Posted on December 19, 2022
Paris merupakan salah satu kota paling popular di dunia. Mendapat jolokan bandar raya bercahaya (city of lights) dan juga kota cinta, ia tidak pernah lekang dengan kunjungan pelancong dari setiap pelusuk dunia. Malah selain gelaran-gelaran tersebut Paris juga tersohor sebagai pusat fesyen dunia serta salah satu kota paling mewah dan bergaya berkat lahirnya ramai seniman dari pelbagai bidang di kota tersebut. Jadi tidak hairanlah jika ia juga menjadi pusat untuk ajnas jenama penginapan mewah dari seantero dunia.
Tidak ketinggalan memeriahkan senarai penginapan mewah tersebut adalah hotel Mandarin Oriental Paris. Terbina indah di kawasan pusat kota Paris, hotel Mandarin Oriental Paris merupakan sebuah hotel berjenama antarabangsa yang menawarkan perkhidmatan kelas terbaik buat para tamunya. Sebagai salah sebuah hotel berbintang lima di bandar raya tersebut, hotel ini berjaya membuktikan yang mereka mampu mewujudkan suasana terbaik dan selesa buat setiap pengunjungnya. Terletak di tengah-tengah Rue Saint Honore, iaitu salah satu alamat paling eksklusif di kota tersebut, hotel ini mudah ditujui kerana berada berdekatan dengan pelbagai hentian pengangkutan awam seperti stesen Metro (keretapi bawah tanah) dan juga stesen bas.
Sejajar dengan statusnya sebagai sebuah hotel mewah, Rue Saint Honore merupakan kawasan beli-belah tersohor dengan pelbagai butik jenama mewah yang memenuhi kawasan itu. Malah betul-betul bersebelahan hotel ini adalah butik kedai Versace yang berkongsi kaki lima yang sama. Diperhebatkan lagi dengan rekaan bangunan hotelnya yang sangat unik dan terinspirasi dari senibina gaya Perancis era 1930-an, pasti ramai yang tidak akan melepaskan pandangan dari senireka bentuk hotel berprestij ini. Sebaik sahaja melangkah masuk, para tamu akan disapa ruangan luas lobi hotel ini yang gah lagi mewah. Dengan hiasan istimewa berupa 135 gantungan kekupu dari siling, ini merupakan ciri khas Mandarin Oriental Paris yang juga melambangkan jumlah bilik berserta suite yang ada di hotel ini.
Sememangnya, bilik-biliknya juga sangat menarik, apatah lagi dengan bilik mandi berdinding kaca lutsinar yang pemandangannya hanya boleh ditutup dengan bidai khas dari dalam kamar mandi. Setiap bilik juga semestinya dilengkapi dengan kecanggihan teknologi terkini seperti televisyen, saluran TV kabel dan lain-lain. Tidak ketinggalan setiap bilik mempunyai kemudahan wi-fi buat tamu yang ingin melayari internet.
Mandarin Oriental Paris juga mempunyai sebuah spa luas di tingkat bawah tanah untuk memanjakan diri berserta sebuah kolam renang. Ia turut dimeriahkan dengan sebuah gimnasium selain bilik mandian wap buat mereka yang selesai beriadah. Ini diserikan lagi dengan beberapa tempat untuk menjamu selera. Terdapat tiga restoran dan bar di hotel ini di bawah kelolaan Cef Eksekutif Thierry Marx berserta sebuah kedai kek.
Restoran pertama adalah Sur Mesure Par Thierry Marx, sebuah restoran ‘gourmet’ sajian mewah yang dinobatkan dua bintang Michelin! Ia boleh memuatkan 40 orang sahaja kerana tahapnya yang sangat eksklusif. Yang kedua pula adalah Camelia, restoran kontemporari yang menjadi tempat untuk menikmati sarapan, makan tengah hari serta makan malam. Ia diilhamkan dari pasar-pasar Perancis dan turut mempunyai ruang makan di kawasan taman bahagian luar hotel. Tidak dilupakan adalah Bar 8 yang mempunyai seni reka dalaman unik buat pengunjung.
Ia juga mempunyai bilik-bilik khas buat mesyuarat serta seminar untuk mengadakan aneka perjumpaan serta acara. Tidak jauh dari hotel ini juga terdapat banyak kawasan yang popular dengan makanan untuk kemudahan para tamu yang ingin mencuba sajian tempatan. Semestinya ia juga syurga membeli-belah buat yang suka berbelanja. Sekiranya anda tercari-cari hotel yang menawarkan segala kemewahan berkonsep di samping lokasi yang sangat strategik, singgahlah di Mandarin Oriental Paris di Perancis untuk pengalaman mewah dan gah yang tak mungkin anda lupakan!
Apa pandangan anda?