Pengalaman memiliki Perodua Ativa yang dibeli sejak sebulan lalu, keseronokan memiliki kereta serba baru ini sudah pudar sedikit. Kami mula melihat Ativa lain pelbagai warna meluncur laju di jalan raya dan Cik Tiva kami sudah jadi kereta yang biasa dilihat seperti kereta-kereta lain.
Sepanjang pengalaman memiliki Perodua Ativa dan memandunya ke sana ke mari, kami dapati ada beberapa perkara yang kami amat gemar tentang kereta ini. Kami harap perkara yang kami senaraikan di sini boleh membantu kamu dalam membuat keputusan sekiranya ingin membeli SUV Perodua terbaru ini.
Aspek berkenaan trenkuasa dan suspensinya yang cukup bagus sudah kami kupas beberapa kali. Kali ini, kami ingin jelaskan perkara-perkara kecil pula yang membuatkan kami cukup sayang dengan Cik Tiva.
Sebagai perbandingan, saya memandu Perodua Myvi Lagi Best (generasi kedua) dan rakan penulis saya pula memandu Perodua Axia. Inilah perubahan serta peningkatan menarik yang kami lihat ada pada Ativa.
1. Proses keluar-masuk kabin cukup mudah
Walaupun ia sebuah SUV, tempat duduk Ativa amat mudah untuk kita masuk duduk dan keluar kereta – lebih kurang sama seperti hatchback Myvi ataupun Axia. Selalunya, mereka yang berbadan kecil terkial-kial sedikit untuk masuk dan keluar dari kabin SUV, tetapi bukan untuk Ativa. Ia cukup mudah walau untuk pemandu atau penumpang yang sudah berumur.
Bagaimana pula untuk mereka yang tinggi? Ativa tiada isu kepala terhantuk mahupun kekurangan ruang di atas kepala semasa duduk di dalam kabin. Ruang kakinya juga luas bagi mereka yang berketinggian 180 – 190 cm.
Saya berketinggian 180 cm dengan kaki yang panjang dan sedikit berisi. Kerusi pemandu tidak perlu dilaras sorong ke belakang sepenuhnya seperti Myvi untuk dapatkan posisi duduk yang paling optimum bagi Ativa (malangnya tiada stereng teleskopik, posisi stereng sama seperti di dalam Myvi cuma ruang kaki lebih luas).
Oleh itu, dengan posisi kerusi pemandu dilaras untuk ketinggian saya, ruang kaki di tempat duduk penumpang belakang pemandu masih cukup luas jika saya duduk di sana.
2. Permukaan ala-Velcro memastikan karpetnya terletak rapi di tempat asalnya
Kami sedar akan satu kelebihan ini ketika cuba membersihkan ruang kabin Cik Tiva. Ia mungkin perkara kecil bagi sesetengah orang, tapi permukaan Velcro di bawah setiap karpet lantai kabinnya membolehkan ia terletak rapi di tempatnya pada setiap masa.
Tambahan pula, karpet ini didatangkan dengan dua kunci supaya ia tidak mudah bergerak. Namun, lapik Velcro ini saja sudah cukup bagus untuk mengelakkannya daripada teralih.
3. Butang kunci di konsol tengah amat membantu
Fungsi ini ada yang suka, ada yang tak – bergantung kepada citarasa masing-masing. Bagi saya pula, penumpang selalunya terpaksa mengetuk-ngetuk tingkap di sebelah kiri untuk beri isyarat supaya kunci pintu penumpang dibuka ketika ‘central lock’ diaktifkan.
Oleh itu, kelengkapan yang ada di dalam Ativa ini amat memudahkan. Dari pengalaman saya, penumpang akan mengetuk cermin di sebelah kiri iaitu pintu masuk penumpang, dan saya terpaksa mengalihkan perhatian ke laras kunci di pemegang pintu (sebelah kanan pemandu).
Tak kiralah berapa kali perkara ini terjadi, saya terpaksa ambil masa sekejap untuk mengalihkan fokus dari melihat penumpang di sebelah kiri dan tercari-cari kunci di sebelah kanan. Kalau kamu perasan, butang ‘lock/unlock’ pintu ini akan lebih mudah dicapai apabila ia berada di sebelah kiri pemandu dan itulah yang ada pada Ativa. Bagi saya, memang lebih mudah.
Selain daripada itu, terutama sekali bagi wanita, ia juga memastikan keselamatan saya terjamin ketika masuk ke dalam kereta kerana hanya kunci pintu pemandu yang dibuka apabila ‘smart entry’ digunakan. Jika ada penumpang, tekan saja ‘unlock’.
4. Panel meter LED ada pelbagai fungsi menarik
Satu peningkatan ketara yang boleh dilihat sejurus selepas masuk ke tempat duduk pemandu SUV terbaru Perodua ini adalah panel meter LEDnya. Memandangkan saya datang dari model Perodua lama, ini sememangnya satu pembaharuan yang menyeronokkan dan rasa berbaloi kerana ia satu ‘upgrade’ kabin yang agak tinggi jika dibandingkan dengan Myvi Lagi Best.
Apabila memandu-uji bersama rakan-rakan, salah satu perkara pertama yang kami ‘godek-godek’ ialah fungsi meternya. Ia ada pelbagai desain paparan meter yang boleh dipilih mengikut citarasa, lampu signal dengan pelbagai tona bunyi, dan ia juga ada pengingat hari jadi serta ulangtahun perkahwinan!
