Posted on August 10, 2024
Kertajati international airport, sebuah lapangan terbang yang terletak di Majalengka Jawa Barat, adalah pintu gerbang bagi pelancong yang ingin terbang langsung dan menjelajahi keindahan Jawa Barat, Indonesia. Saya merasa sangat teruja menerima jemputan dari AirAsia dan Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur, kerana ini adalah kali pertama saya menjejakkan kaki di lapangan terbang Kertajati. AirAsia telah memperkenal kan route baru mereka ke Kertajati dan saya berasa sangat beruntung untuk dapat menjelajah Jawa Barat bersama mereka. Dari saat pertama tiba, saya terpesona dengan keramahan dan sambutan mesra dari Kedutaan Indonesia dan Tourism Indonesia, Smilling West Java yang telah menanti di lapangan terbang. Saya dan rakan media yang lain berada di Jawa Barat selama tiga hari, dan ia telah menjadi sebuah pengalaman yang mengukuhkan lagi rasa sayang saya terhadap destinasi-destinasi di negara jiran Malaysia iaitu Indonesia. Seperti kata mereka “kita serumpun” yang bermaksud segolongan bangsa atau sebangsa. Baca perjalanan kami.
HARI PERTAMA
Ciboer Pass
Terletak di lanskap tenang di Majalengka, Ciboer Pass adalah permata tersembunyi yang memikat hati, dengan sawah tereseringnya yang menakjubkan, mengingatkan saya pada Tegallalang yang terkenal di Ubud, Bali. Setibanya, kami dihidangkan makan tengahari yang dinikmati dengan kehijauan yang subur dan panorama yang menakjubkan.
Tempat ini menawarkan pelarian yang tenang dari kesibukan hidup kota. Siap bersantap, saya berjalan turun ke kawasan sawah untuk mengabadikan pemandangan yang memukau dan membiarkan suasana tenang desa ini menyegarkan jiwa saya. Sama ada menikmati kopi di kafe puncak bukit, meneroka sawah teresering, atau berkhemah di tepi sungai, Ciboer Pass pasti menjanjikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan dengan keindahan alam yang tenang.
Instagram : @ciboer_pass
BT Batik Trusmi
Mengunjungi BT Batik Trusmi di Cirebon Jawa Barat, memberi saya pengalaman mendalam dalam dunia batik melalui workshop pembatikan. Tempat ini bukan hanya pusat penjualan batik tetapi juga tempat di mana saya belajar dan menghargai seni batik tradisional di Indonesia.
Workshop ini memberikan saya kesempatan untuk memahami proses membatik dari awal hingga akhir. Saya diajarkan cara mendesain motif, menggunakan lilin panas untuk menggambar di kain. Menggunakan canting tidak semudah yang saya sangka, ia memerlukan fokus dan kesabaran. Motif-motif ikonik seperti Mega Mendung dan Singa Payung menjadi fokus, menggambarkan warisan budaya yang kaya dari Cirebon.
Selain itu, workshop ini juga mencakup kunjungan ke Trusmi Park Museum, di mana saya dapat melihat koleksi kain batik klasik dan mempelajari sejarah serta evolusi batik di Cirebon. BT Batik Trusmi menghadirkan suasana yang edukatif dan menjadikannya destinasi wajib bagi pecinta seni dan budaya seperti saya.
Instagram : @btbatiktrusmi
Keraton Kasepuhan
Kami tidak berkesempatan melawat Keraton semasa di Cirebon, tetapi jika saya berpeluang kembali, Keraton pasti akan menjadi antara destinasi dalam senarai saya. Keraton Kasepuhan di Cirebon adalah istana bersejarah tertua di Cirebon, dibangun pada tahun 1529 oleh Pangeran Cakrabuana, pengasas Kerajaan Cirebon. Istana ini menggabungkan seni bina tradisional Jawa dengan elemen Hindu-Buddha dan Islam, mencerminkan sejarah dan budaya Cirebon yang kaya dan beragam. Bangunan utama, Siti Hinggil, atau “tanah tinggi,” adalah tempat di mana sultan memerintah dan menjalankan upacara rasmi.
