Kamu pasti pernah membeli ikan tuna dalam tin bukan? Tahukah kamu, berapa jumlah sebenar kalori ikan tuna dalam tin? Ada yang kata khasiat tuna dalam tin boleh turunkan berat badan.
Lebih penting lagi, adakah selamat memakan ikan tuna dalam tin berbanding ikan segar?
Khasiat tuna dalam tin
Pernahkah kamu terfikir, adakah ikan tuna dalam tin ini dianggap sebagai makanan yang sihat atau makanan segera seperti jenis makanan dalam tin lain?
Berikut adalah kandungan nutrisi dan juga kalori ikan tuna bertin berbanding jenis yang lain.
Kita lihat kepada tiga jenis penyediaan ikan tuna seperti di bawah ini:
Ikan tuna segar
- Kalori ikan tuna: 31
- Jumlah lemak: kurang 1 gram
- Lemak tepu: kurang 0.5 gram
- Kandungan omega-3: DHA (25 mg), EPA (3 mg)
- Kolesterol: 11 mg
- Garam: 13 mg
- Protein: 7 gram
Ikan tuna bertin, bersama minyak
- Kalori ikan tuna: 56
- Jumlah lemak: 2 gram
- Lemak tepu: kurang 1 gram
- Kandungan omega-3: DHA (29 mg), EPA (8 mg)
- Kolesterol: 5 mg
- Garam: 118 mg
- Protein: 8 gram
Ikan tuna bertin, bersama air
- Kalori ikan tuna: 24
- Jumlah lemak: kurang 1 gram
- Lemak tepu: kurang 0.5 gram
- Kandungan omega-3: DHA (56 mg), EPA (8 mg)
- Kolesterol: 10 mg
- Garam: 70 mg
- Protein: 6 gram
Kalori ikan tuna bertin bersama minyak jauh lebih tinggi berbanding ikan tuna segar dan ikan tuna tin bersama air. Namun, kedua-dua jenis tuna bertin adalah tinggi kandungan garam berbanding ikan tuna segar.
Kadar protein pula hampir sama bagi ketiga-tiga jenis ikan. Nutrisi ikan tuna dalam tin juga bergantung kepada jenis jenama, saiz hidangan dan juga resepi penyediaan ikan tersebut.
Kebaikan memakan ikan tuna dalam tin
Sekiranya kamu ingin menurunkan berat badan, tuna dalam tin adalah pilihan yang baik kerana ia rendah kalori tetapi tinggi kandungan protein.
Selain rendah kandungan lemak, ikan tuna juga adalah sumber asid lemak omega-3 yang sangat baik. Omega-3 adalah lemak diet penting yang bermanfaat untuk kesihatan jantung, mata, dan otak.
Walaupun kamu boleh mendapatkan omega-3 daripada sumber tumbuhan, tetapi ikan dianggap sebagai sumber omega-3 terbaik.
Pengambilan tuna dalam tin adalah cara mudah untuk kamu meningkatkan kandungan omega-3 dalam makanan kamu.
Selain daripada kandungan omega-3, tuna dalam tin juga membekalkan beberapa jenis vitamin dan mineral yang baik, terutama vitamin D dan selenium.
Perlu diingat, walaupun ia makanan dalam tin, ia masih lagi sihat dan selamat untuk dimakan kerana ia diproses secara minimum. Kebanyakan produk ikan tuna bertin ini hanya mengandungi kandungan ikan tuna, air atau minyak, dan juga garam.
Beberapa jenama lain juga mengeluarkan resepi ikan tuna mereka bergantung kepada jenis penyediaannya.
Adakah selamat untuk makan ikan dalam tin seperti ini?
Perkara yang menjadi kebimbangan kita bukanlah mengenai keadaan tuna yang ditinkan tersebut.
Tetapi isu utama adalah kandungan merkuri dalam ikan tersebut. Adakah kandungan merkuri ikan tuna bertin ini berada pada kadar selamat untuk dimakan berbanding ikan tuna segar?
Untuk pengetahuan kamu, merkuri adalah sejenis logam berat yang sering terdapat pada ikan disebabkan oleh pencemaran air.
Kajian menunjukkan bahawa pendedahan kepada paras merkuri yang tinggi menyebabkan masalah kesihatan yang serius pada manusia. Ini termasuklah gangguan pada sistem saraf pusat.
Kebanyakan ikan pemangsa atau ikan bersaiz besar akan memakan ikan kecil lain yang sudah tercemar dengan merkuri.
Memandangkan ikan tuna juga memakan ikan-ikan kecil yang lain di lautan, kandungan merkuri mungkin terkumpul dalam badan ikan tuna tersebut.
Semakin besar jenis ikan tuna tersebut, maka kepekatan merkuri akan menjadi semakin tinggi. Namun, ikan tuna bertin biasanya menggunakan jenis ikan tuna yang lebih muda dan lebih kecil.
Oleh itu, kandungan merkurinya jauh lebih sedikit dan lebih selamat untuk dimakan berbanding ikan tuna segar atau sejuk beku.
Ikan tuna bertin tinggi kandungan garam
Selain kandungan merkuri, perkara yang perlu diberikan perhatian mengenai ikan tuna dalam tin ialah kandungan garam dan juga lemaknya.
Ikan tuna dalam tin mempunyai kandungan garam yang jauh lebih tinggi berbanding ikan tuna segar.
Oleh itu, jika kamu mahu membeli ikan tuna bertin, pilihlah jenama yang mempunyai kandungan garam yang sedikit.
Selain itu, kamu juga digalakkan untuk memilih ikan tuna bersama air berbanding bersama minyak. Ini bertujuan mengurangkan pengambilan kalori berlebihan melalui ikan tuna tersebut.
Sumber artikel: Hello Doktor
Apa pandangan anda?