Pada akhir 80an dan awal 90an, ekonomi Malaysia tumbuh sekitar 8% setiap tahun. Syarikat pengeluar kereta nasional, Proton, mempunyai pelan memperkenalkan sedan segmen D yang lebih besar dan mewah setelah pelancaran Proton Saga (segmen B) dan Proton Wira (segmen C), masing-masing pada 1985 dan 1993. Dengan erti kata lain – Proton mahu mendominasi kesemua segmen sedan yang begitu popular pada masa itu. Kerana itulah terjadinya pelancaran Proton Perdana!
Pada 26 Januari 1995, Proton Perdana dilancarkan oleh Perdana Menteri keempat pada masa itu, Y.A.B Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad dan Y.Bhg. Dr. Siti Hasmah Mohd Ali, bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra.
Proton Perdana menjadi kereta pertama di Malaysia yang bersaing di sedan segmen D. Proton Perdana bersaing dengan Toyota Camry, Honda Accord dan Nissan Cefiro.
Pelancaran Proton Perdana
Ini produk ketiga yang dikembangkan di bawah kerjasama Proton dengan Mitsubishi Motors. Terdapat tiga varian yang ditawarkan, iaitu GLi, SEi, dan XLi.
Ia dibina atas platform Mitsubishi Eterna generasi ketujuh dan berkongsi pelbagai komponen dengan Eterna (pasaran JDM), dengan sedikit perubahan dalaman dan luaran untuk pasaran Malaysia.
Proton Perdana menggunakan enjin 2.0 liter 4-silinder 16-injap 4G63 MPI yang mampu menghasilkan 135 PS pada 6,000 rpm dan 176 Nm tork pada 4,750 rpm.
Pada mulanya Perdana ditawarkan dengan pilihan transmisi automatik 4-kelajuan dan manual 5-kelajuan, tetapi varian manual dihentikan pada 1996.
Perdana mempunyai tahap koefisien seret yang sangat rendah, iaitu 0.29 sahaja. Ini meningkatkan kecekapan bahan bakar, dan membolehkan Perdana mencapai tahap kelajuan maksima sekitar 200 km/j.
Perdana juga menjadi kereta pertama Proton yang ditawarkan dengan sistem brek anti-kunci (ABS), kawalan pelayaran, dan antara Proton terawal yang dilengkapi dengan tingkap berkuasa di keempat-empat pintu, cermin sisi berkuasa dan sistem ‘levelling’ bagi lampu depan.
Dengan permulaan harga RM 85,000 yang jauh lebih murah dari pesaingnya, permintaan untuk Proton Perdana melonjak tinggi, sehingga ada enam bulan tempoh menunggu.
Malah, terdapat laporan mengenai unit Perdana terpakai yang agak baru dijual dengan harga 12% lebih tinggi, sekitar RM 95,000. Disebabkan ini, Proton berjaya menguasai 47% daripada segmen 2,000cc dan ke atas dalam pasaran domestik, dengan 9,000 unit terjual selama 14 bulan.
Pada 1997, Perdana diberi sedikit ‘facelift’ dengan gril berlapis krom, rim yang semula, serta pilihan warna tambahan dan hiasan dalaman yang dinaiktaraf.
Artikel ini ditulis oleh Zamil Syaheer untuk WapCar
Sumber imej: Jabatan Penerangan
Apa pandangan anda?