Posted on July 16, 2021
Sedar tak bahawa kita sudahpun berada di pertengahan tahun 2021? Disebabkan pandemik Covid-19, banyak benda terpaksa ditunda, termasuklah pelancaran kereta baru di pasaran. Pun begitu, ada juga kereta baru 2021 yang akan dilancarkan di Malaysia separuh kedua tahun ini.
Walaupun kita masih lagi dalam PKP, banyak pengeluar kenderaan yang melancarkan model terbaru di pasaran pada awal 2021, dari Toyota Corolla Cross hingga Isuzu D-Max yang baru. Sekarang, masih ada baki enam bulan lagi sebelum tahun 2021 berakhir.
Tanpa membuang masa, ini adalah beberapa kereta yang kami rasa akan dilancarkan pada separuh ke-2 tahun ini.
Honda – City Hatchback / Odyssey ‘facelift’ 2021
Seperti kamu sedia maklum, nama Honda Jazz itu akan digantikan dengan Honda City Hatchback. Pada awalnya, ramai yang tidak setuju dengan keputusan Honda, tetapi angka jualan City Hatchback di negara lain begitu kencang.
Buat masa ini, kilang Honda di Pegoh, Melaka sedang menyediakan alatan dan juga mesin yang diperlukan untuk memasang City Hatchback.
Kita boleh menjangkakan City Hatchback akan menggunakan kombinasi enjin 1.5 liter/CVT yang sama dengan sedan dengan varian hibrid e:HEV.
Selain City Hatchback, Odyssey ‘facelift’ yang dilancarkan di Singapura dan Indonesia awal tahun ini juga dijangka tiba pada 2021. Jangan risau, masih ada beberapa stok yang tersedia walaupun MPV ini bakal dihentikan jualannya di Jepun.
Hyundai – Kona N-Line / Palisade 2021
Walaupun Hyundai Kona ‘facelift’ dilancarkan pada bulan April lepas, ada satu varian yang tiba-tiba hilang dari barisan Kona, dan ia adalah 1.6 liter dengan pengecas turbo. Sekarang, kami tahu bahawa varian itu akan digantikan dengan varian N-Line yang akan datang.
Kona N-Line menghasilkan 168 PS/265 Nm dan dipadankan dengan transmisi dwi-klac 7-kelajuan. Jika kamu ragu-ragu, Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) sendiri yang mengesahkan pengenalan Kona N-Line di Malaysia melalui video acah di laman sosial mereka.
SUV lain yang dapat dilancarkan HSDM pada 2021 adalah Hyundai Palisade yang sudahpun dijual di Indonesia dan Singapura.
Berdasarkan laporan kami sebelumnya, SUV yang besar ini juga akan dijana dengan enjin sesuai dengan imejnya, iaitu enjin 3.8 liter V6 aspirasi natural yang menghasilkan 291 PS/355 Nm.
Mazda – BT-50 / CX-3 2021 yang dikemas kini
Dibangunkan dengan kerjasama Isuzu dan bukan Ford, Mazda BT-50 yang baru ini seharusnya dilancarkan pada Q1 2021. Walaubagaimanapun, perkara tersebut tidak berlaku, tetapi menurut laporan pelaburan RHB baru-baru ini, ia dijangka tiba tahun ini juga.
Laporan yang sama juga menyebut pelancaran Mazda CX-3 dengan beberapa penambahan kelengkapan. Tiada ‘facelift’ mahupun model serba baru, sebaliknya, crossover terkecil Mazda ini bakal mendapat kemas kini kedua tahun ini dalam bentuk pengecas tanpa wayar.
Kemas kini pertama yang diperkenalkan pada bulan Mac menambah sistem bantuan pemandu ADAS serta sambungan Android Auto dan Apple CarPlay.
Kereta Baru 2021: Mercedes-Benz – E-Class facelift (W213) / A-Class Sedan / GLA / GLE CKD
Pelancaran E-Class ‘facelift’ di Malaysia sudah lama dinantikan sejak kami terjumpa model ini di atas treler akhir tahun lalu. Sejak itu, W213 ‘facelift’ telah dilancarkan di beberapa negara di rantau ini termasuk Thailand dan Vietnam.
Tambahan pula, Mercedes-Benz Malaysia juga telah menyatakan hasratnya untuk “memperluaskan model CKD bagi model tambahan dalam segmen kereta kompak dan SUV tahun ini.”
Walaupun tidak ada model khusus yang diungkapkan, kami yakin model tersebut adalah A-Class serta GLA dan GLE SUV kerana GLC sudahpun menjadi model CKD.
Peugeot – Peugeot 2008 2021
Setelah menyelesaikan perceraiannya secara rasmi dengan Naza, Peugeot kembali ke Malaysia di bawah pengedar baru iaitu Berjaya Auto Alliance Sdn Bhd (BAASB).Salah satu model yang dijangka tiba di sini pada tahun 2021 adalah Peugeot 2008.
Bagaimana pula dengan Peugeot 508? Walaupun 508 telah terlihat di seluruh negara (biasanya sekali dengan Citroen DS3 Crossback), model itu mungkin hanya digunakan untuk tujuan latihan atau ujian. Ini kerana ia adalah unit pandu kiri dan mempunyai plat syarikat Peugeot.
Peugeot 2008 akan bersaing dengan Hyundai Kona dan Honda HR-V di pasaran SUV segmen B. Kita boleh mengharapkan 2008 pemasangan tempatan dikuasakan oleh enjin petrol 1.2 liter 3-silinder berpengecas turbo (155 PS / 240 Nm), dipadankan dengan transmisi automatik 6-kelajuan.