Terdapat juga Langgar Agung, yang digunakan untuk pelbagai upacara keagamaan seperti Mauludan dan penyembelihan Qurban. Di dalam kompleks istana, terdapat museum yang menyimpan pelbagai artifak berharga, termasuk keris Naga Sasra dan Batik Megamendung yang terkenal. Pengunjung juga dapat menikmati pertunjukan budaya seperti wayang kulit dan silat. Keraton Kasepuhan bukan sahaja menawarkan keindahan seni bina dan sejarah, tetapi juga memberikan pengalaman budaya yang mendalam bagi semua yang melawat.
Empal Gentong H. Upud
Makan malam di Empal Gentong H. Apud di Cirebon adalah salah satu pengalaman kuliner yang menarik. Restoran ini terkenal dengan hidangan khasnya, empal gentong. Saya tidak sabar untuk mencuba sajian daging sapi di restoran ini setelah mendengar tentang keenakannya di social media. Ia dimasak dalam kuah santan kuning berempah, memberikan rasa yang gurih dan kompleks.
Tidak hanya itu, saya juga mencuba sate kambing mereka, dan itu adalah salah satu sate terbaik yang pernah saya cuba. Dagingnya empuk, rempahnya meresap sempurna, dan rasanya benar-benar lazat sehinggakan kami telah memesannya sehingga tiga kali.
Empal Gentong H. Apud ditubuhkan oleh Haji Apud pada tahun 1995 dan telah menjadi kegemaran di kalangan pelancong dan penduduk tempatan kerana kualiti makanannya yang konsisten. Selain empal gentong dan sate kambing, saya juga mencuba tahu gejrot, iaitu tahu goreng yang disiram dengan sos manis-pedas.
Terletak di Jalan Raya Ir. H. Juanda No. 24 Battembat, Empal Gentong H. Apud buka setiap hari dari pukul 08:30 hingga 21:00, atau hingga makanannya habis. Tempat ini benar-benar wajib dikunjungi bagi siapa saja yang ingin merasakan kuliner autentik Cirebon.
Instagram : @empal_gentong_h.apud
Aston Cirebon Hotel & Convention Center
Aston Cirebon Hotel & Convention Center menjadi hotel penginapan kami di Cirebon, sebuah hotel bertaraf empat bintang yang menawarkan pengalaman penginapan mewah dan pelbagai fasiliti moden. Terletak di Jalan Brigjen Dharsono, hotel ini mempunyai 200 bilik dan suite yang direka dengan elegan dan dilengkapi dengan Wi-Fi. Yang paling mengagumkan bagi saya adalah pemandangan Gunung Ciremai yang indah dan tenang sewaktu saya bangun pagi, ia benar-benar menambah kenikmatan menginap di sini.
Fasiliti hotel termasuk kolam renang, pusat gim, spa, dan restoran dengan pelbagai pilihan kuliner yang menggugah selera. Hotel ini juga terkenal dengan pusat konvensyennya yang terbesar di Cirebon, mampu menampung hingga 2,600 tetamu, menjadikannya pilihan ideal untuk pelbagai acara perniagaan dan sosial. Layanan yang mesra dan fasiliti yang lengkap menjadikan Aston Cirebon juga pilihan yang sempurna untuk percutian keluarga.
Website : www.astonhotelsinternational.com
Instagram : @astoncirebon
HARI KEDUA
Leuwi Asri kopi Dan Resto Indonesia
Setelah selesai check out dari Aston Cirebon, kami meneruskan perjalanan ke Garut menaiki van, yang mengambil masa sekitar 4 jam sambil menghirup keindahan alam hijau dan pergunungan yang tenang. Setibanya di Garut, kami dibawa untuk makan tengahari di Leuwi Asri Kopi dan Resto. Restoran yang terletak di Jalan Raya Bayongbong KM 10 Garut, adalah destinasi kuliner yang menawarkan pemandangan alam dengan suasana nyaman.