Kami tetapkan tarikh hari berkenaan menggunakan butang navigasi fungsinya yang mesra pengguna pada stereng pemandu, matikan enjin, dan ucapan istimewa tersebut akan dipaparkan dengan grafik yang menarik apabila enjin dihidupkan semula! Benda kecil, tapi agak cool bagi pengguna kereta Perodua sedia ada.
5. Ada perlindungan supaya tayar ganti tidak tercalar
Sebelum Perodua Ativa dilancarkan, satu soalan yang dihebah-hebahkan ialah adakah SUV Perodua terbaru ini didatangkan dengan tayar ganti? Soalan itu pastinya telah terjawab kerana Ativa diberi tayar ganti bersaiz penuh di bawah lantai but!
Bagi yang memiliki Myvi (generasi 1 & 2) atau Axia, kamu pasti gembira melihat tayar gantinya bukan rim besi saja. Mungkin kamu tertanya-tanya, kenapa perkara ini perlu diketengahkan? Jika kamu lihat tayar rim besi di bawah but Myvi lama atau Axia, skru plastik yang digunakan untuk menahan tayar pada posisinya cukup panjang hanya untuk rim besi tersebut.
Ini kerana skru tersebut pendek sedikit jika rim besi pada tayar ganti ditukar kepada rim aloi. Tambahan pula, walaupun kamu berjaya memasang skru pada rim aloi tersebut, ia berisiko untuk mencalarkan rim apabila skru plastik dipasang.
Bagi kereta yang didatangkan dengan ‘space savers’, selalunya tiada harapan untuk memastikan tayar pancit disimpan kemas di dalam ruang simpanan tayar.
Perkara yang kami hargai pada Ativa ialah skrunya didatangkan dengan sekeping fabrik yang melindungi rim anda daripada calar. Ia satu perincian kecil, namun ia amat berguna bagi memastikan rim berada dalam keadaan baik sepanjang masa.
6. ‘Tonneau cover’ yang boleh dilipat
Selalunya, apabila hendak membuka ‘tonneau cover’ atau kain penutup but di belakang kabin kereta, kamu terpaksa turunkan penyandar tempat duduk belakang untuk memasukkan barangan bersaiz besar ke dalam kereta.
Pada mulanya, ‘tonneau cover’ boleh-lipat yang didatangkan dengan Ativa terasa lembik dan murah. Nak kurangkan kos agaknya, ujar kami dalam hati.
Namun, semakin lama kami gunakan kereta ini, tanggapan kami semakin berubah. Ia sebenarnya amat berguna untuk menjimatkan ruang.
Para plastik keras/tonneau cover di dalam Myvi saya cukup kukuh, tetapi ia sebenarnya memakan ruang walaupun ia ditanggalkan dari posisi asalnya. Selalunya saya menyimpannya di dalam but apabila tidak digunakan, namun ini memakan ruang pula.
Walaupun kukuh sedikit dan nampak kemas, penutup plastik keras di dalam Myvi/Axia memakan ruang apabila tidak digunakan.
7. Klip dengan skru hex yang kukuh dan boleh digunakan semula
Kami lihat di bahagian bawah badan Ativa untuk melihat jenis klip yang digunakan untuk memegang komponen plastik di bawah bahagian hadapan kereta. Ativa menggunakan kombinasi skru hex dan klip plastik yang cukup berguna bagi tujuan pemasangan dan peleraian.
Klip ini agak kukuh berbanding klip plastik biasa jenis ‘senang masuk, susah keluar’ yang selalunya boleh digunakan sekali sahaja. Kepala hex ini juga alternatif yang bagus sekiranya kepala phillips rosak nanti.
Jenis klip yang digunakan pada Ativa barangkali boleh digunakan semula sekiranya badan kemek.
Penggunaan klip plastik juga bermaksud ia tidak akan berkarat. Jika klip ini akhirnya rosak nanti, boleh pecahkan saja menggunakan pemotong dan gunakan semula skrunya.
Kesimpulan Pengalaman Memiliki Perodua Ativa
Inilah antara enam perkara kecil yang kami suka tentang pengalaman memiliki Perodua Ativa setakat ini. Enjin turbo dan transmisi CVT sememangnya perkara baru bagi barisan model Perodua, tapi perkara-perkara kecil sebegini yang ada pada Ativa juga layak diberi perhatian.
Dalam entri seterusnya, kami akan bandingkan gegaran enjin Ativa dengan Myvi pula. Kamu pasti terkejut apabila dapat tahu betapa lembut atau kerasnya gegaran enjin Ativa nanti.
Kadar penggunaan minyak/petrol Ativa setakat ini (berdasarkan meter penggunaan bahan api kereta):
Bacaan meter FC Perodua Ativa | |
---|---|
Bacaan odometer ketika minyak diisi | Bacaan meter FC kereta (km/l) |
20 km | – |
421 km | 13 km/l |
740 km | 12 km/l |
1,032 km | 14.8 km/l |
1,453 km | 13.2 km/l |
1,750 km | 11.9 km/l |
1,976 km | 12.5 km/l |
*Meter penggunaan bahan api kereta di’reset’ setiap kali minyak diisi.
Artikel ini ditulis oleh Mersita untuk WapCar
Apa pandangan anda?