Posted on March 23, 2021
Mengapa pula Honda HRV 2021 tak masuk Malaysia? Adakah kerana AP tak lulus? Adakah kerana Jepun boikot pasaran Malaysia?
Honda HR-V 2021 telah membuat debut global di Jepun pada pertengahan bulan lepas. Ia diperkenalkan untuk mengganti generasi sebelumnya yang sudah berada di pasaran sejak 2013.
Jika dibandingkan dengan model sebelum ini, Honda HR-V baharu nampak lebih gah.
Bahagian belakangnya juga nampak lebih futuristik.
Pada bahagian dalam, Honda HR-V 2021 tampil dengan kabin yang lebih kemas dan premium. Tapi ada ura-ura mengatakan Honda HRV 2021 tak masuk Malaysia kerana terlalu mahal. Betul ke?
HRV 2021 tak masuk Malaysia?
Jawapannya mungkin ya mungkin tidak. Apa yang pasti ialah harganya akan meningkat.
Mari kami kaitkan sedikit dengan Honda Jazz baru. Sewaktu ia diperkenalkan lewat 2019, ketua pembangunannya pernah menyatakan bahawa kereta kompak tersebut hanya akan ditawarkan di pasaran Jepun, Eropah, China, dan Singapura sahaja.
Pada masa sama, pembeli di pasaran yang membangun seperti Malaysia berpendapat bahawa Honda Jazz baru nampak terlalu ‘funky’. Rekaan stereng dua bilah, kabin yang terlalu ringkas, dan eksterior yang terlalu comel sebenarnya tidak kena dengan citarasa kita.
Honda City Hatchback
Sebagai alternatif, pembeli di pasaran yang membangun ditawarkan dengan Honda City Hatchback. Model ini membuat debut global di Thailand pada akhir tahun lepas. Baru-baru ini, Honda City Hatchback telah pun dilancarkan di Indonesia. Nampaknya, giliran Malaysia akan tiba tidak lama lagi.
Disebabkan itu, kami tidak hairan sekiranya perkara yang sama turut dilakukan pada Honda HR-V baru.
Honda WR-V boleh jadi alternatif yang baik
Untuk itu, kami jangkakan bahawa Honda WR-V generasi seterusnya akan ditawarkan di Malaysia. Untuk pengetahuan kamu, model ini adalah Honda Jazz generasi GK tetapi versi SUV. Buat masa sekarang, ia dijual di pasaran India dan Brazil.
Untuk generasi seterusnya, Honda WR-V akan menjadi lebih premium kerana ia perlu merapatkan jurang di antaranya dengan Honda HR-V baru yang semakin ‘atas’.
Sanggupkah kamu bayar lebih untuk Honda HR-V?
Kemungkinan yang kedua ialah Honda HR-V baru akan tetap ditawarkan di Malaysia, tetapi dengan harga yang lebih tinggi. Di pasaran kita, Honda HR-V dijual dengan harga bermula dari RM 104k hingga RM 119k. Honda CR-V pula berharga di antara RM 140k ke RM 163k. Untuk model baru nanti, Honda HR-V tidak akan lagi dijual dengan harga yang rendah sebegitu.
Apapun, Honda WR-V generasi seterusnya akan ditawarkan di Malaysia kerana ia perlu mengisi jurang harga yang ditinggalkan oleh Honda HR-V yang dijangka lebih mahal berbanding model sebelum ini.
Untuk lebih banyak artikel sebegini lawati WapCar
Apa pandangan anda?