Saya begitu terpegun apabila keluar ke bahagian belakang restoran ini dan melihat keindahan Gunung Cikuray, membuatkan saya tidak mahu kemana-mana lagi. Restoran ini menyajikan berbagai hidangan Nusantara dan fusion, serta beragam pilihan kopi dan camilan. Tempat ini memiliki berbagai spot menarik untuk dinikmati, baik indoor, outdoor, maupun semi-outdoor yang sangat #inSTAILgramworthy. Leuwi Asri juga dilengkapi dengan fasiliti lengkap seperti area taman permainan kanak-kanak, ruang VIP, dan masjid. It’s just perfect!
Instagram : @leuwi.asri
Astiga Leather
Usai makan tengahri kami dibawa ke Astiga Leather di Garut. Satu pengalaman yang sangat menarik dan lucu ketika team Smilling West Java menjadi model untuk memperagakan pakaian kulit. Ditubuhkan pada tahun 1998 oleh H. Joseph Sofian, dan telah menjadi warisan keluarga selama tiga generasi. Syarikat ini terkenal dengan produk kulit berkualiti tinggi.
Saya yang begitu minat dengan fashion trend benar-benar teruja dengan pelbagai item kulit yang ditawarkan, termasuk jaket, beg, kasut, dan aksesori. Apa yang membuat pengalaman ini lebih istimewa adalah peluang untuk melihat sendiri proses pembuatan barang kulit di kedai mereka.
Astiga Leather tidak hanya fokus pada kualiti kraf tangan mereka yang hebat, tetapi juga memberikan pengalaman unik kepada pengunjung. Mereka menekankan kepentingan menjaga standard kualiti yang tinggi, dan ini telah diiktiraf dan diberi anugerah oleh pihak berkuasa tempatan. Jika kamu bercuti di Garut, ini adalah tempat yang tidak boleh dilepaskan bagi peminat fashion dan trend!
Instagram : @astigaleather
Baso Aci Acay
Singgah sebentar di Baso Aci Acay untuk minum petang. Baso Aci adalah hidangan tradisional yang unik dari Indonesia yang sangat popular, terutama di daerah Garut. Ia terdiri daripada bebola ubi yang lembut dan kenyal, biasanya dihidangkan dengan kuah kaldu yang kaya dengan rasa. Selain bebola ubi, Baso Aci sering disertai dengan pelbagai bahan tambahan seperti tahu, kerupuk, dan sayur-sayuran. Kuahnya beraroma menambah kelazatan hidangan ini. Biasanya, Baso Aci dimakan sebagai hidangan ringan atau snek di waktu petang sambil menikmati tiupan angin sejuk di Garut.
Instagram : @basoaciacay
Villa Sumber Alam Garden of Water
Kami kemudiannya dibawa ke Villa Sumber Alam Garden of Water di Garut, Jawa Barat untuk menginap satu malam. Saya seperti berada di Bali sejurus masuk ke lobi. Sewaktu berjalan ke villa yang diberi nama Villa Cendana, saya tidak dapat menahan perasaan excited untuk melihat bilik penginapan. Apabila masuk ke villa dua bilik ini, saya disambut sebuah kolam air panas yang dikelilingi kehijauan alam dan bunyi unggas yang menenangkan.
Hotel yang terletak di kawasan pinggir gunung ini dikelilingi oleh pemandangan semula jadi yang indah. Tempat ini menawarkan taman air panas yang luas dengan pelbagai kemudahan seperti kolam renang air panas semula jadi dari gunung, air terjun, dan spa air panas. Suasana yang tenang dan udara segar di sini menjadikannya tempat yang ideal untuk bersantai dan lari dari kesibukan kota. Selain menikmati kolam air panas, saya juga berjalan-jalan di taman yang indah, mengagumi flora dan fauna di sekeliling kawasan hotel ini.
