Posted on August 26, 2021
Mungkin ramai tidak menyangka bahawa antara cara kurangkan risiko sakit jantung ialah dengan mengubah diet yang selama ini kamu amalkan.
Persoalannya, apakah pertukaran diet pemakanan yang dimaksudkan ini? Jom teruskan membaca artikel ini untuk tahu tentangnya dengan lebih mendalam lagi.
Diet, kunci untuk kurangkan risiko sakit jantung?
Ya, kamu tidak salah membacanya kerana selain ubatan dan rawatan, risiko penyakit jantung mungkin boleh dikurangkan sekiranya kamu mengamalkan diet yang betul.
Ini dibuktikan menerusi sebuah kajian terbitan British Medical Journal yang telah dijalankan selama 30 tahun lamanya dan hasilnya agak mengejutkan.
Katanya, kamu mampu untuk mengurangkan risiko penyakit jantung sebanyak 14% jika menukarkan daging kepada kacang dalam diet seharian.
Kajian tersebut menambah bahawa daging yang dimaksudkan termasuklah bakon, sosej, salami atau segala makanan diproses yang melibatkan daging haiwan.
Manakala kacang yang dimaksudkan pula adalah kekacang jenis kacang tanah, kacang gajus, kacang soya dan sebagainya asalkan ia berasal daripada tumbuhan ini.
Persoalannya, kenapa pertukaran diet pemakanan ini dikatakan antara cara mengelak penyakit jantung? Berikut adalah alasan yang diberikan mereka.
Daging hanya akan tingkatkan risikonya?
Menurut kajian Health Professionals Follow-Up Study terhadap penduduk di negara Amerika Syarikat, daging merah memang boleh meningkatkan risiko sakit jantung.
Kata kajian itu lagi, mereka yang makan daging merah sekurang-kurangnya sekali dalam masa sehari berisiko 12% lebih tinggi untuk mengalami penyakit jantung koronari.
Risiko ini berubah kepada 15% jika makan daging yang diproses manakala 11% jika makan daging tidak diproses, menjadikan ia tetap tidak selamat untuk kerap dimakan.
Sebaliknya, risiko ini dapat diturunkan sebanyak 14% jika cenderung memilih makanan berasaskan tumbuhan seperti kekacang, sesuai dengan kajian yang terdahulu.
Ini kerana makanan seperti kekacang mampu meningkatkan pengambilan lemak tidak tepu, serat, antioksidan dan polifenol – yang bagus untuk kesihatan organ jantung.
Jadi, kamu masih boleh makan daging atau tidak?
Kajian ini mungkin akan membuat penggemar daging berasa kecewa kerana berfikir tidak lagi boleh untuk makan daging terutamanya buat penderita penyakit jantung.
Sebenarnya, ini pemahaman yang kurang tepat kerana kamu masih boleh makan daging asalkan ia diambil dalam kuantiti yang ideal dan dengan cara yang betul, Pakar Kardiologi, Dr Anjali Dutta.
Kuantiti yang dimaksudkan ini adalah dengan mengehadkan pengambilan kepada beberapa kali sahaja dalam masa seminggu dan bukannya sekali sehari seperti kebiasaan.
Selain itu, dia turut menambah bahawa pengambilan daging ini harus disertakan dengan sayur-sayuran dan buah-buahan agar diet kamu itu lebih seimbang.
Dalam pada itu, kamu juga mungkin mahu untuk mengubah daging merah ini kepada daging putih yang ternyata lebih sihat buat jantung dan tubuh badan.
Diet Mediterranean adalah pilihan terbaik?
Diet yang telah dinobat sebagai diet paling sihat di dunia menerusi carta US News & World Report dipercayai oleh ramai pakar antara cara mengelak penyakit jantung.
Ini kerana diet jenis ini akan berfokuskan kepada pengambilan lebih banyak tumbuhan khususnya sayur-sayuran, buah-buahan serta yang paling penting iaitu kekacang.
Selain itu, diet jenis ini juga berfokuskan kepada pengambilan lebih banyak daging putih seperti ikan dan ayam berbanding daging merah yang tidak bagus untuk jantung.
Menurut American Heart Association (AHA), diet Mediterranean akan dapat membantu kamu mencapai pola pemakanan sihat lantas membantu melawan penyakit kardiovaskular dan mengurangkan risiko penyakit berkaitan organ jantung.
Selain untuk jantung, diet ini juga dipercayai adalah sangat bagus untuk:
- Meningkatkan kesihatan usus
- Meningkatkan kesihatan otak
- Mengelakkan risiko kanser
- Menguruskan kondisi diabetes
- Mengurangkan berat badan
Sila jaga diet untuk kurangkan risiko sakit jantung!
Menerusi kajian-kajian yang dilampirkan di dalam artikel ini, dapatlah dikonklusikan bahawa diet adalah penting sebagai antara cara mengelak penyakit jantung.
Oleh itu, sila kurangkan pengambilan daging dan lebihkan mengambil kacang dalam diet agar risiko sakit jantung dapat dikurangkan.
Namun penggemar daging tidak perlu risau kerana kamu masih boleh ambil daging kegemaran kamu itu, cuma patuh kepada kuantiti yang ideal.
Jadi, sila jaga diet untuk pelihara jantung kamu dan jika inginkan informasi yang lebih banyak mengenainya, sila berjumpa doktor berdekatan dengan anda.
Artikel ini ditulis oleh Ahmad Farid untuk Hello Doktor
Apa pandangan anda?