Posted on February 9, 2021
Kereta tamat 2020. Apakah kereta yang tidak lagi dalam produksi sejak tahun lepas? Dan mengapa model-model ini tidak lagi dihasilkan? Baca…
Tahun 2020 menyaksikan pergelutan pengeluar kereta untuk terus bersaing dalam pasaran yang semakin mencabar. Kita menyaksikan perubahan pengedar rasmi model Peugeot, kehadiran jenama MG di atas jalanraya Malaysia, nasib Kia yang masih belum ditentukan serta peningkatan jualan dan pegangan pasaran oleh Proton.
Di samping itu, beberapa model kereta juga telah digugurkan dari perancangan jenama masing-masing dan berikut adalah beberapa model kereta tamat 2020.
BMW 1 Series CKD
BMW 118i generasi F20 adalah satu-satunya pilihan untuk model BMW bawah RM 200k dengan harga RM 188,800. Kini dengan pelancaran generasi baru F40, model BMW 1 Series bukan lagi model paling murah oleh BMW.
Untuk pasaran Malaysia, model BMW 1 Series akan diwakili oleh varian BMW M135i – tiada lagi varian 118i atau 120i. Model BMW M135i dijual pada harga RM 355,646 kerana status pemasangan CBU dari Jerman.
BMW X1 kini menjadi model paling rendah oleh BMW dengan harga RM 208,368 (tanpa SST). Lagipun, jika BMW berharga bawah RM 200k, ini akan membantu jualan Honda Accord dan Toyota Camry yang kelihatan lebih berbaloi berbanding membeli BMW 1 Series.
Honda City GM6
Kehadiran Honda City generasi baru (GN) telah menggantikan model Honda City GM6 yang sangat digemari rakyat Malaysia.
Model Honda City GM6 memberikan nilai yang terbaik untuk harga yang ditawarkan. Malah, ramai yang lebih menggemari rekaan Honda City GM6 tetapi ini hanyalah sekadar citarasa masing-masing.
Honda City GM6 telah mengubah persepsi pasaran mengenai model sedan segmen B Honda daripada sebuah kereta bajet kepada kereta yang berbaloi untuk pakej yang ditawarkan.
Hasilnya, Honda City GN kini turut membawakan persepsi yang sama.
Honda City GM6 masih berbaloi untuk dibeli secara terpakai (baca panduan Wapcar.my) dan senantiasa dekat di hati rakyat Malaysia.
Hyundai Tucson
Sebulan selepas Hyundai Global melancarkan Hyundai Tucson 2021 yang baharu, Wapcar.my mendapati bahawa Hyundai Tucson generasi lama sudah pun digugurkan dari laman web Hyundai Sime Darby Malaysia (HSDM).
Masih terlalu awal untuk menjangkakan kehadiran Hyundai Tucson 2021 ke Malaysia. Malah, Hyundai Tucson sedia ada juga adalah model yang kurang memberangsangkan dalam pasaran SUV yang makin padat sejak akhir-akhir ini.
Jika kamu sudah terlupa mengenai Hyundai Tucson di Malaysia, ia didatangkan dalam varian 2 varian seperti berikut:
Kia Picanto
Kia Picanto bukanlah sebuah kereta yang gagal. Malah, ia banyak menerima pujian dari banyak pihak dan media justeru pengguguran model ini adalah sedikit kejutan.
Bukan itu sahaja, varian prestasi GT-Line juga habis dijual dan tidak boleh dibeli lagi.
Kia Picanto menawarkan pemanduan yang stabil untuk sebuah model kompak dengan penambahan ciri-ciri terkini seperti Apple CarPlay, Android Auto, ESC dan 6 beg udara.
Oleh itu, di mana salah silapnya Kia Picanto ini?
Pengurusan jenama Kia di Malaysia kini masih menjadi tanda tanya. Kia Picanto dikhabarkan habis dijual dan model baru belum dibawa masuk akibat perubahan pengurusan tersebut.
Malah, tidak keterlaluan jika nasib yang sama mungkin menimpa kesemua barisan model Kia di Malaysia. Adakah kamu berani mengambil risiko membeli model Kia sekarang?
Mazda 2 Mid Spec
Mazda 2 baru sahaja menerima kemaskini kecil pada bulan Mac 2020 tetapi jumlah varian juga telah dikurangkan. Kini yang tinggal hanyalah varian High Spec dengan lampu depan LED.
Alasan untuk varian Mid Spec digugurkan adalah kerana kenaikan harga untuk kereta yang diimport sepenuhnya (CBU). Tidak masuk akal bagi Bermaz untuk menjual Mazda 2 dengan status CBU dari Thailand pada harga yang tinggi.
Pada harga RM 100,870, terdapat pelbagai pilihan dalam pasaran yang kelihatan lebih berbaloi melainkan kamu memahami dan menghargai seni pembuatan kereta Mazda.