Selepas menikmati makan malam di restoran villa, kami mengambil bahagian dalam bengkel seni yang menarik. Payung Geulis Tasikmalaya mewakili warisan budaya kraf tangan ikonik dari kota Tasikmalaya di Jawa Barat. Payung tradisional yang dihias dengan indah ini dicat tangan dengan warna-warna cerah dan corak bunga yang terperinci, menjadikan setiap satu karya seni yang unik. Pada asalnya digunakan dalam upacara tradisional dan persembahan, Payung Geulis telah berkembang menjadi cenderamata yang popular, melambangkan semangat seni dan kebanggaan budaya Tasikmalaya. Kami berpeluang belajar tentang tradisi dan menghias payung kami sendiri. Payung yang telah siap dihias, kami bawa pulang sebagai kenang-kenangan.
Website : resort-kampungsumberalam.com
Instagram : @kampungsumberalam
HARI KETIGA
Dodol Picnic Garut
Sejurus sarapan pagi saya dan rakan media yang lain telah dibawa mengunjungi kilang pembuatan Dodol Picnic Garut. Dodol ini telah menjadi jenama dodol yang terkenal dengan dodol tradisionalnya yang diperbuat daripada santan, gula merah, dan beras ketan.
Kilang ini bermula sebagai perusahaan kecil yang menggunakan cara tradisional untuk membuat dodol, tetapi kini telah berkembang dengan menggunakan teknologi moden sambil tetap mempertahankan cita rasa dan kualiti asli. Mereka menawarkan pelbagai varian rasa seperti durian, cokelat, dan pandan, selain rasa asli yang tetap digemari.
Dodol Picnic Garut terkenal bukan sahaja kerana rasa dan kualitinya yang tinggi tetapi juga kerana inovasi dalam rasa dan kemasan. Pengalaman melihat proses pembuatan dodol di kilang ini menambah lagi kekaguman saya terhadap komitmen mereka terhadap tradisi dan inovasi. Jika kamu berada di Garut, pastikan kamu membawa Dodol Picnic Garut sebagai hadiah buah tangan buat yang tersayang.
Instagram : @dodolpicnic atau @dodolgarutpicnic
Seblak dan Kereta Api Panoramik
Kami mengucapkan selamat tinggal Garut selepas puas menikmati pelbagai jenis dodol yang enak. Garut telah menangkap hati saya, dan saya pasti akan kembali lagi. Sebelum meninggalkan kota yang indah ini, saya dan rakan-rakan media sempat mencuba street food terkenal, Seblak, yang benar-benar memukau selera kami dengan rasanya yang unik.
Seblak adalah makanan jalanan yang popular di Indonesia, terutamanya di kawasan Jawa Barat. Hidangan ini terkenal dengan kombinasi bahan-bahannya yang unik dan rasa pedas yang memikat. Seblak biasanya terdiri daripada keropok yang direbus, makaroni, sayur-sayuran, dan pilihan protein seperti ayam, telur, atau sosej yang semuanya disajikan dalam kuah pedas berempah.
Kuah seblak yang pekat dan berempah ini dibuat daripada campuran bumbu khas seperti bawang putih, bawang merah, cabai, kencur, dan garam. Tekstur keropok yang kenyal setelah direbus, ditambah dengan kuah pedas yang meresap, mencipta pengalaman makan yang penuh kejutan pada setiap gigitan.
Kemudian, kami menuju ke stesen kereta api untuk menaiki Kereta Api Panoramik ke destinasi seterusnya, Bandung!
Perjalanan ini adalah salah satu pengalaman paling menarik di Indonesia yang wajib kamu alami! Ya! Tidak perlu lagi membayar mahal untuk merasa Kereta Api Panoramic di Switzerland. Kereta api ini menawarkan pemandangan menakjubkan sepanjang perjalanan, termasuk keindahan pegunungan, sawah padi yang menghijau, dan pemandangan alam yang menenangkan.
