Posted on April 15, 2021
Nampaknya, Isuzu D-Max 2021 akan dilancarkan di Malaysia lebih awal daripada saudara kembarnya, Mazda BT-50.
Kami difahamkan bahawa pengedar Mazda di luar negara memberi laluan kepada rakan sekerjanya Isuzu untuk melancarkan Isuzu D-Max 2021 terlebih dahulu.
Di Australia, pelancaran Mazda BT-50 sengaja dilengahkan sebulan. Untuk makluman kamu, perasmiannya di pasaran tersebut beransur sebulan selepas pelancaran Isuzu D-Max.
Disebabkan oleh budaya Jepun yang faham akan satu sama lain, kerjasama di antara kedua-dua jenama ini nampak cukup serasi. Mungkin inilah sebabnya Mazda menggugurkan Ford sebagai rakan niaga.
Secara teknikal, Mazda BT-50 baharu dibangunkan bersama Isuzu. Walaupun dengan gaya yang tersendiri, kedua-duanya berkongsi mekanikal yang sama.
Sebelum ini, Mazda BT-50 berkait rapat dengan Ford Ranger. Malah, ia turut dipasang di kilang Auto Alliance yang sama di Rayong, Thailand.
Untuk generasi baru, Isuzu D-Max dan Mazda BT-50 dipasang di kilang Isuzu Motors Co. di Samutprakam. Apapun, masih belum dapat dipastikan sama ada Isuzu D-Max 2021 akan tiba di Malaysia sebagai model import (CBU) dari Thailand atau model yang dipasang tempatan (CKD) di kilang DRB-Hicom yang terletak di Pekan, Pahang.
Sebelum ini, Bermaz Auto pernah menjelaskan bahawa Mazda BT-50 baharu akan dilancarkan di Malaysia pada suku pertama tahun 2021. Tetapi sehingga ke hari ini, tiada sebarang perkhabaran.
Sebaliknya, Isuzu D-Max yang akan dilancarkan dahulu. Baru-baru ini, pengedar Isuzu di Malaysia mengesahkan bahawa stok untuk model lama sudah hampir habis.
Begitu juga dengan stok Mazda BT-50. Walau bagaimanapun, trak pikap ini tidak begitu menyumbang kepada angka jualan Bermaz Motor secara keseluruhan.
Memandangkan D-Max adalah satu-satunya kereta komersial ringan untuk Isuzu Malaysia, kami yakin mereka sudah tidak sabar untuk memperkenalkan trak pikap terbaru ini ke pasaran. Kalau tidak, pengedar akan kerugian wang kerana tiada produk utama untuk dijual.
Apapun, Isuzu D-Max baharu nampak cukup teguh. Ia mempunyai gaya sasa seperti Ford Ranger tetapi dengan reputasi ketahanan Isuzu yang boleh dipercayai.
Di Thailand, Isuzu D-Max baharu telah mencantas kedudukan Toyota Hilux sebagai trak pikap paling laris di sana. Prestasi jualan sebegini bukan sembarangan memandangkan selama ini, pasaran tersebut sinonim dengan trak pikap ‘Hailak’.
Untuk lebih banyak artikel sebegini lawati WapCar
Apa pandangan anda?