Untuk maklumat kamu, varian 4WD juga ditawarkan di pasaran Jepun.
Butiran lanjut mengenai trenkuasa akan diumum dalam masa terdekat ini.
Ada pakej kosmetik yang lain?
Selain varian yang diperlihatkan, Honda turut menawarkan pilihan gaya Urban Style dan Casual Style.
Bila nak masuk Malaysia?
Di Jepun, jualan Honda HR-V 2022 akan bermula April ini, diikuti dengan pasaran di peringkat global. Dengan penyediaan untuk pemasangan tempatan (CKD), ia dijangka tiba di Malaysia sekitar tahun 2022.
Untuk lebih banyak artikel sebegini lawati WapCar
Apa pandangan anda?