Dari tingkap besar, saya dapat menikmati panorama dan merasai pengalaman visual yang mempesona. Reka bentuk dalaman kereta yang selesa dan moden memastikan perjalanan saya sangat santai. Yang paling istimewa, kerusi di gerabak ini boleh dipusing untuk menghadap pemandangan luar sepanjang perjalanan. Wow! What an experience.
Perjalanan ini benar-benar menghubungkan saya dengan keindahan alam sekitar, memberikan peluang untuk menghayati kecantikan semula jadi Jawa Barat sambil menikmati perjalanan yang tenang dan tidak tergesa-gesa. Kereta Api Panoramik adalah pilihan yang ideal untuk sesiapa yang ingin merasai pengalaman unik seperti yang kamu lihat di Switzerland melalui media social. Harga dan tiket boleh didapatkan di sini.
Eiger Store
Hello Bandung! Sudah tiba masanya untuk membeli-belah. Bandung adalah bandar fesyen yang dinamik di Indonesia yang terkenal dengan suasana kreatif dan pilihan gaya yang pelbagai. Sebagai pusat fesyen, Bandung menawarkan segala-galanya dari rekaan butik yang bergaya hingga kedai-kedai yang mempamerkan trend terkini.
Eiger Store adalah destinasi utama bagi peminat aktiviti luar dan sukan lasak di Indonesia, dan saya tak sabar untuk menerokainya! Setibanya di Eiger Store, saya terpesona dengan rangkaian produk berkualiti tinggi yang mereka tawarkan. Dari jaket kalis air hingga kasut mendaki tahan lasak, setiap produk direka untuk prestasi terbaik dalam pelbagai keadaan dan cuaca. Suasana kedai yang moden dan kemudahan mesra pelanggan menjadikan pengalaman membeli-belah sangat menyenangkan.
Selain barangan sukan, Eiger Store juga menyediakan aksesori dan peralatan tambahan seperti beg galas, alat navigasi, dan peralatan kemah. Saya kagum dengan pilihan beg galas yang praktikal dan alat navigasi canggih. Saya juga telah sempat membeli beberapa barang untuk dibawa pulang ke Malaysia, terima kasih Eiger!
Selepas penat membeli belah di Eiger, mereka telah menyediakan kopi ice untuk mengembalikan tenaga dari kafe kopi Eiger yang terletak di dalam Eiger store itu sendiri.
Instagram : @eigeradventure , @eiger.malaysia dan @eigercoffee_id
Ruhiyat Wooden Puppet & Mask
Ketika mengunjungi Ruhiyat Wooden Puppet & Mask di Bandung, saya benar-benar terpesona dengan kehalusan seni tradisional Sunda yang dipelihara di sini. Tempat ini bukan sekadar bengkel pembuatan, tetapi juga merupakan pusat pelestarian seni wayang golek dan topeng kayu yang sangat berharga. Saya berpeluang menyaksikan sendiri proses ukiran yang teliti dilakukan. Setiap langkahnya menunjukkan betapa mendalamnya pengetahuan dan kecintaan terhadap seni yang diwarisi dari generasi ke generasi.
Melihat artisan mengukir kayu dengan penuh dedikasi dan kesabaran membuat saya lebih menghargai kekayaan budaya Sunda. Saya juga terkesan dengan demonstrasi yang diadakan, di mana saya dapat memahami lebih lanjut tentang simbolisme dan cerita yang terdapat dalam setiap patung dan topeng. Setiap karya seni di Ruhiyat Wooden Puppet & Mask bukan hanya hasil ukiran kayu, tetapi juga cerminan dari cerita rakyat dan mitos Jawa Barat yang bermakna.
