Apakah yang istimewa tentang Mercedes-Benz CLA terpakai? Apakah kerana harganya yang berbaloi? Atau kerana kualitinya yang masih terjamin?
Mercedes-Benz CLS dianggap sebagai salah satu ikon di persada automotif kerana ia menampilkan reka bentuk coupe pada badan sedan yang konvensional. Ketika itu, harganya cukup ‘keras’. Pada generasi kedua, Mercedes-Benz memperkenalkan versi yang berharga lebih rendah. Maka itu, terciptalah Mercedes-Benz CLA.
Tidak seperti CLS yang berkait rapat dengan E-Class, CLA dibangunkan berdasarkan platform A-Class. Disebabkan itu, ia dianggap sebagai sedan Mercedes pertama yang berpacuan roda depan.
Mengenai rupa paras, CLA memperlihatkan sebuah sedan kompak yang memperagakan reka bentuk coupe. Perkara ini jelas pada pintunya yang tidak mempunyai bingkai cermin serta lekuk badan yang landai.
Dengan harga kini yang serendah RM 105k, adakah sedan kompak yang seksi ini berbaloi untuk dibeli? Mari kita lihat aspek penyelenggaraan terlebih dahulu.
Isu dan permasalahan
Secara umumnya, Mercedes-Benz CLA mempunyai jangka hayat yang baik untuk sebuah kereta kontinental. Namun begitu, ia bukanlah tanpa sebarang isu. Kami sekali lagi merujuk Encik Nizam dari Merz Auto Garage di Taman Melawati untuk mengetahui isu umum mengenai Mercedes-Benz CLA generasi C117.
Antara masalah yang sering dihadapi oleh pemilik CLA ialah kegagalan pengesan oksigen (O2 sensor) di mana ia menyalakan simbol ‘check engine light’. Kos penukaran oxygen sensor ini adalah sekitar RM 650.
Seperti kereta buatan Jerman yang lain, kegagalan pada pengesan kelajuan roda (wheel speed sensor) boleh berlaku di mana ia boleh mengganggu sistem kecekapan brek dan kawalan kestabilan kenderaan. Anggaran kos untuk menukar pengesan ini adalah sekitar RM 300 untuk satu roda.
Di samping itu, ramai pengguna menghadapi masalah kegagalan bateri yang kedua iaitu auxiliary battery yang terletak di bahagian tayar ganti. Untuk pengetahuan kamu, kebanyakan kereta buatan Jerman mempunyai 2 bateri untuk menyokong peralatan elektronik. Untuk Mercedes, auto start-stop tidak akan berfungsi sekiranya bateri ini gagal. Kos penukaran bateri ini adalah sekitar RM 320.
Pemilik juga sering melaporkan isu enjin overheat di mana ia berpunca daripada kegagalan pam air (water pump) pada sistem penyejukan. Anggaran kos untuk menggantikan komponen ini adalah sekitar RM 1,600.
Bagaimana pula dengan kos servis?
Seperti kereta biasa, selang perbatuan untuk melakukan servis adalah pada setiap 10,000 km. Kos servis yang biasa berharga sekitar RM 400 hingga ke RM 550. Kos untuk melakukan servis gearbox pula berada dalam lingkungan RM 750 hingga ke RM 900. Menariknya, transmisi DCT pada CLA ini sebenarnya antara yang terbaik dari segi jangka hayat. Walaupun menggunakan dwi-klac, tiada sebarang masalah atau isu kehausan yang pernah dilaporkan walaupun terdapat pemilik yang sudah mencapai perbatuan 200,000 km.
Walau bagaimanapun, kos untuk menggantikan set klac yang baru boleh mencecah RM 4,000 apabila tiba masanya.
Mengenai kos servis penyaman udara dan penukaran komponen yang haus seperti brake pad ataupun spark plug, harganya lebih kurang kereta Jepun sahaja.
Model Mercedes-Benz CLA terpakai tahun manakah paling baik?
Walaupun keluaran awal boleh dibeli dengan harga serendah RM 105k, kami lebih sarankan pembeli untuk memilih model facelift kerana kebanyakan isu pada keluaran awal berkemungkinan telah pulih.
