Posted on January 23, 2020
Saya ini orangnya berasal dari Klang. Orang kata jauhnya saya duduk nun jauh di hujung dunia. Ya lah hari-hari berulang-alik dari Klang ke ibu kota kerana bekerja. Jauh namun sudah terbiasa dan tidak lagi terasa. Walau jauh sekalipun, mungkin ramai yang masih tidak tahu bahawa Klang ini punya banyak lokasi makanan menarik. Ada sahaja warga ibu kota yang turun ke Klang semata-mata untuk mencari kedai makan sedap di sekitar Klang. Sudah 29 tahun saya hidup di bandar ini, mari saya kongsikan beberapa kedai makan mesti kunjung di Klang.
Warung Pak Din
Gambar: Pojiegraphy
Antara yang paling popular di Klang. Warung Pak Din ini adalah warung paling tepat untuk kamu kunjungi jika mahu bersantai-santai minum petang. Warung ini perusahaan keluarga Pak Din di mana dahulu mereka ini bermula dari kecil-kecilan lagi berniaga menghantar kuih dari rumah ke rumah, kemudiannya membuka warung kecil di tepi jalan hingga lah kini sudah punya lokasi tetap di kawasan perumahan Taman Palm Groove. Jika kamu kunjung ke warung Pak Din menikmati seleksi kuih-muih yang pelbagai (kamu harus cuba karipap Pak Din), jangan lupa untuk mencuba ABC tembikai bebola gergasi yang viral itu!
Warung Pak Din
Jalan Ladang, Taman Palm Grove, 41200 Klang, Selangor, Malaysia
Buka : 12pm – 6pm
Tel : +60 13-281 1788
Warong Warisan Asli
Lokasi makan malam yang harus kamu kunjung jika kamu berada di Klang. Mereka menyediakan hidangan masakan Melayu hingga lah ke masakan Barat. Pilihan ikan stim ke asam pedas, masak lemak, menu mi, grill hingga lah ke pilihan menu pencuci mulut membuatkan kamu rambang mata untuk mencuba yang mana. Buat kamu pencinta bubur pengat sebagai menu pencuci mulut, di sinilah lokasi warung makan malam paling tepat sekali buat kamu. Menu seperti pengat pisang, bubur kacang merah, bubur durian, lempeng, ubi goreng, cucur udang, semua adalah!
Warong Warisan Asli
No.2, Jalan Baru, 41200 Klang.
Buka: 12.30pm – 12.30am setiap hari
Kari Kepala Ikan Tepi Sungai Klang
Gambar: Google
Memang begini panggilan nama restoran ini. Walaupun lokasinya tidaklah orang kata instagrammable namun jika kamu pekena kari kepala ikannya, mungkin kamu akan tahu mengapa ia menjadi salah satu restoran nasi kandar paling popular di Klang. Jika kamu berkunjung ke sini, pastikan kamu datang awal untuk mencuba sekali kari telur ikan. Kadang-kala, sampai berebut kerana ini antara menu (telur ikan) yang paling cepat habis saat restoran ini dibuka. Apa yang menariknya tentang kari kepala ikan di restoran ini ialah kerana kesegaran ikannya serta adunan rempah karinya yang seimbang.
Kari Kepala Ikan Tepi Sungai Klang,
Gerai makan Pekalan batu, Kawasan 1, 41100 Klang, Selangor
Buka: 11.45am – 4.30pm setiap hari
Jumaat: jam 11am – 1.15pm dan 2.15pm – 4.45pm
Nyonya Kitchen and Caterers
Satu-satunya restoran nyonya yang popular dan perusahaannya sudah beroperasi selama berpuluh tahun di Klang dan masih menjadi antara lokasi makanan pilihan warga Klang sehingga ke hari ini. Daripada namanya sahaja, kamu pasti sudah tahu jenis makanan apa yang mereka hidangkan. Sudah tentu Baba & Nyonya. Antara menu popular mereka ialah seperti ayam pandan, kari kepala ikan kapitan, sambal terung dan pelbagai lagi.
Nyonya Kitchen and Caterers
No. 220 & 222, Jalan Batu Unjur 7, Taman Bayu Perdana, 41200 Klang
Buka: 11.30am – 10.30pm setiap hari
Apa pandangan anda?