Posted on August 26, 2020
Tidak puas seandainya rasa kopi ais premium Nespresso ini dinikmati sendirian di rumah. Apalagi hidangannya tanpa peneman – seperti hanya kopi ais sahaja, tiada pencuci mulut. Secara peribadi, sebagai individu yang sangat gemar minum kopi, lebih indah jadinya bila secangkir mahupun segelas kopi ais yang diminum itu disaingi bersama keunikan rasa lain apalagi mengecap pengalaman tersebut di lokasi-lokasi yang menyempurnakan suasana.
Nespresso tidak menunda keseronokan yang dicita-citakan itu! Keunggulan rasa kopi Nespresso yang distingtif atau tersendiri terus diberi perhatian, di mana ia mengembangkan rangkaian Nespresso Barista Creations bersama tujuh kafe lokal! Ya, Nespresso mengeratkan kerjasamanya dengan tujuh kafe lokal bagi merai ciptaan resipi pencuci mulut Nespresso infused.
Ketujuh-tujuh kafe ini memperlihatkan daya kreatif juga inovasi masing-masing dalam mencipta hidangan pencuci mulut, pastri serta minuman eksklusif, yang hadir daripada rangkaian Nespresso Barista Creations. Dalam erti kata lain, hidangan pencuci mulut, pastri atau minuman eksklusif ini dicampur bersama Nespresso Barista Creations! Bercakap fasal hidangan pencuci mulut serta pastri yang dicipta oleh ketujuh-tujuh kafe ini, nikmat kelazatannya bertambah hebat bila disaingi rasa kopi ais Nespresso Freddo Delicato atau Freddo Intenso. Pastinya mengusik tunas rasa si pencinta kopi!
Kesemua ciptaan menu yang dicampur bersama Nespresso Barista Creations ini boleh dirasai orang ramai bermula dari 10 Ogos yang lalu sehinggalah 20 September nanti. Dan setiap kafe yang berkolaborasi dengan Nespresso ini turut menghidangkan sampel kopi Nespresso percuma! Hanya sebut kod promosi eksklusif (KOD PROMO : NESPRESSO EXPERIENCE) di setiap kafe yang dikunjungi (*mengikut terma dan syarat, ketahui dengan lebih lanjut lagi di kafe-kafe pilihan Nespresso ini).
7 KAFE LOKAL YANG MENYEDIAKAN PENCUCI MULUT NESPRESSO INFUSED
A Pie Thing
Kafe A Pie Thing yang terletak di Damansara Utama ini memunculkan ciptaan hidangan yang diberi julukan Coffee S’Mores Pie. Hidangan s’mores pie edisi terhad kali ini – kerjasamanya dengan Nespresso – dicampur dengan Nespresso Barista Creations Vanilla Éclair, yang terisi oleh coklat pada kerak pai yang sudah bersapu mentega. Dan ia disempurnakan lagi oleh marsymalo bakar.
Gula Cakery
Kafe Gula Cakery di Shah Alam pula memunculkan dua ciptaan hidangan yakni Coffee Burnt Cheese Cake dan Coffee Crème Brulee. Untuk hidangan Coffee Burnt Cheese Cake, kek keju penuh berkrim yang hangus di bahagian atasnya dan penuh kastard di bahagian tengah tersebut, dicampur bersama kopi Nespresso. Manakala Coffee Crème Brulee pula adalah kastard penuh berkrim yang turut dicampur dengan kopi Nespresso dan dilapisi oleh hias atas gula yang dikaramelkan.
KEK & Co.
Kafe KEK & Co. di Petaling Jaya yang tidak asing lagi dengan identiti kek artistiknya memperkenalkan The Ultimate Coffee Lover Stash Box. Ciptaan hidangan yang datang bersama kotak ini adalah ‘gerombolan’ pencuci mulut yang mengecurkan air liur di mana ia terdiri daripada biskut, mousse dips, cake pops serta donat.
Kissa X Coffee
Buat mereka yang selalu ke Kuala Lumpur, boleh mengunjungi Kissa X Coffee yang menampilkan dua hidangan moktel berasaskan campuran Freddo Delicato dan Freddo Intenso. Pertama adalah Crush Honey Berry Iced Coffee, minuman campuran strawberi, beri biru, raspberi, madu serta sirap lemon. Minuman ini kemudiannya dicampurkan, malah didinginkan bersama kopi ais Nespresso Barista Creations dan dilengkapi air soda. Citrus Blast Iced Coffee adalah hidangan keduanya yang menggabungkan rasa lemon dengan jus limau dan dicampurkan bersama kopi ais Nespresso Barista Creations serta dilengkapi air tonik dingin.
Madhatter Desserts
Madhatter Desserts yang terletak di Damansara Utama pula mempertaruhkan rasa yang mengejutkan buat mereka yang merasai ciptaan hidangan pencuci mulutnya. Ia menggunakan unsur cecair nitrogen dalam pencuci mulut tersebut, yang dipanggil Coffee Bombe. Coffee Bombe menggabungkan coklat putih dengan kopi Nespresso ke dalam mousse bombe dan kemanisan buah markisa di tengah-tengahnya. Serta kek kepulaga yang disempurnakan oleh granita kopi di bahagian tepi.
Souka
Souka Bake Shop di Subang pula mencipta Freddo Coffee Chilled Cheese Cake dan Freddo Intenso Chocolate Cake! Freddo Coffee Chilled Cheese Cake adalah kek keju tanpa dibakar yang bercampur dengan dua syot Nespresso Freddo Intenso. Kek keju ini disempurnakan lagi bersama kerak kraker crushed graham, aising serbuk koko dan buah-buah strawberi di atasnya. Manakala Freddo Intenso Chocolate Cake adalah kek lembut yang kaya dengan ramuan coklat, yang diperbuat daripada Nespresso Freddo Intenso dan beraising dengan espresso coklat.
Xiao By Crustz
Khusus buat pencinta coklat dan kopi! Xiao by Crustz yang terletak di Petaling Jaya memperkenalkan Le Couer dan The Bittersweet. Hidangan Le Couer adalah pencuci mulut kek span lembut coklat yang diinspirasikan oleh pencuci mulut orang Perancis. Ia diadunkan bersama Nespresso dengan mousse coklat putih dan bahagian atasnya disadur krim coklat. The Bittersweet adalah jeli kopi Nespresso dengan bes biskut Vennoise, yang dipadukan dengan kemanisan ais krim vanila, krim Chantilly dan buah ceri segar.
Apa pandangan anda?