Dalam menuju arus modenisasi, kereta pun semakin maju. Malah, kami berpendapat bahawa kereta antara ‘gajet’ yang memacu teknologi. Kebanyakan kereta sekarang tak perlu cucuk kunci pun. Semua main tekan-tekan sahaja. Tekan-tekan pun, masih ada yang skeptikal terhadap teknologi sampai berperangai lebih sudu dari kuah. Manakan tidak, suruh tekan butang push start sekali pun masih ada yang terlebih pandai dari jurutera. Suruh ditekan sampai 3 kali. Macam-macam hal. Teknologi dalam kereta mudah tetapi ia masih memerlukan panduan. Contohnya lampu amaran minyak. Adakah lampu amaran minyak menandakan tiba masa yang sesuai untuk isi minyak atau sekadar memberitahu bahawa tangki berada pada tahap minimum? Jom kita bincangkan.
Tugas sebenar lampu amaran
Terdapat segelintir pemandu yang cenderung untuk memandu sehingga lampu amaran minyak menyala sebelum mengisi minyak. Ini adalah suatu tabiat yang boleh diterima tetapi tidak digalakkan, takut-takut terlajak.
Lampu amaran minyak berfungsi sebagai penanda aras bagi kapasiti minyak sahaja. Hal ini tidak bermaksud bahawa waktu terbaik untuk mengisi minyak adalah ketika lampu amaran minyak menyala. Malah, kamu digalakkan mengisi minyak sebelum lampu amaran minyak menyala.
Apabila lampu amaran sudah menyala atau berkelip-kelip, bergantung kepada model kereta, jarak minimum yang boleh ditempuh adalah 50 km. Memang terasa jauh tetapi 50 km tersebut meningkatkan risiko kerosakan terhadap kereta kamu.
Risiko memandu dengan tangki minyak minimum
Honda Malaysia kini sedang giat menangani masalah kerosakan fuel pump yang rata-ratanya dilaporkan gagal.
Syarikat automotif antarabangsa no 1 di Malaysia tersebut menjelaskan 3 sebab mengapa kamu tidak digalakkan untuk memandu dalam keadaan lampu amaran minyak menyala.
-
Geseran berlebihan. Bahan api sebenarnya adalah agen pelincir bagi pam minyak.
-
Pam minyak menjadi panas. Bahan api juga adalah agen penyejuk.
-
Bahan bakar kurang bersih. Pam minyak menyedut mendapan pada bahagian bawah tangki.
Bagaimana dengan tangki simpanan (reserve)?
Sesetengah pemandu percaya bahawa kereta mempunyai tangki simpanan, seolah-olah ada tangki lain yang membantu tangki utama apabila bahan api habis.
Rajah di atas dalam sebuah tangki minyak kereta moden menunjukkan sebaliknya.
Hakikatnya, tangki minyak simpanan (reserve fuel tank) bukanlah sebuah tangki lain. Ia masih tangki yang sama, cuma paras minyak sudah sampai ke paras sokongan (reserve).
Amalan terbaik isi minyak
Pastikan kamu mengisi minyak sebelum lampu amaran menyala. Elakkan daripada berfikir tentang tangki minyak simpanan, masih boleh pergi 50 km lagi dan sebagainya.
Periksa juga kenderaan secara berkala dan amalkan sikap pemanduan yang baik seperti mengisi minyak kereta yang dipinjam atau mengisi dompet rakan yang telah bantu menumpangkan kamu.
Jika kamu tidak gemar melakukan lawatan kerap ke stesen minyak, pastikan kamu memilih kenderaan yang jimat minyak. Atau mungkin, kamu boleh menggunakan kereta elektrik. Bersediakah kamu dengan masa depan dengan kereta elektrik?
Untuk lebih banyak artikel sebegini, lawati www.wapcar.my
Apa pandangan anda?