Belum sampai sebulan sejak Lexus LM 350 2021 dilancarkan di Malaysia, Lexus Malaysia mengesahkan kepada WapCar.my yang mereka telahpun mengumpul hampir 20 tempahan bagi van mini mewah berkenaan – lebih separuh daripadanya sudahpun dihantar kepada pembeli-pembeli elit mereka.
Mungkin ramai yang tak mampu nak hadam, tetapi tanda harga RM 1,106,513 untuk sebuah Lexus LM 350 bukanlah penghalang bagi sesetengah pembeli. Lebih ‘menghairankan’, Lexus LM harganya sekali ganda lebih mahal daripada Toyota Alphard 3.5L (RM 446,609) walaupun kapasiti tempat duduknya hanya separuh daripada kapasiti Alphard.
Baca juga: Lexus LM 350 pelancaran Malaysia – Alphard versi 4 kerusi, bayangkan luasnya! Harga RM 1.1 juta
Sememangnya pencapaian ini agak mengagumkan, di mana Lexus jutaan ringgit ini berjaya menarik tempahan dua digit dalam masa yang agak singkat. Untuk makluman, pra-tempahannya bermula pada Disember.
Pastinya, pengkritik akan mengatakan yang Lexus LM sama saja seperti Alphard, cuma ‘mekap’nya lebih sedikit. Namun, ia seolah-olah mengatakan yang Mercedes-Maybach sama seperti S-Class yang di’mekap’, ataupun Rolls-Royce Ghost cuma 7 Series yang lebih mewah. Secara teknikalnya, kenyataan ini betul, tetapi ia hanyalah modal murahan untuk menang debat di kedai kopi. Hanya jauhari yang mengenal manikam.
Ini juga menggambarkan satu bahagian pasaran yang menganggap kelebihan dan nilai eksklusif lebih penting daripada fakta. Ia sesuatu yang memang susah untuk dihadam bagi orang kebanyakan.
Golongan kita yang terpaksa periksa baki akaun di bank setiap kali pasang niat untuk beli sesuatu mungkin takkan faham golongan kayangan yang beranggapan “money is just a number.”
Suatu ketika dahulu, rakan penulis kami pernah ‘ditembak’ dengan soalan: “Kau ada berapa banyak lagi yang tinggal dalam akaun bank?” Dia pula menjawab, “Memanglah aku tahu, gila. Kalau tak, macam mana aku nak tahu kalau aku mampu ke tak beli barang yang aku nak.”
Rakannya yang bertanya itu pula berkata, “Inilah sebabnya mengapa kau tak faham pasaran elit ini, sebab kau tahu berapa banyak ringgit dan sen baki dalam akaun bank kau.
“Bagi golongan ‘top 1 percenters’ atau ‘0.1 percenters’, mereka tak tahu berapa banyak duit yang mereka ada dalam akaun bank kerana ia sentiasa berubah-ubah mengikut aktiviti pasaran. Kalau kau yang berhutang dengan bank, bank akan hantar orang untuk buru kau di rumah atau pejabat. Tapi, kalau mereka yang berhutang dengan bank, bank pula yang terpaksa runding semula. Kalau tak, mereka yang susah sebab rugi jumlah yang teramat banyak. Itulah bezanya antara ‘kau’ dan ‘mereka’,” bidasnya.
Setelah disekolahkan sebegitu rupa, rakan penulis kami itu pun terdiam dan dah tak banyak soal tentang mengapa ada orang yang sanggup keluarkan duit dengan jumlah masuk akal bagi sesuatu yang nampak tak berbaloi nilainya bagi kita orang biasa.
Nilai berkait rapat dengan kedudukan kewangan seseorang.
Seorang penasihat jualan Lexus pernah memberitahu rakan penulis kami yang kebanyakan pelanggan elit mereka membeli kereta tanpa memandu-uji model berkenaan terlebih dahulu. Salah seorang daripadanya pernah mengarahkan supaya kereta demo Lexus LS diberi kepada pemandu pelanggan berkenaan. Jika supirnya berkenan, dia akan teruskan tempahan.
Inilah perbezaan di antara orang yang membeli Mercedes-Benz S-Class (harga dari RM 647,000) atau BMW 7 Series (dari RM 569,000), dengan orang yang membeli Lexus LS (dari RM 1.023 juta). Sekarang, kita perlu tambah satu lagi dalam senarai ini; iaitu orang yang membeli Lexus LM.
Dalam perkembangan berkaitan, jika kamu bukannya salah seorang daripada ‘Top 1 Percenters’ dan pada masa sama sedang mencari sebuah Toyota Vellfire untuk dibeli, kamu kena beli cepat-cepat kerana bekalannya semakin berkurang. Untuk maklumat lanjut, boleh baca artikel ini.
Artikel ini ditulis Mersita untuk WapCar.my.
Apa pandangan anda?