Berdasarkan spesifikasi keseluruhan, Mercedes-Benz CLA facelift yang dikeluarkan dari 2016 agak berbaloi untuk dibeli sekiranya unit tersebut dijaga dengan baik. Malah, lebih baik sekiranya pembeli memilih unit yang tidak diubah suai bagi mengekalkan kualiti yang tulen.
Tinjauan pasaran terpakai
Berdasarkan pasaran terkini, Mercedes-Benz CLA 250 AMG Line 4Matic facelift tahun 2016 boleh dibeli dengan harga sekitar RM 165k. Ia dikuasai oleh enjin 2.0L turbo (211 PS, 350 Nm tork) yang dipadankan dengan transmisi DCT 7 kelajuan. Varian ini mempunyai segala kelengkapan premium yang kamu mahukan. Antaranya seperti lampu dan pengelap cermin automatik, amaran tumpuan pemandu, brek kecemasan automatik, amaran pelanggaran, bantuan parkir automatik, ambient lighting, pelarasan kerusi elektronik (memori), dan pacuan semua roda 4Matic.
Untuk kamu yang tidak memerlukan pacuan semua roda dan kuasa sebegitu, CLA 200 AMG Line tahun 2017 boleh dibeli dengan harga serendah RM 156k. Varian ini dikuasai oleh enjin 1.6L turbo (156 PS, 250 Nm tork).
Menariknya, CLA 180 AMG Line recond tahun 2017 yang berharga sekitar RM 166k juga sesuai untuk kamu yang mahukan ciri penyaman udara automatik 2-zon, penyaman udara belakang, keyless entry & butang push-start, pemanas kerusi depan, kawalan pelayaran adaptif, dan amaran titik buta. Namun begitu, perlu dimaklumkan bahawa enjin 1.6L turbo yang didatangkan hanya mempunyai kuasa sebanyak 122 PS dan 200 Nm tork.
Model | Harga baru | Harga terpakai | Purata penurunan harga tahunan | ||
---|---|---|---|---|---|
CLA 250 AMG Line 4Matic (2016) | RM 278,888 | ~RM 165,000 | ~8% | ||
CLA 200 AMG Line (2017) | RM 236,888 | ~RM 156,000 | ~8.5% | ||
CLA 180 AMG Line recond (2017) | ~RM 255,000 | ~RM 166,000 | ~8.7% |
Walau apapun, harus diingatkan bahawa harga yang tertera di dalam laman sesawang jualan kebiasaannya belum muktamad. Kamu mungkin perlu menambah sejumlah wang untuk membayar beberapa cas tambahan yang diperlukan untuk menyerahkan hak milik kepada kamu sepenuhnya.
Selain itu, apa yang harus ditelitikan?
Seperti mana-mana kereta terpakai, tiada kereta sama yang mempunyai keadaan yang serupa. Oleh itu, kamu lebih digalakkan membeli terus daripada pemilik untuk mengetahui keadaan asal kereta tersebut. Kamu juga disarankan untuk memilih kereta yang mempunyai rekod servis yang penuh untuk mengelakkan diri daripada sebarang penipuan pada perbatuan (mileage). Untuk maklumat kamu, rekod servis dan penyelenggaraan juga memudahkan kamu untuk mengetahui sejarah penyelenggaraan kereta tersebut.
Seperti kereta terpakai yang lain, kamu boleh memeriksa kali terakhir servis dilakukan untuk mengetahui rekod penjagaan dengan lebih terperinci seperti minyak hitam, minyak transmisi (gearbox), air radiator, dan minyak brek.
Selain itu, kamu dinasihatkan untuk menguji-pandu terlebih dahulu dan meneliti sama ada kereta tersebut pernah mengalami sebarang kerosakan kemalangan ataupun banjir.
Konklusi
Walaupun berada pada generasi terdahulu, Mercedes-Benz CLA terpakai agak berbaloi untuk kamu yang impikan sebuah sedan kompak yang seksi tanpa perlu berbelanja tinggi. Ditambah pula dengan harga yang kini jauh lebih rendah, mungkin inilah masanya untuk kamu cuba jenama premium yang cukup dikenali oleh ramai.
Untuk lebih banyak artikel sebegini, lawati WapCar
Apa pandangan anda?