Posted on February 3, 2022
Honda antara jenama kereta paling popular di Malaysia. Ia sentiasa berentap dengan Toyota untuk merangkul gelaran kereta buatan luar ‘Nombor 1’ di sini. Tetapi model recond Honda tak laku di Malaysia? Mengapa?
Bagi mereka yang belum tahu, lambang ‘H’ telahpun dianggap oleh rakyat jelata sebagai satu simbolik kejayaan. Kiranya, impak jenama dari Jepun ini betul-betul menjadi di Malaysia tetapi kalau kamu perasan, model recond Honda seperti tiada langsung di jalan raya kita.
Perkara sebegini tidak berlaku pada Toyota. Bahkan model recond Nissan pun ada berlegar di sekitar Lembah Klang.
Sebenarnya, pengimport kereta memang ada bawa masuk Honda Odyssey Absolute dan Stepwgn yang terkenal dengan pintu but belakang yang cukup pintar. Nissan Serena pun tidak ada daya tarikan seperti model ini.
Apapun, ada sebab kenapa model recond Honda tidak begitu dibeli oleh rakyat Malaysia.
Sebab #1: Isu imej Honda di Jepun
Sambutan buat Honda Fit dan Vezel di pasaran Jepun cukup hangat tetapi hanya dua model ini sahaja yang betul-betul menjadi.
Model Honda seperti CR-V, Civic dan Accord pula cukup popular di luar negara. Malah untuk 2020, CR-V adalah kereta ketiga paling laku di dunia. Namun begitu, pengedar di Jepun mengalami kesukaran untuk menjual model ini.
Menurut analisis jualan Japan Automobile Dealers Association (JADA), Hanya 671 unit Honda Civic terjual pada bulan Ogos. Walaupun dengan generasi baru, sedan segmen C ini hanya dapat menduduki tangga ke-47.
Sebagai perbandingan, Toyota Corolla (tangga ke-5) dan Mazda 3 (tangga ke-36) dalam bulan yang sama dengan mudahnya memotong jualan Civic di Jepun, masing-masing pada 7,108 unit dan 890 unit.
Untuk CR-V dan Accord, kedua-dua model ini juga tidak tersenarai dalam carta bulanan bagi kategori 50 teratas. Kali terakhir CR-V tersenarai pun adalah pada November 2020 iaitu dengan jualan sebanyak 725 unit.
Walaupun dapat masuk dalam carta, Nissan X-Trail dan Mazda CX-5 tetap lebih laku, dengan masing-masing terjual sebanyak 1,869 unit dan 1,688 unit.
Apapun, Honda tetap berjaya dalam segmen lain, khususnya di pasaran kereta Kei. Jualan Honda N-Series meletakkan Honda sebagai antara jenama paling laku dalam segmen kereta Kei di Jepun.
Pada Ogos yang lalu, jualan N-Box yang mencecah 13,229 unit telah meletakkan Honda sebagai nombor 1 dalam segmen kereta Kei. Malah, ia jauh meninggalkan tempat kedua yang disandang oleh Suzuki Spacia (4,000 unit).
Kiranya, Honda tiada masalah dalam menjual kereta Kei tetapi untuk kereta biasa, kebanyakan agak sukar, terutama jika dibandingkan dengan Toyota. Untuk Ogos 2021, syarikat gergasi Jepun itu menjual sebanyak 6,483 Alphard, manakala Honda Odyssey hanya terjual sebanyak 1,635 unit.
Begitu juga dengan Honda Stepwgn (2,907 unit) di mana sambutannya hambar berbanding Nissan Serena (4,303 unit) dan Toyota Voxy (4,243 unit).
Walaupun dengan teknologi inovatif seperti pintu ‘Waku-waku’, Honda tetap bukan pilihan pertama dalam kalangan pembeli kereta besar di Jepun.
Sebab #2”: Model terlalu unik
Disebabkan Honda sendiri tidak berapa laku di Jepun, model recond mereka juga tidak banyak. Apa yang selalunya ada hanya Honda S660, Civic Type R dan N-Box.
Model-model ini pula terlalu unik buat rakyat Malaysia. Kalau dilihat, ia lebih untuk mereka yang mahukan sesuatu yang lain daripada yang lain.
Secara amnya, Honda N-Box cukup luas dan ada pintu gelangsar elektronik. Honda S660 pula sebuah sportscar kompak (roadster) yang diilhamkan oleh Honda Beat sekitar 90-an. Walaupun hanya dengan enjin 0.6L turbo dan harga sama seperti Honda Civic 1.5 TC-P, mereka tetap lebih istimewa.
Kemudiannya kita ada Civic Type R. Walaupun ada dijual oleh Honda Malaysia, ramai juga yang inginkan model recond.
Sebenarnya, pengedar recond ada mengimport model Honda seperti Odyssey Absolute dan Stepwgn. Malah sesetengah daripada mereka juga ada membawa masuk Honda Jade, iaitu MPV 5+2 penumpang yang berasaskan Civic generasi FB tetapi model ini sudah lama.
Namun begitu, Nissan Juke yang unik seperti model recond Honda yang disebutkan ini tetap lebih banyak di jalan raya kita.
Sebab #3: Saingan dari Honda Malaysia
Kalaulah Malaysia ada pasaran terbuka macam Singapura, mungkin lebih banyak model recond Honda akan ada atas jalan raya kita tetapi realitinya bukan begitu.
Mari kita ambil Honda HR-V sebagai contoh. Jikalau pengedar recond ada bawa masuk Honda Vezel dari Jepun, harganya mungkin lebih mahal daripada Honda HR-V RS (RM 119k) – dengan duti dan cas yang lain.
Kalau difikirkan secara logik, tiada siapapun yang sanggup belanja lebih untuk sesuatu yang telah ada unit rasmi dan berharga lebih murah. Lagipun, kredibiliti kereta baharu dan tempoh waranti yang panjang sememangnya tidak boleh dipertikaikan sama sekali.
Sebelum ini, pengedar kereta import seperti USF-Hicom ada membawa masuk model Honda seperti Stepwgn dan Elysion. Naza World juga pernah mengimport Honda Stream yang satu masa dulu pernah dijual oleh Honda Malaysia.
Honda Malaysia menjual Stream pada RM 149,800 dengan waranti 3 tahun. Naza pula menjualnya pada harga RM 186,000 dengan waranti 1 tahun. Memang tiada peluang la cerita dia kan?
Secara keseluruhan, model recond Honda sememangnya tidak berapa laku berbanding jenama Jepun yang lain. Hal ini disebabkan oleh saingan harga dari Honda Malaysia dan faktor jualan di negara Jepun sendiri. Apapun, model recond Honda tetap berbaloi untuk mereka yang mahukan lambang ‘H’ yang lebih menyerlah.
Artikel ini ditulis oleh Faisal untuk WapCar
Apa pandangan anda?