Pengalaman ini memberi saya pandangan yang mendalam tentang seni tradisional yang sering kali tersembunyi di balik kemajuan moden. Ruhiyat Wooden Puppet & Mask bukan sahaja memelihara seni yang hampir hilang, tetapi juga memastikan warisan ini terus hidup dan dinikmati oleh generasi akan datang. Bagi sesiapa yang berminat dengan seni dan budaya, tempat ini adalah destinasi yang wajib dikunjungi di Bandung.
Jalan Braga
Kami berjalan di sepanjang Jalan Braga di Bandung, menikmati gabungan menarik antara sejarah dan kemodenan yang ditawarkan. Jalan sepanjang 600 meter dan lebar 7.5 meter ini kaya dengan sejarah, pernah menjadi pusat kehidupan sosial dan komersial semasa era kolonial Belanda. Pada masa itu, Jalan Braga dikenali sebagai “Parijs van Java” (Paris Of Java) kerana daya tariknya yang mirip dengan Paris. Bangunan kolonial Belanda yang terpelihara dengan baik kini menjadi kafe trendy, butik-butik, dan galeri seni. Permukaan jalan yang berbatu dan lampu jalan vintaj menambah suasana nostalgik, seolah-olah saya kembali ke masa lampau.
Jalan Braga juga sering mengadakan acara dan pertunjukan seni, bagi menambah keceriaan dan warna. Tidak hanya sebagai tempat membeli-belah, ia juga merupakan destinasi ideal untuk bersosial dan menikmati suasana bandar yang dinamik. Kini, kami menuju ke salah satu restoran di jalan Braga untuk menikmati makan malam terakhir bersama team Smilling West Java. Sambil menikmati pemandangan dan suasana, kami terus melangkah menuju ke sebuah restoran untuk makan malam. Tidak sabar rasanya untuk mencuba hidangan istimewa malam terakhir di Bandung.
Braga Art Café
Braga Art Cafe di Bandung merupakan tempat yang sempurna untuk mengakhiri perjalanan kami bersama team Smiling West Java. Kafe ini memikat hati dengan deko ukiran kayu yang indah, mencipta suasana yang sangat cozy. Terletak di kawasan jalan bersejarah Braga, kafe ini memadukan seni dan keselesaan dalam setiap sudutnya. Kami menikmati hidangan ayam sambil berhibur dengan permainan game yang menyeronokkan, menjadikannya malam yang akan saya kenang selamanya.
Ikut mereka di instagram : @bragaartcafe
Savoy Homann
Kami menginap di Savoy Homann untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan keesokan harinya. Savoy Homann adalah hotel bersejarah yang terletak di pusat Bandung dan telah menjadi salah satu ikon penginapan di kota ini sejak dibina pada tahun 1939. Hotel ini telah menjadi tempat penginapan bagi tokoh-tokoh terkenal seperti Presiden Sukarno, Charlie Chaplin, dan Walter Spies.
Reka bentuk dalaman hotel ini membuatkan saya rasa seolah-olah kembali ke era Belanda dengan seni bina kolonial yang menawan dan hiasan klasik. Lokasinya yang strategik dan berdekatan dengan Braga Street membolehkan kami mengakses tarikan utama Bandung dengan mudah, menjadikannya penginapan yang sangat praktikal.
Website : savoyhomannbandung.com
Instagram : @savoyhomannbdg
Terima kasih kepada pihak pelancongan Jawa Barat Indonesia, Smilling West Java atas layanan mesra dan memberi saya pengalaman yang luar biasa. Saya pasti akan datang mengunjung lagi! Jangan lupa baca sambungan artikel ini untuk mengikuti perjalanan kami seterusnya di kota Jakarta! Baca disini.
Ikut instagram Smiling West Java untuk lebih banyak informasi dan lebih banyak tempat menarik untuk dikunjungi di Jawa Barat, Indonesia di @smiling.westjava dan jangan lupa #flyairasia
Apa pandangan anda?