Mercedes-Benz C300 AMG Line (Airmatic Suspension)
Mercedes-Benz C-Class kini tidak lagi menggunakan sistem suspensi Airmatic. Sistem suspensi ini unik bagi Mercedes Benz tetapi bermula 2020, ia tidak lagi akan ditawarkan pada Mercedes Benz C300 AMG Line.
Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah melancarkan model C200 AMG Line dengan harga yang lebih rendah tetapi bagi pembeli yang mahukan keselesaan pada C300 untuk sistem suspensi Airmatic, mungkin pertimbangkan sahaja model C200.
Tanpa sistem suspensi Airmatic, model C300 AMG Line juga telah dikurangkan sebanyak RM 2,000 menjadikan harga barunya RM 291,800 sepanjang tempoh pengecualian cukai.
Mercedes-Benz C200 EQ Boost
Bercakap mengenai model C200 AMG Line, kemas kini juga menyaksikan enjin 2.0 liter M264 kembali ke C200.
Model C200 pada asalnya hadir dengan enjin 1.5 liter EQ Boost dengan tambahan mild hybrid 48 volt. Pastinya perubahan ini akan memberi sedikit kesan terhadap pembeli prospek.
Peningkatan prestasi untuk kedua-dua enjin dapat dilihat seperti berikut:
Enjin EQ Boost juga agak mahal untuk dibina jadi adalah difahami bagi MBM untuk menggunakan enjin M264 yang sudah terbukti handal.
Toyota 86/ Subaru BRZ
Toyota 86/Subaru BRZ antara pilihan kegemaran kami di Wapcar.my. Walaupun Subaru BRZ generasi baharu telah dilancarkan pada bulan November 2020, model tersebut adalah spesifik untuk pasaran USA sahaja.
Penjualan kereta sport yang merudum dan undang-undang pelepasan karbon yang semakin ketat memaksa Toyota untuk menggugurkan model Toyota 86. Nasib yang sama bakal menimpa kebanyakan model kereta sport yang lain?
Nampaknya, model recond / terpakai adalah satu-satunya cara untuk memiliki Toyota 86 / Subaru BRZ. Jangan khuatir kerana Wapcar.my ada panduan untuk anda.
Toyota C-HR
Toyota C-HR bukanlah produk yang gagal. Apa yang menggagalkan model ini adalah harganya yang terlalu tinggi.
Perbandingan harga Toyota C-HR adalah seperti berikut:
Dengan status pemasangan CBU dari Thailand dan sistem suspensi belakang jenis double wishbone, Toyota C-HR diposisikan sedikit mahal dengan harapan pembeli melihat lebih daripada harga.
Tidak boleh tidak, harga sememangnya memainkan sentimen yang mendalam lagi-lagi pada julat harga atas RM 100k.
Penggantinya, Toyota Corolla Cross dijangka akan hadir dalam lingkungan harga RM 120k – RM 130k yang lebih realistik dengan status pemasangan CKD.
Toyota RAV4 2.0
Toyota RAV4 adalah model kereta ke 4 terlaris dunia di belakang Ford F-Series, Toyota Corolla dan Honda Civic. Pastinya mengambil model yang terbukti berjaya di pentas dunia akan memberi kesan terhadap jualan di Malaysia, bukan?
Tidak semestinya.
Toyota RAV4 gagal mendapat sambutan yang sama di Malaysia. Malah, hanya varian enjin 2.4 liter sahaja yang masih terjual manakala varian enjin 2.0 liter sudah digugurkan oleh UMW Toyota.
Malaysia bukanlah pentas yang sesuai untuk Toyota RAV4 dengan tamparan cukai yang tinggi untuk model CBU dan kapasiti enjin. Pembeli yang mampu pula memilih enjin 2.4 liter, alang-alang menyeluk pekasam bak kata pepatah.
Volkswagen Polo Mk5
Pengguguran Volkswagen Polo Mk5 adalah dijangkakan. Pasaran-pasaran lain sudah menerima Volkswagen Polo Mk6 tetapi sesetengah negara seperti Malaysia dan India masih belum menerima Volkswagen Polo generasi baru.
Selain daripada Volkswagen Polo Mk5, kembar sedannya iaitu Volkswagen Vento baru sahaja digugurkan secara senyap baru-baru ini. Itu pun beberapa hari selepas tahun 2021 melabuhkan tirainya.
Kelebihan Volkswagen Polo Mk5 adalah enjinnya yang berkuasa dan antara model kereta yang mempunyai kadar penggunaan minyak yang rendah setanding Perodua.
Kereta tamat 2020
Model kereta datang dan pergi. Tiada apa yang kekal di dunia yang fana ini. Kerana itu keluarnya senarai kereta tamat 2020 kami ini.
Bagi tahun 2021 ini, beberapa model baru yang mengujakan akan tiba di Malaysia. Mampukah model seperti Perodua D55L, Proton Iriz R3 / facelift dan Honda City hatchback memberi definisi baru terhadap pasaran yang akan diterjah? Nantikan!
Untuk lebih banyak artikel sebegini, lawati www.wapcar.my
Apa pandangan anda?