Proton – Iriz facelift / Iriz Active / Persona facelift / X70 SE 2021
Walaupun berlambak imej Persona dan Iriz facelift di internet, pelancarannya terpaksa ditunda lebih lanjut kerana PKP 3.0. Iriz dan Persona dijangka tiba tahun ini bersama dengan varian crossover Iriz yang akan dipanggil Iriz Active.
Kedua-dua model segmen B ini akan menerima reka bentuk luaran dan dalaman yang baru tetapi transmisi CVT Punch yang “berlegenda” itu katanya akan dikekalkan, sekurang-kurangnya berdasarkan beberapa spesifikasi yang tertiris.
Model Proton lain yang akan dilancarkan adalah X70 SE. Selain warna Ocean Blue serta roda 19 inci yang diambil dari Geely Boyue Pro, dan tempat duduk kulit Nappa hitam. Tiada perubahan pada trenkuasa.
Suzuki – Jimny 2021
Jenama yang terkenal dengan model kompak di Malaysia kini kembali di bawah Naza Eastern Motors. Setelah pelancaran Swift Sport, kami tidak sabar untuk melihat model yang akan dilancarkan seterusnya, iaitu Suzuki Jimny.
Jimny terbaru telah menjadi hit di seluruh dunia, sehinggakan harga untuk model terpakai lebih mahal daripada yang baru. Ini kerana Jimny mempunyai ramai peminat disebabkan penampilannya yang retro dan stailo.
Tapi, jangan harapkan harga Jimny serba baru ini murah. Pengedar kenderaan ‘recond’ menjualnya pada harga sekitar RM160k, jadi kami jangkakan harganya berada dalam lingkungan yang sama.
Kereta Baru 2021: Toyota – Camry facelift / GR 86
Berdasarkan mesyuarat korporat kepada pemegang sahamnya, UMW Holdings Berhad telah menggariskan dua model Toyota yang akan dilancarkan pada suku keempat 2021. Secara tradisinya, ia akan dilancarkan antara bulan Oktober dan Disember.
Antara model yang diperkatakan mungkin adalah Toyota Camry ‘facelift’, dengan beberapa perubahan di bahagian eksterior dan interior. Perubahan ketara mungkin skrin paparan infotainment gaya terapung yang lebih moden.
Model kedua yang dinyatakan sebagai model GR mungkin adalah Toyota GR 86. Tidak seperti GR Yaris, model ini bukanlah pengeluaran terhad. Seperti dijangka, harganya juga bukanlah murah, namun ini akan memuaskan mereka yang menggelar diri mereka sebagai peminat kereta sebenar.
Volkswagen – Golf GTI Mk8 / Arteon facelift / T-Roc 2021
Sejak imej Golf GTI Mk8 dilihat tanpa sebarang penyamaran tahun lalu dengan pelekat pemasangan tempatan, nampaknya ramai yang sudah teruja untuk ketibaan GTI serba baru ini.
Namun begitu, tiada perkembangan lanjut tentang model Golf ini, dan kami juga tidak pasti samaada varian TSI juga akan dipasang di Malaysia.
Sekurang-kurangnya kita tahu bahawa Arteon ‘facelift’ dijangka tiba tidak lama lagi. Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah membuka tempahan untuk Arteon R-Line 4Motion yang dipasang tempatan dengan harga yang dianggarkan antara RM 245,000 dan RM 255,000.
Namun, kami juga melihat sesuatu yang menarik dalam pengumuman tempahan Arteon. Walaupun perkara ini tidak disahkan, Volkswagen T-Roc mungkin akan dilancarkan di Malaysia.
Crossover subkompak ini akan menjadi saingan hebat bagi Proton X50 dan Honda HR-V, tetapi dalam pasaran yang sensitif dengan harga, ini mungkin tidak akan terjadi.
Lain-lain Kereta Baru 2021 – Chery Tiggo 5x / GAC Trumpchi GS3 Power / GWM / Haval / Ora / MG 2021
Jenama-jenama dari China ini banyak memasuki Malaysia untuk ujian atau penilaian, baik dengan penyamaran ataupun tidak ada di seluruh pelusuk Malaysia.
Namun, dengan PKP 3.0 dan juga tiada sebarang pengumuman daripada pengedar masing-masing, rasanya pelancaran model-model ini akan ditunda ke tahun depan.
Walaupun pengarah urusan MG Thailand mengatakan bahawa jenama itu dapat tiba di Malaysia pada tahun 2021, sejak itu tidak ada apa-apa pengumuman lanjut. Malah MG Berjaya, pengedar tempatan jenama tersebut pun senyap sahaja sepanjang tahun 2021.
Jenama-jenama lain yang mengalami nasib yang sama termasuklah GWM, Haval, dan Ora. Selain daripada imej intipan yang kami kongsikan beberapa bulan yang lalu, semuanya diam membisu sahaja.
Kemudian, kita ada Chery Tiggo 5x dan GAC Trumpchi GS3 Power. Kedua-dua model itu pasti menimbulkan rasa ingin tahu rakyat Malaysia apabila unit ujian dengan penyamaran mula muncul di jalan raya Malaysia.
Malangnya, seperti jenama-jenama China lain yang diam sepi belaka, kami tidak dapat memastikan sama ada Chery akan kembali ke Malaysia, mahupun pengenalan jenama GAC di sini.
Sebelum teruja dengan rangkaian model-model yang dijangka tiba di Malaysia, ingatlah bahawa kebanyakan model ini hanyalah ramalan dan spekulasi. Kereta mana satukah yang kamu teruja dengan kedatangan mereka di sini?
Artikel ini ditulis oleh Zamil Syameer untuk WapCar
kereta perodua
December 16, 2022banyak lagi kereta segmen hatchback. diantaranya yang popular kereta perodua